GURUN 5 April - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata, Pas terus tersasar dari landasan Islam kerana
sanggup bersubahat dengan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang
moral dan etikanya dipersoalkan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin Pas
mendakwa kononnya memperjuangkan Islam namun hakikatnya mereka tidak
mengamalkan ajaran agama suci itu.
Menurutnya, Pas bersubahat begini lebih teruk, bersubahat dengan
parti yang rakyat tahu moral dan etikanya dipertikai serta dipersoalkan.
"Dalam Islam, kita dituntut agar mengelak dan menjauhkan diri dari
perkara yang boleh menyebabkan fitnah.
''Kalau ada begitu bermakna Pas sengaja, kerana muslihat politik dia
sengaja ketepikan semua soal itu sebab dia fikir nak menang pilihan
raya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang baja Malaysian
NPK Fertilizer Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Semalam, ahli-ahli akar umbi PKR buat pertama kali dan secara terbuka
menuntut supaya Timbalan Presiden parti itu, Azmin Ali menjawab segala
dakwaan yang dikaitkan ke atas beliau.
Ketua Penerangan PKR Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi dalam satu sidang
akhbar di Kuala Lumpur berkata, mereka turut menggesa Azmin meninggalkan
parti jika gagal berbuat demikian dalam masa terdekat demi menjaga nama
baik PKR.
Muhyiddin berkata, isu moral dan akhlak Penasihat PKR, Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan Azmin termasuk yang dibangkitkan oleh Presiden Jalur
Tiga (Jati) Datuk Dr. Hassan Ali sehingga kini masih belum dijawab.
Atas sebab itu, beliau berkata, Pas bukan parti Islam sebaliknya
hanya parti politik biasa kerana sejak dari dahulu parti itu sering
bertindak dan mengeluarkan kenyataan termasuk fatwa songsang yang
bercanggah dengan ajaran Islam.
"Pas pun sudah tidak memperjuangkan negara Islam dan kalau kita lihat
sejarah Pas termasuk isu fatwa Hadi Awang sendiri maka banyak yang
dilakukan Pas bercanggah dengan ajaran Islam yang menekankan soal budi
bahasa yang baik, kepimpinan dan tadbir urus yang cara baik," jelasnya.
/HWA: utusan.com.my | 7/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan