Harap-harap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak melenting
kalau Awang mahu bertanyakan satu perkara. Benarkah beberapa hari lalu,
terdapat rombongan 30 orang ahli Parlimen dari parti PAP Singapura
melawat Pulau Pinang?
Rombongan tersebut dikatakan turut mengunjungi beliau. Khabarnya
lawatan itu tidak uar-uarkan dan tiada liputan termasuk oleh media
pembangkang. Awang sekadar ingin bertanya apakah tujuan lawatan
tersebut? Apakah ia mempunyai kaitan dengan kerjasama yang kian kukuh
antara kerajaan DAP Pulau Pinang dan PAP Singapura?
PAP dan DAP mempunyai hubungan sejarah yang bermula ketika Singapura
berada dalam Malaysia. DAP ditubuhkan bagi menggantikan PAP pimpinan Lee
Kuan Yew ketika itu, yang disingkirkan keluar daripada Malaysia pada
tahun 1965. Ia antara lain disebabkan PAP mahu menguasai politik tanah
air dan menentang hak-hak orang Melayu. Konsep Malaysian Malaysia yang
diideakan oleh Kuan Yew terus dinyalakan oleh DAP.
Sejak DAP menguasai Pulau Pinang selepas pilihan raya umum lalu,
beberapa pemimpin utama Singapura termasuk Kuan Yew melawat negeri
tersebut. Guan Eng juga kerap ke Singapura sama ada secara rasmi mahu
pun tidak. Awang melihat hubungan strategik antara PAP dan DAP memasuki
tahap yang terbaik.
Jika benar adanya lawatan itu, Awang musykil dan tertanya-tanya apa
agendanya. Juga jika benar, parti-parti di bawah kerajaan Barisan
Nasional (BN) juga boleh meniru pendekatan PAP. BN boleh menjalin
hubungan langsung dengan parti dan pihak pembangkang di Singapura. Untuk
apa lagi menjaga hati PAP semata-mata, jika kita tahu permainan mereka.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT.
/HWA: utusan.com.my | 8/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan