29 April 2012

Perjuangan bercirikan anarkisme adalah haram


KESURAMAN sambutan terhadap demonstrasi menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuatkan Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) lebih agresif mengajak orang ramai untuk berhimpun dan terus berdegil mahu menggunakan Dataran Merdeka sebagai gelanggang membangkitkan provokasi.
Bagaimanapun, tulisan-tulisan yang disiarkan menerusi media dalam talian mengenai perhimpunan tersebut tidak begitu berkesan kerana masyarakat sememangnya sudah meluat dengan tindakan berdemontrasi sebagai kaedah terbaik memperalatkan demokrasi.
Atas situasi terdesak itulah ada ulama politik membuka silatnya dengan berfatwa bahawa menyertai demonstrasi tersebut adalah 'wajib' sebagai satu bentuk penentangan terhadap 'mana-mana pihak yang melakukan perkara tidak berlandaskan Islam wajib ditentang'. Tidak pun nampak dengan jelas apakah perhimpunan itu merupakan jalan penyelesaian yang wajar dan selari dengan kehendak Islam.
Dari segi kepimpinan utama penganjur perhimpunan tersebut telah membuktikan beliau bukanlah seorang Muslim dan dalam masa sama turut mempermain-mainkan Islam setelah menjadi pendokong tegar kepada penganjuran Seksualiti Merdeka tahun lalu. Dari sudut manapun, peneraju Bersih sudahpun bertentangan dengan Islam.
Rakyat kini sudah faham, mereka sebenarnya cuba diperkudakan oleh kelompok pemimpin politik terdesak, kerana cara itulah boleh mengembalikan kesuraman sokongan dan merudumnya keyakinan kepada kebolehan merealisasikan aspirasi negara pada masa hadapan.
Masyarakat terus dilanda misteri kerana beberapa perkara yang menjadi pengetahuan umum dan semakin terdedah dengan lebih banyak pembohongan, tidak terungkai. Sebaliknya, empunya badan berselindung di sebalik dakwaan berterusan 'konspirasi', 'propaganda murah' dan 'mengekang sebarang peluang kemenangan' kerana terus berfantasi untuk menduduki Putrajaya meskipun suatu ketika 'mahu dilelong' atas alasan 'projek membazir'.
Melihat kepada perkembangan politik semasa, jelaslah betapa rakusnya pakatan pembangkang mencari jalan untuk berkuasa. Hakikat yang dilaksanakan itu mempunyai kaitan jelas dengan keinginan nafsu melampau, sehingga sanggup mengeluarkan fatwa 'wajib sertai Bersih'.
Kenapa tindakan anarkisme itu dikatakan wajib, sedangkan dalam ketetapan Islam, sebarang usaha mewujudkan ketegangan, perbalahan, sengketa dan kemungkinan pergaduhan adalah haram.
Menilai kesemua dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan, tidak nampak adanya keperluan menggerakkan rakyat untuk bangun memberontak.
Melihat kepada situasi Arab Spring menampakkan ada kuasa luar yang mempengaruhi kebangkitan rakyat bagi menentang pemerintahan yang sah, kerana pemimpin yang berkuasa tidak sehaluan dengan hasrat dan aspirasi membina kekuatan Islam.
Rakyat sudah boleh membaca apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh kelompok ahli politik yang amat berharap akan mengambil alih kuasa. Lebih ramai rakyat sudah sedar, kumpulan yang memimpin gerakan 'menyerang kerajaan' itu sebenarnya ingin membalas dendam dan terjerat dalam tragedi politik brutal.
Dalam Islam, perjuangan yang bercirikan anarkisme, revolusi, kudeta, provokasi, propaganda serta rampasan kuasa adalah tidak sesuai dengan tuntutan fitrah agama dan ia adalah haram.
Hasan al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin juga mengambil kaedah mendekatkan masyarakat menerusi pemahaman dan membudayakan syariat. Meskipun dibatalkan kemenangan pertamanya di Ismailiyyah, Hassan al-Banna tidak pernah memprovokasi dengan menentang pemerintah menerusi revolusi atau kekerasan.
Apa yang dilakukan adalah mengajak penyokongnya memperbaiki dasar pemerintah menerusi dakwah dan ketajaman intelek. (Baca: Musthafa Muhamad Thahan, Pemikiran Moderat Hassan Al Bana).
Menurut Hasan al-Banna manusia sebenarnya sering terkeliru sehingga tenggelam dalam lautan falsafah dan merasa lapang menerima contoh-contoh yang berdasarkan sumber akal, sebagaimana terkelirunya ulama politik apabila mengeluarkan resolusi wajib menyertai perhimpunan berkenaan. Bagi pengasas Ikhwanul Muslimin itu, apabila sesebuah negara itu berada dalam keadaan aman, kehidupan masyarakat sejahtera dan makmur, maka rakyat wajib menyokong dan membantu pemerintah.
Malaysia tidak pernah menggunakan kekerasan, bahkan pintu rundingan sentiasa terbuka. Kehendak Bersih dipenuhi, di mana mereka diberi kebenaran berhimpun secara aman, yang menjadi persoalannya adalah lokasi. Penganjur mahu terus menggunakan kekerasan dan ugutan.
Hal ini mungkin boleh dipelajari dari sejarah Islam, ia boleh membangkitkan perpecahan apabila munculnya Hajjaj bin Yusof as-Saqafi pada zaman pemerintahan Yazid bin Muawiyah. Beliau sangat digeruni disebabkan pendiriannya tegas dan menggunakan pendekatan kekerasan terhadap mana-mana pihak yang cuba menentang dan memberontak kepada kerajaan yang sah. Beliau menumpaskan pemberontak bagi memastikan keadaan negara sentiasa aman, harmoni dan stabil.
Apabila rakyat makmur dan sejahtera, tidak ada alasan bagi rakyat melakukan pemberontakan terhadap kerajaan. Sesungguhnya menjadi kewajipan rakyat menyokong dan membantu kerajaan sebagai balasan terhadap apa yang diberikan dan diperjuangkan kerajaan kepada rakyat.
Walhal, meskipun kerajaan Malaysia mempunyai kuasa yang sah untuk menggunakan pendekatan yang sama sebagaimana yang dilakukan Hajjaj Yusuf Saqafi, akan tetapi perkara itu tidak perlu dilakukan. Kerajaan sentiasa cuba menggunakan pendekatan berhemah dan membuka pintu dialog kepada pihak-pihak yang 'menentang' kerajaan.
Bagaimanapun, kerajaan sebagai pihak yang mendapatkan mandat yang sah dari rakyat, jika terpaksa akan bertindak menggunakan pendekatan seperti mana yang digunakan oleh Hajjaj Yusuf Assaqafi kepada mana-mana pihak yang cuba memberontak (bughat) bagi memastikan negara aman dan tidak terdedah kepada perpecahan di kalangan masyarakat.
Islam bukan sekadar agama, ia adalah cara hidup yang jelas meletakkan keamanan keseluruhan manusia sebagai matlamat. Bahkan, Islam memberikan pengajaran kepada penganutnya, usaha membina damai ketika di dunia akan turut memberikan kemenangan di akhirat, maka setiap pemerintah sentiasa merangka tindakan mensejahterakan rakyat.
Sebarang usaha untuk mewujudkan permusuhan dan pertumpahan darah mesti disekat dengan berkesan, di samping mewajibkan setiap orang mengamalkan nilai-nilai penyatuan, perpaduan, kerjasama, bijaksana dan mesra dalam pergaulan. 
/HWA: utusan.com.my | 27/4/12

Tiada ulasan: