29 April 2012

LGBT: Mesej jelas Yusof al-Qardhawi

Nasharudin Mat Isa menyampaikan ceramah bertajuk Seks Songsang: Perspektif Syariah pada Wacana Kemungkaran Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender Mengundang Bala Allah anjuran pertubuhan bukan kerajaan, MUAFAKAT di Universiti Teknologi Malaysia, baru-baru ini. 
*****
Nama Sheikh Dr. Yusof al-Qardhawi sering digunakan pihak pembangkang bagi menggambarkan sokongan ulama tersohor dunia itu terhadap perjuangan kumpulan mereka dengan harapan ia mampu meraih lebih banyak sokongan serta simpati rakyat.
Perkara itu bukan satu rahsia kerana selama ini terutama di dalam beberapa siri ceramah seorang pemimpin utama sebuah parti pembangkang nama Yusof al-Qardhawi tidak lekang di bibirnya yang bertujuan menunjukkan betapa akrabnya hubungan ulama tersebut dengan pemimpin berkenaan.
Di dalam setiap ceramah beliau akan memastikan pertemuannya dengan Yusof al-Qardhawi ketika berkunjung ke luar negara sentiasa disebut dan disebarkan supaya rakyat tahu mereka berdua mempunyai hubungan yang cukup rapat.
Memang tidak dinafikan pengaruh Yusof al-Qardhawi kepada umat Islam di negara ini begitu kuat kerana beliau merupakan seorang ulama terkenal dan disebabkan itu tidak hairanlah namanya sering dijaja atas pelbagai faktor termasuk membabitkan kepentingan politik.
Namun secara ringkasnya sejauh mana akrabnya hubungan Yusof al-Qardhawi dengan pemimpin berkenaan hanya Allah sahaja yang mengetahui.
Sementara itu penulis percaya tidak ramai yang mengetahui mengenai fatwa Yusof al-Qardhawi berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)-ketika ini hak golongan berkenaan sedang hebat diperjuangkan oleh kelompok tertentu di negara ini atas faktor hak asasi manusia.
Dalam satu wacana yang dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat) LGBT di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kampus Antarabangsa Ahad lalu, Pengerusi Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Nasharudin Mat Isa ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Seks Songsang: Perspektif Syari'ah telah mendedahkan kepada umum mengenai pendirian Yusof al-Qardhawi terhadap isu LGBT.
Nasharudin membacakan fatwa Yusof al-Qardhawi di dalam bahasa Arab yang kemudian telah diterjemahkan dan apa yang pasti pendirian ulama tersohor itu berhubung isu berkenaan amat keras.
Yusof al-Qardhawi di dalam fatwanya seperti mana yang dibaca oleh Nasharudin dengan tegas menyatakan bahawa amalan seks songsang itu wajib ditentang oleh semua umat Islam termasuk menggunakan kekuatan kerana perbuatan tersebut amat bertentangan dengan hukum Islam serta fitrah manusia.
Malah ulama kelahiran Mesir itu turut melarang umat Islam makan atau minum bersama pejuang, penyokong serta pengamal LGBT apatah lagi berada di bawah kepimpinan golongan terbabit kerana keadaan mereka yang sentiasa bergelumang dengan perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT.
''Yusof al-Qardhawi di dalam fatwanya mengenai LGBT cukup jelas. Beliau mahu kita semua umat Islam menentang habis-habisan termasuk menggunakan kekuatan terhadap mereka yang menyokong dan mengamalkan LGBT kerana perbuatan ini bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.
''Mesej yang mahu disampaikan oleh ulama tersohor ini, umat Islam wajib menentang kemungkaran dan kita tidak boleh berkompromi dalam soal melibatkan perbuatan-perbuatan maksiat. Amalan-amalan seumpama ini wajib ditentang hingga ke titisan terakhir," ujar Nasharudin.
Nasharudin berkata, asas fatwa yang dibuat oleh Yusof al-Qardhawi itu berdasarkan kepada hak asasi manusia serta kebebasan yang telah ditetapkan di dalam Islam.
Islam, katanya mengiktiraf hak asasi manusia dan kebebasan tetapi ia tetap tertakluk kepada had serta batas-batas syarak.
''Hak asasi dan kebebasan di dalam Islam dipandu oleh al-Quran, al-Hadis serta sumber hukum yang lain dan bukannya bersifat mutlak seperti mana diperjuangkan oleh kelompok-kelompok tertentu di negara ini.
''Hak asasi manusia dan kebebasan yang bersifat mutlak akan membawa kepada kekufuran dan kemaksiatan sedangkan ia sesuatu yang amat ditegah di dalam Islam.
''Saya sebenarnya sengaja membawa fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Yusof al-Qardhawi memandangkan beliau amat terkenal dan amat dikenali oleh umat Islam di negara ini," katanya.
Isu mengenai LGBT di negara mula tercetus pada November tahun lalu apabila 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan berani menganjurkan program Seksualiti Merdeka 2011 iaitu satu program yang dibimbangi menggalakkan seks bebas.
Walaupun Perlembagaan dalam perkara 3 (1) memperuntukkan bahawa Islam merupakan agama Persekutuan dan menjadi tonggak kepada tertubuhnya Malaysia, ia tidak menjadi penghalang kepada kesemua NGO terbabit menunjukkan 'belang' mereka menganjurkan program yang menjijikkan itu.
Bagaimanapun program yang bertujuan memperjuangkan hak LGBT mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak bukan sahaja di kalangan masyarakat Islam malah komuniti bukan Islam.
Dalam pada itu, Nasharudin yang juga bekas Timbalan Presiden Pas berkata, usaha untuk membela hak LGBT sebenarnya cuba mengundang bala daripada Allah SWT.
Apa yang disampaikan oleh Nasharudin itu berasas kepada hukuman Allah yang pernah menimpa kaum Nabi Lut a.s kerana membudayakan perbuatan bercanggah dengan syariat serta fitrah manusia iaitu melakukan hubungan jenis antara lelaki dan lelaki.
Nasharudin turut menggunakan perumpamaan yang disifatkan sebagai satu olahan yang boleh membuatkan seseorang itu resah menanti bala Allah apabila perlakuan seks songsang di negara ini bukan sahaja gay malah turut melibatkan amalan lesbian, biseksual dan transgender.
"Cuba lihat, pada zaman Nabi Lut hanya ada G (gay) sahaja, itu pun Allah telah menjatuhkan hukum yang begitu berat. Bayangkan sekarang, ditambahkan dengan perbuatan LBT (lesbian, biseksual dan transgender). Mahukah kita undang bala Allah dengan hanya kita berdiam diri?," ujar Nasharudin.
Jelas, program yang memperjuangkan seks songsang hukumnya haram dan ia dinyatakan sendiri di dalam al-Quran.
Harus diingat perbuatan memperjuangkan LGBT atau apa-apa perjuangan yang berlawanan dengan ketetapan hukum Allah SWT hanya akan mengundang kemurkaanNya.
Dalam pada itu, Nasharudin telah mengkategorikan pejuang dan pengamal LGBT itu sebagai pengikut-pengikut jejak syaitan dengan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208.
Selain Nasharudin kebimbangan yang sama turut disuarakan oleh tiga ahli panel yang bersama-sama menjayakan wacana tersebut.
Mereka ialah Felo Amat Utama Akademik Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (ISTAC), Dr. Muhammad Uthman El Muhammady ; Ahli Jawatankuasa Biro Undang-Undang, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mahamad Naser Disa dan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Abdul Rahim Sinwan.
Kesimpulannya, kesemua ahli panel mengutuk keras perjuangan membela nasib kumpulan LGBT serta kelompok-kelompok yang mengamalkan perbuatan songsang itu kerana jelas ia bertentangan dengan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Sehubungan itu, mereka mahu semua umat Islam bersatu padu menentang gerakan mereka itu demi memelihara kesucian Islam serta negara negara ini daripada ditimpa bala Allah SWT.
/HWA: utusan.com.my | 27/4/12

Tiada ulasan: