KUALA LUMPUR 26 April - Persatuan Bekas Tentera
Malaysia (PBTM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) mendesak Datuk
Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menunjukkan bukti berhubung dakwaan yang
mengaitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan rampasan kuasa jika
Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum akan datang.
Kedua-dua presiden persatuan itu bersependapat, sekiranya Mohammad
Nizar gagal menunjukkan bukti, maka jelaslah ia satu bentuk tuduhan
berbaur hasutan dan fitnah dengan agenda politik semata-mata.
Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, dakwaan mengaitkan
ATM diarahkan untuk merampas kuasa tidak pernah berlaku dalam sejarah
negara ini.
"Jika ATM nak rampas kuasa sepatutnya ketika peristiwa 13 Mei dahulu,
bagaimanapun ia tidak pernah berlaku kerana ia bukan budaya orang
Melayu, bukan budaya orang Islam.
"Jangan sesekali mempolitikkan isu keselamatan negara kerana tugas
pasukan keselamatan seperti polis dan tentera adalah untuk menjaga
keamanan negara daripada sebarang ancaman.
"Tuduhan tidak berasas sebegini boleh membawa perpecahan, merugikan ekonomi dan kesejahteraan negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Presiden PBPM, Shafie Bakri mendesak Polis Diraja
Malaysia (PDRM) supaya menjalankan siasatan ke atas dakwaan tersebut.
"Kenyataan Mohammad Nizar berbaur hasutan serta satu tuduhan melampau
yang menimbulkan keresahan rakyat dan perasaan benci terhadap Perdana
Menteri dan pasukan keselamatan ATM.
"Tuduhan itu tidak mencerminkan budaya ATM yang menghormati demokrasi
dan institusi raja-raja, bukan sewenang-wenangnya mengetepikan Yang
di-Pertuan Agong untuk merampas kuasa negara ini.
"Hentikanlah ucapan provokasi dan tuduhan melampau sedemikian kerana
ia tidak menguntungkan mana-mana pihak, sebaliknya menjejaskan
keharmonian negara sejak kemerdekaan dicapai," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 27/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan