30 April 2012

Rancang 'cari pasal' salahkan SPR

ATAS kepercayaan hasil kejayaan perhimpunan yang dianjurkannya pada hujung tahun 2007, maka ia mahu diulangi hari ini. Kononnya perhimpunan itu berjaya membawa pakatan pembangkang menawan lima negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan serta menafikan 2/3 suara Barisan Nasional (BN) di Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 bersamaan 8 Mac 2008.
Menjelang PRU-13 ini maka mereka percaya ini adalah masa sesuai untuk mengadakan perhimpunan, apatah lagi tiada lagi istilah 'haram' setelah kerajaan membenarkan perhimpunan awam diadakan.
Selepas menawan banyak kawasan BN dan menubuhkan kerajaan di lima buah negeri (kecuali Perak yang bertahan 11 bulan), tak ada pun terdengar cerita pengundi hantu dan memburuk-burukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Hal ini berlanjutan dengan kemenangan pakatan pembangkang menang berturut-turut dalam banyak pilihan raya kecil.
Sesuatu mula berubah apabila pakatan pembangkang mula tewas satu demi satu dalam pilihan raya kecil. Pembangkang cuma menang separuh daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan di seluruh negara.
Mungkin tidak dapat menerima sokongan pengundi telah kembali memihak kepada BN, pembangkang melalui badan bukan kerajaan yang pro kepadanya mula merancang untuk 'cari pasal' dengan kembali mencari kelemahan SPR. Mereka telah lakukan dalam perhimpunan pada 9 Julai 2011.
Hari ini, mereka mahu turun ke Dataran Merdeka untuk menunjukkan kekuatan. Mereka mahu SPR yang dituduh tidak berlaku jujur mesti memenuhi semua tuntutan mereka.
Apa lagi yang patut SPR penuhi sedangkan anggota mereka sudah menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.
Dulu mereka sibuk tuntut guna dakwat kekal, sekarang sudah dipersetujui. Dulu desak daftar pemilih dibersihkan, sekarang sudah dibersihkan seberapa yang boleh. Jadi setelah diluluskan oleh Parlimen, maka sepatutnya tak ada isu lagi dengan SPR. Jika ada pun SPR hanya perlu melakukan penambahbaikkan.
SPR tidak memihak pada mana-mana parti politik. Jika benar BN dan SPR memanipulasi keputusan pilihan raya, bagaimana banyak kawasan dan kubu kuat BN boleh jatuh kepada pakatan pembangkang.
Hakikatnya Malaysia bukanlah termasuk kumpulan negara yang memanipulasi keputusan pilihan raya.
Mengapa sekarang pembangkang hilang keyakinan diri? Apakah pembangkang mula nampak bayang-bayang kemerosotan sokongan rakyat kepada mereka. Oleh itu, untuk menafikan kelemahan pada pihak mereka, SPR perlu dijadikan 'kambing hitam'.
Kalau tewas dalam PRU-13 nanti, pembangkang sudah ada alasan iaitu faktor SPR. Jelaslah perhimpunan hari ini bukan kerana SPR tetapi lebih kepada mainan politik pembangkang.
Oleh kerana mereka telah pun diberi kebenaran untuk berhimpun maka ikutlah peraturan sebagaimana diperintahkan oleh pihak berkuasa.
/HWA: utusan.com.my | 28/4/12

Tiada ulasan: