30 April 2012

LGBT: Kewarasan lawan kegilaan

Kempen mendidik pelajar dengan nilai-nilai murni dan menolak budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) perlu digerak ke sekolah-sekolah. - GAMBAR HIASAN 
*****


KENAPALAH agaknya tiba-tiba isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ini meletup, panas dan menjadi topik utama yang dibicarakan oleh bukan sahaja media cetak tetapi juga oleh media elektronik, blog dan alam siber. Malah terkini dibawa ke media jalanan pula? Apakah isu ini sesuatu yang baru sehingga semua golongan teruja lantas mengundang pelbagai reaksi pro dan kontra.
Bila diamati seperti ada sesuatu yang besar bakal berlaku tidak lama lagi. Agaknya inilah petanda-petanda terakhir yang besar sebelum munculnya pilihan raya.
Pelik, tentu ramai di luar sana ternganga bila LGBT dikaitkan dengan pilihan raya? Memang langsung tidak berkaitan sama sekali jika dilihat dari satu sudut, namun jika dilihat secara menyeluruh tentu kita boleh memahaminya.
Natijah amalan LGBT mutakhir ini semakin popular malah didokong dan diperjuangkan oleh beberapa NGO dan para pemimpin kanan mereka. Ini termasuk jugalah kumpulan yang mengaku akan menguasai Putrajaya selepas pilihan raya yang bakal menjelang tiba. Tentulah mengesahkan kehebohan itu adalah saling berkaitan. Benar, kalau itu terjadi maka negara kita akan dikuasai oleh kumpulan LGBT.
Inilah isu sebenar yang kita perlu berikan perhatian kenapa LGBT sudah menjadi begitu penting, besar dan sudah tentu relevan kepada semua rakyat negara ini. Kerana kita tahu bahawa amalan LGBT tidak pernah diiktiraf oleh mereka yang waras, oleh mana-mana agama dan ahli kitab keseluruhannya.
Isu ini sebenarnya bukanlah isu mengenai kemanusiaan atau hak asasi manusia semata-mata. Entah apalah sebenarnya interpretasi hak asasi yang sedang golongan ini perjuangkan sehingga kononnya LGBT ini tidak diberikan hak serta tidak diberikan layanan selayaknya sebagai seorang atau sekumpulan manusia. Benarkah isu berkenaan sedemikian kedudukannya sehingga kepentingan kumpulan ini perlu diperjuangkan sedemikian rupa.
Agaknya, siapakah sebenarnya kumpulan mereka ini? Begitu pentingkah sumbangan mereka dalam tamadun manusia sehingga majoriti terpaksa tunduk kepada desakan kumpulan ini. Walhal, jika ditinjau dari sudut perubatan mereka ini adalah kumpulan yang bermasalah dari segi psikologi dan sudah tentu dikelaskan sebagai orang yang sakit. Sakit ini berkaitan dengan emosi, dan dengan kata lain sakit jiwa.
Kalau begitu, bagaimana agaknya orang yang mempunyai masalah kejiwaan ini boleh menerajui badan NGO yang penting dalam negara ini dan ada pula sekarang sedang menerajui parti politik tanah air. Malah bukan calang-calang jawatan yang disandang mereka. Ini jika diambil kira sebagai indikator diskriminasi bolehkah dijadikan asas untuk menuding jari kepada kerajaan bahawa kumpulan mereka ditindas?
Tentu hairan dan pelik apabila pengamal LGBT sudah sampai ke tahap berkenaan tetapi masih menuduh mereka didiskriminasi. Sudah sah sebenarnya mereka ini terdiri daripada kumpulan orang yang berpenyakit. Kerana jika dirujuk secara menegak, melintang atau bersilang sekalipun, tidak ada sebarang bukti bahawa kumpulan ini ditindas.
Jadinya, apa yang ingin mereka perjuangkan?
Kalau begitu, isu LGBT bukanlah bersifat hak asasi lagi. Ia dijadikan kambing hitam bagi menghalalkan penggunaan LGBT untuk menarik perhatian pelbagai kumpulan bagi meningkatkan populariti kumpulan ini dan para pendokong mereka yang sudah tentu mengamalkan corak kehidupan seperti mana yang mereka amalkan.
Agaknya mereka ini ingin menyerlahkan lagi ketrampilan dan penerimaan terhadap kumpulan LGBT dengan menubuhkan satu parti LGBT bagi menyertai pilihan raya pada tahun ini. Eloklah kalau begitu caranya daripada asyik bersorak dan mengadakan forum dan menggunakan media tertentu malah melandaskan kepada pelbagai badan NGO bagi menghalalkan cara supaya masyarakat majmuk dan majoriti yang mendokong norma kehidupan normal berpandukan ajaran agama masing-masing tidak lagi boleh bersuara mengenai kejengkelan diri terhadap kelakuan luar tabie kumpulan ini.
Dengan kata lain, kumpulan kecil ini sudah sampai ke satu tahap kegilaan yang 'gaban' sehingga ingin memaksakan kepercayaan mereka kepada majoriti dan bukan sebaliknya. Inilah yang dikatakan masyarakat 69 atau tunggang-langgang. Yang didiskriminasi sekarang bukan kumpulan minoriti tetapi kumpulan majoriti. Malah kumpulan ini mendesak dan memaksa supaya sikap pelik mereka itu perlu diterima sebagai lumrah manusia dan mereka mempunyai hak asasi supaya dihormati.
Apakah mereka yang kononnya terpelajar ini gagal memberi tafsiran antara kecelaruan sejati, atau nafsu pelik dan otak rosak sehingga melonggokkan kesemua perlakuan pelik dan di luar tabie berkenaan ke dalam kumpulan yang sama LGBT.
Inilah sebenarnya yang membezakan manusia dengan haiwan. Kalau ingin dikelaskan sebagai manusia maka perilaku LGBT ini perlu dihentikan malah diambil tindakan tegas supaya generasi akan datang boleh diselamatkan daripada terjerumus ke lembah Luth yang sudah terang dan dinyatakan secara khusus di dalam kitab suci al-Quran.
Yang penting antara benar dan salah ada garis yang nyata seperti mana mahkamah ingin menjatuhkan hukuman. Meskipun ada garis kelabu antara kedua-duanya tetapi ia bukan menjadi satu alasan untuk menghalalkan semuanya. Ia perlu dilihat daripada satu kes kepada kes yang lain dengan teliti untuk diberikan pengecualian menggunakan pelantar yang rasional dan berasaskan hukum kemanusiaan yang sejati.
Cuba kita bayangkan sekiranya perkara ini dibiarkan berterusan malah kumpulan ini diberikan ruang untuk menjalankan kegiatan gila mereka di negara ini secara bebas. Tentunya institusi keluarga, agama, dan moral tidak lagi dihormati. Apakah yang akan dipanggil oleh anak-anak (anak angkat) bila kedua-dua yang memelihara mereka adalah wanita, atau keduanya lelaki atau sebagainya. Agaknya, tentu guru di sekolah pening kepala apabila borang peribadi keluarga perlukan status penjaga, taraf perkahwinan dan seumpamanya.
Memang apabila berlaku sesuatu perkara yang keliru daripada awal akan terus menimbulkan kekeliruan sehingga ke akhirnya. Kiranya ia tidak dicegah, diperbetulkan atau diambil tindakan, kelak bukan sahaja menimbulkan pelbagai masalah tetapi dari sudut agama tentunya kita akan menerima azab dan bala daripada Allah SAW.
Meskipun gerakan dan permainan isu ini mungkin ada pertalian dengan demam pilihan raya tetapi ia bukan pula boleh dipandang remeh dengan sebelah mata sahaja. Kerana isu ini memang wujud, baik secara senyap tetapi sekarang sudah semakin terbuka. Tanpa prejudis kita perlu melihatnya dengan mata dan minda yang terbuka sebagai penganut agama yang patuh atau warga negara yang prihatin ataupun sebagai manusia yang waras bahawa LGBT adalah isu kewarasan melawan kegilaan.
Dunia pelik itu mereka sendiri yang pilih dan ceburinya tanpa paksaan sesiapa. Jangan pula memaksakan orang lain mengiktiraf perkara luar tabie berkenaan. Itu sudah zalim, kejam dan di luar konteks hak asasi manusia lain.
Secara ringkas, mudah dan tidak membebankan kita tutup sahaja buku LGBT ini dengan mendaftarkan mereka, diberikan kad keahlian, berikan pengiktirafan seperti yang mereka pinta dan asingkan mereka ke satu tempat lain supaya mereka boleh dibezakan dan tidak menjadi parasit yang akhirnya memporak perandakan ketamadunan dunia ketika ini sehingga sanggup pulang ke zaman jahiliah dan menjadi kemurkaan Allah.
PENULIS ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
/HWA: utusan.com.my | 28/4/12

Tiada ulasan: