30 April 2012

Wanita BN sokong pendirian Tunku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR 27 April - Wanita Barisan Nasional (BN) menyokong kenyataan Naib Pengerusi DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang secara terbuka menolak perhimpunan haram Bersih 3.0 di Dataran Merdeka yang akan diadakan esok.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil  berkata, pihaknya kagum dengan pendirian Tunku Abdul Aziz yang nyata tidak menyokong perhimpunan haram itu diadakan.
"Wanita BN sebagai kaum ibu menyokong pendirian Tunku Abdul Aziz kerana tidak seperti rakan-rakannya yang lain, beliau lebih mengutamakan keselamatan terhadap rakyat, keamanan dan keharmonian negara ini melebihi kepentingan peribadi dalam politik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tunku Abdul Aziz pada sesi Dewan Negara semalam, menyatakan bantahan terhadap penganjuran Bersih 3.0 itu berdasarkan pengalaman serta pemerhatiannya terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.
Shahrizat berkata, keazaman, keprihatinan dan kebimbangan Tunku Abdul Aziz terhadap rakyat mencerminkan kefahaman beliau kepada proses demokratik berdasarkan pengalamannya ketika berada di dalam Transperancy International.
Katanya, Wanita BN juga amat kecewa dengan tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menegur Abdul Aziz kerana secara terbuka menolak penganjuran Bersih 3.0 itu.
"Beliau hanya mengamalkan hak demokrasi dalam mengemukakan pandangan beliau itu," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 28/4/12

Tiada ulasan: