TELOK KEMANG 27 April - Tuduhan Ahli Parlimen
Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kononnya Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan rampasan kuasa jika Barisan
Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 disifatkan sebagai
mengarut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
kerajaan sendiri tidak terfikir untuk melakukan perkara itu hanya
semata-mata bagi memenangi pilihan raya.
"Saya ingin tegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak pun tidak pernah memanggil panglima tentera laut, darat dan udara
kononnya kerajaan telah meminta mereka mengambilalih kuasa jika BN
kalah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Majlis
Penyerahan Kunci Bandar Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera
Darat (Pusasda) di sini hari ini.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan
itu turut dihadiri Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal
Abidin.
Ahmad Zahid mengulas dakwaan Mohammad Nizar dalam satu ceramah di
Perak Ahad lalu yang menyatakan beliau telah dimaklumkan kononnya Najib
memanggil dan bertanyakan kepada semua kepimpinan tentera darat dan
udara tentang tindakan mereka sekiranya BN tumbang dalam pilihan raya
umum akan datang.
Sehubungan itu beliau menasihatkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu
supaya berhenti berbohong hanya semata-mata untuk meraih sokongan
daripada pengundi.
Katanya, kenyataan tanpa bersandarkan fakta itu hanya akan
memperlihatkan kedangkalan Mohammad Nizar untuk mengheret anggota
tentera yang dikatakan cenderung kepada satu-satu parti sahaja.
"Kita lihat sebagai contoh Datuk Seri Chan Kong Choy yang bertanding
di Parlimen Lumut hanya menang majoriti 328 dan jika kami memaksa
anggota tentera laut mengundi Barisan Nasional (BN) sudah tentu majoriti
beliau adalah 11,200 undi seperti pada 2004," jelasnya.
/HWA: utusan.com.my | 28/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan