KUALA LUMPUR 2 April – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Azmin Ali (gambar) yang sebelum ini enggan mengulas mengenai pemilikan
saham berjumlah jutaan ringgit dan pernah disiasat oleh Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung perkara itu, hari ini menafikan
memiliki saham berkenaan.
Beliau sebaliknya menyifatkan pihak-pihak yang mengaitkan dirinya
dengan pemilikan saham itu sebagai pemfitnah, sekali gus mahu individu
yang membuat kenyataan tersebut mengemukakan bukti.
“Ada ke saham itu, kalau ada bagi saya ... kalau ada lapan juta, dua
juta bagi saya,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Ketua Pembangkang
di Parlimen di sini hari ini.
Azmin turut mencadangkan agar pihak-pihak yang menimbulkan isu saham
itu memberi angka yang lebih tepat mengenai jumlah yang dimilikinya itu.
Baru-baru ini, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali
mencabar Ahli Parlimen Gombak itu menjelaskan sumber kewangannya ketika
menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994.
Sebelum itu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar
Shaari turut mendesak SPRM mendedahkan status terkini siasatan pemilikan
saham Azmin.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak pembangkang telah mengemukakan
notis untuk pindaan terhadap laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
(PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya bagi memuatkan satu
penyata minoriti berhubung daftar pemilih.
Katanya, notis tersebut telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan
Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini.
Laporan PSC berkenaan telah diedarkan kepada semua anggota Parlimen
hari ini, namun ia tidak boleh disiarkan sehingga dibentang untuk
dibahaskan dalam Dewan Rakyat esok.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan