25 April 2012

Serampang 3 mata TalentCorp

Oleh Magendran Rajagopal
2012/04/25

NAJIB melihat buku Pelan Halatuju Bakat 2020 pada majlis pelancarannya di Putrajaya, semalam. Turut memerhatikan, Hishammuddin, Johan (dua dari kiri), Nor Mohamed dan Mohamed Khaled.
NAJIB melihat buku Pelan Halatuju Bakat 2020 pada majlis pelancarannya di Putrajaya, semalam. Turut memerhatikan, Hishammuddin, Johan (dua dari kiri), Nor Mohamed dan Mohamed Khaled.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Pelan Halatuju Bakat 2020 bagi merangka strategi untuk mengoptimumkan bakat di Malaysia, menjadi penarik dan pemudah cara kepada bakat global serta membina rangkaian terbaik memacu perubahan ekonomi negara.
*****

Bagi tujuan itu, Perdana Menteri berkata, Talent Corporation (TalentCorp) akan menggunakan pendekatan serampang tiga mata bagi mendapatkan bakat terbaik dalam kalangan graduan yang baru memasuki alam kerjaya, terutama sektor membabitkan usaha sama awam dan swasta.
“Pertamanya, TalentCorp akan memupuk kesedaran graduan mengenai peluang kerjaya dan membantu peralihan daripada bidang akademik ke alam pekerjaan menerusi program perantis selain mengoptimumkan bakat sedia ada menerusi pengurusan strategik pelajar tajaan kerajaan,” katanya pada perasmian Pelan Halatuju Bakat 2020, di sini semalam.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican.

Menghurai lanjut, Najib mengumpamakan ETP sebagai ‘kereta’ dan Model Baru Ekonomi (MBE) adalah ‘lebuh raya’ yang perlu dilalui tetapi memerlukan ‘pemandu’ berbakat jika mahu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Sehubungan itu, katanya, Talent-Corp dan kementerian berkenaan akan menjalin kerjasama bagi menjana pertumbuhan bakat baru selain menarik minat bakat warga tempatan dan asing untuk datang bekerja di negara ini.

Pada majlis semalam, TalentCorp menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Antara lain permuafakatan TalentCorp dan KPT dengan kerjasama sektor swasta itu adalah bagi meningkatkan kesedaran mengenai peluang kerjaya dan program perantis yang ditawarkan syarikat tempatan.

Najib turut mengumumkan syarikat minyak dan gas, seperti ditakrifkan mengikut Akta Cukai Pendapatan Petroleum (PITA) 1967, kini boleh menikmati insentif potongan cukai berganda jika menawarkan struktur program perantis bertauliah yang diiktiraf TalentCorp.

“Selaras pengumuman ini, KPT akan bekerjasama dengan TalentCorp bagi memenuhi 12,000 peluang kerjaya di bawah struktur program perantis bertauliah, seperti iumumkan dalam Bajet 2012 sebelum ini.

“TalentCorp dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) juga menyelaras program meningkatkan kemahiran untuk graduan bagi memastikan semua latihan sumber tenaga kerja dilaksana mengikut keutamaan bidang kerja, yang dijangka memanfaatkan sekitar 10,000 graduan setahun dengan peruntukan RM200 juta membabitkan pelbagai kementerian,” katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan, penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun ini akan dikehendaki mematuhi perjanjian dengan berkhidmat untuk negara sama ada di sektor awam atau swasta yang diluluskan untuk memastikan negara mendapat pulangan pelaburan ke atas 12,000 pelajar yang akan ditaja tahun ini yang membabitkan dana RM2.4 bilion.

Selain itu, Najib mengumumkan bahawa Pas Residen, hasil MoU antara KDN dan TelentCorp, bagi menarik golongan profesional, berbakat dan berkemahiran tinggi dari luar negara berkhidmat di sini akan dipanjangkan kepada usahawan yang terbabit dalam kegiatan berintensifkan pengetahuan. 
/HWA: bharian.com.my | 25/4/12

Tiada ulasan: