
KUALA LUMPUR 21 Mei - Sebahagian peniaga dan penjaja yang mengalami
kerugian ekoran perhimpunan haram Bersih 3.0 bertindak nekad mengecat 60
petak perniagaan di kawasan kediaman rumah Pengerusinya, Datuk S.
Ambiga di Bukit Damansara.
*****
Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur, Datuk Jamal
Md. Yunus berkata, tindakan itu merupakan simbolik pendirian golongan
peniaga yang tidak mahu berganjak daripada niat untuk berniaga di situ
pada Khamis dan Jumaat ini.
"Hari ini kami buat petak sebab lusa nak berniaga. Kawasan ini lokasi yang 'berpotensi' untuk berniaga.
"Kita jemput orang ramai datang dari pukul 3 petang hingga 8 malam
untuk beli barang-barang jualan peniaga sebagai sokongan bantahan ini,''
katanya ketika ditemui di Jalan Setiakasih 1, di sini.
Jamal berkata, pihaknya menawarkan tapak gerai di depan rumah Ambiga pada harga bidaan bermula RM2,000.
"Petak-petak yang lain pula ditawar pada harga RM100. Mereka yang
mahu turut serta atau mahu membida tapak gerai di depan rumah Ambiga
boleh ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pagi esok,'' katanya.
Beliau berkata, permohonan untuk berniaga di kawasan itu akan dilakukan esok.
"Kami golongan peniaga tak tahu sangat undang-undang kerana kami hanya tahu cara nak cari makan.
"Kita buat dulu sebab pihak yang buat Bersih walaupun mereka pendukung undang-undang pun buat perhimpunan haram,'' katanya.
Mengulas gesaan Naib Presiden Gerakan, Mah Siew Keong supaya bantahan
di hadapan kediaman persendirian dihentikan, Jamal berkata, mana-mana
pihak yang membantah seharusnya mengemukakan penyelesaian terhadap
kerugian yang ditanggung peniaga.
"Sila maklumkan kepada kami siapa yang bertanggungjawab atas kerugian
golongan peniaga pada perhimpunan Bersih 3.0,'' kata beliau.
Sebelum ini, Pertubuhan Ikhlas bertindak membuka gerai burger
manakala 20 ahli Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) mengadakan
senaman 'tonggeng' di hadapan rumah Ambiga sebagai bantahan.
/hwa: utusan.com.my | 22/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan