
SUDAH terbukti kini hasrat Pas untuk
bermuzakarah dengan UMNO seperti mana yang dicetuskan oleh Datuk Seri
Abdul Hadi Awang sebelum ini hanyalah satu sandiwara.
Biar pun Presiden Pas itu mengatakan parti tersebut bersedia
bermuzakarah dengan sesiapa tetapi ia bukanlah dilakukan secara
bersungguh-sungguh atau mahu memastikan ia direalisasikan.
Segala-galanya terjawab kelmarin apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik
Aziz Nik Mat meletakkan tiga syarat sebelum diadakan muzakarah iaitu
UMNO perlu menerima rakan pakatan Pas iaitu DAP dan Parti Keadilan
Rakyat (PKR), UMNO menukar dasar kebangsaan kepada dasar Islam secara
rasmi dan mencadangkan muzakarah diadakan sebelum pilihan raya umum.
Ketiga-tiga syarat ini jelas membuktikan bahawa Pas meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.
Soal pentingnya muzakarah itu demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam sememangnya tidak ada dalam kamus politik Pas.
Kesediaan Pas membuka pintu untuk muzakarah hanyalah mainan politik
bagi menunjukkan keterbukaan parti itu tetapi hakikatnya parti berkenaan
tidak ada apa-apa keberanian berbuat demikian.
Ia memandangkan syarat yang ditetapkan oleh Nik Abdul Aziz yang
merupakan tokoh paling berpengaruh di dalam Pas jelas menunjukkan apa
pun berlaku parti tersebut tidak akan meninggalkan sekutunya, PKR dan
DAP.
Sebab itulah, apa pun Pas hendak dilakukan maka penglibatan kedua-dua parti itu akan dibawa bersama.
Tindakan ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana selama ini
pun, sejak bergabung dalam pakatan pembangkang, Pas sudah tidak ada
kekuatan apatah lagi untuk berjuang sendirian.
Segala-galanya perlu dirujuk dan mendapat restu kedua-dua parti
tersebut, sebab itulah kita menyaksikan Pas sewenang-wenangnya
meninggalkan perjuangan negara Islam dan beralih kepada negara
berkebajikan.
Malahan baru-baru ini apabila pemimpin Pas bercakap soal hudud,
sekali lagi mereka terpaksa menutup mulut apabila pemimpin-pemimpin PKR
dan DAP bersuara membantah perkara itu dibangkitkan.
Pas terpaksa akur sahaja kerana masa depan parti itu bukan lagi ada
sepenuhnya di bawah kawalan mereka, sebaliknya bergantung kepada PKR dan
DAP.
Jika PKR dan DAP tidak bersetuju dengan apa yang hendak dilakukan,
maka Pas tidak boleh membantah, begitulah juga dalam soal muzakarah ini.
Sekarang sudah sahlah apabila Pas mahu UMNO menerima PKR dan DAP maknanya, Pas mahu menjaga hati rakan sekutu politiknya itu.
Kalau Pas tidak berbuat demikian, parti itu bimbang, kedua-dua parti
berkenaan akan memusnahkan keterujaan Pas untuk bersama-sama menggapai
impian menuju Putrajaya.
Sememangnya, sejak awal lagi ramai pihak melihat, Pas tidak ikhlas,
ajakan muzakarah hanyalah bermotifkan politik dan satu impian yang tidak
akan tercapai selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang.
Sebab itulah, Penganalisis politik, Prof. Mohamed Mustafa Ishak
ketika diminta pandangannya berhubung isu muzakarah ini bertanya kepada
penulis apakah Pas sudah mendapat restu PKR dan DAP dalam soal itu.
Dan kini ternyatalah sebagai 'pak turut' dalam pakatan pembangkang,
Pas tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya. Parti itu perlu mendapat
persetujuan rakan sekutunya kalau mahu bermuzakarah dengan UMNO.
Biar pun muzakarah itu demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam tetapi bagi Pas itu tidak penting.
Ia kerana apa yang lebih penting Pas tidak disingkirkan daripada
pakatan pembangkang kerana parti itu sudah tidak sabar untuk menjadi
sebahagian daripada kerajaan jika pembangkang memenangi pilihan raya
umum akan datang.
Berikutan sikap Pas itu, maka tidak usahlah lagi UMNO melayan
sandiwara politik Pas tersebut. Biarlah Pas terus menjadi 'pak turut'
dalam pakatan pembangkang.
Tambahan pula, ini bukan kali pertama Pas bercadang mahu bermuzakarah
dengan UMNO, sudah banyak kali dan ia akhirnya tidak menjadi kenyataan.
Semua itu berlaku kerana Pas selain tidak ada lagi keberanian
politik, sebahagian pemimpin parti tersebut juga lebih mengutamakan
usaha merebut kuasa politik dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Ini kerana jika Pas mahu bermuzakarah maka lakukan secara jujur dan
ikhlas dengan niat demi Allah SWT, jangan ada helah politik apatah lagi
mainan politik yang mengelirukan.
Soal perpaduan Melayu dan umat Islam ini amat penting jika kita tidak
mahu orang Melayu terus dilihat sebagai satu bangsa yang tidak boleh
bersatu hatta demi untuk kepentingan bersama sekali pun.
Tetapi Pas peduli apa, sebab itulah parti itu tidak sekata dalam soal
berkenaan, biar pun kita tidak menafikan ada sesetengah pemimpin Pas
ikhlas untuk bermuzakarah dengan UMNO namun mereka tidak ada kekuatan.
Mereka yang cuba bersuara lantang menyokong muzakarah diadakan tanpa syarat akan dicap sebagai boneka UMNO.
Gelaran inilah yang memungkinkan satu ketika dulu usaha mewujudkan kerajaan perpaduan antara kedua-dua parti ini tidak tercapai.
Dan lebih buruk lagi, pemimpin-pemimpin yang dilihat cenderung hendak
berbaik dengan UMNO tersingkir dalam pemilihan parti, manakala pemimpin
yang dilihat melakukan perkara yang tidak menyenangi PKR dan DAP
dipecat.
Apa pun, sikap terbaru Pas ini, sudah tentulah mengecewakan orang
Melayu dan umat Islam yang amat mengharapkan kedua-dua parti itu mencari
titik persamaan.
Sepatutnya untuk menjayakan muzakarah antara UMNO dan Pas ini, ia
perlu dilaksanakan tanpa syarat dan sekatan, tidak perlu hendak
membincangkan agenda siapa terima Islam, siapa tolak Islam. Sebaliknya
tumpukan perhatian kepada apa yang boleh dilakukan untuk melihat umat
Islam di negara ini bersatu.
Namun segala-galanya kini sudah tidak bermakna lagi kerana Pas sudah terbukti tidak ikhlas untuk berbaik-baik dengan UMNO.
Bagi Pas, memburu kuasa politik adalah jauh lebih penting daripada
memikirkan bagaimana kekuatan politik yang ada di kalangan orang Melayu
diperkukuhkan.
Pas bukannya tidak tahu bagaimana dalam senario politik sekarang
golongan minoriti di sesuatu kawasan akan menjadi penentu kepada
survival politik orang Melayu sama ada calon itu daripada UMNO mahupun
Pas.
Itu baru dari segi undi di mana sudah ada tanda-tanda bahawa orang
Melayu terpaksa bergantung kepada ehsan orang lain untuk terus berkuasa,
bagaimana kalau selepas ini kita terus lemah? Apakah kita juga terpaksa
mengemis demi meneruskan kehidupan di tanah air sendiri.
Tetapi apakah Pas peduli? Sudah pasti tidak kerana sebahagian
pemimpin-pemimpin parti itu sudah dikuasai oleh politik kepartian yang
berlebihan.
Bagi mereka, kalau hendak berunding dengan orang lain biar pun bukan
seagama dan sebangsa tidak perlu syarat kononnya atas nama tahaluf
siyasi tetapi kalau dengan UMNO yang pemimpin dan ahlinya orang Melayu
dan beragama Islam, maka perlu ada syarat. Inilah kecelaruan politik Pas
yang semakin ketara!
/hwa: utusan.com.my | 22/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan