23 Mei 2012

BN janji selesai isu air Selangor

MOHD. Zin Mohamed (dua dari kiri) mengadakan sidang akhbar mengenai isu air di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah 
*****


SHAH ALAM 21 Mei - Barisan Nasional (BN) Selangor berjanji akan menyelesaikan kebuntuan dalam usaha menangani masalah pembekalan air bersih di negeri ini dan Lembah Klang sekiranya diberi mandat memerintah semula.
Koordinator BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, sehingga kini, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor masih enggan memberikan kebenaran supaya Projek Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan sedangkan rizab air di negeri ini hanya tinggal 2.4 peratus berbanding kadar sepatutnya iaitu 20 peratus.
Beliau yang menganggap masalah air tersebut sebagai serius dan genting menegaskan, usaha itu bagi memastikan kepentingan awam untuk mendapatkan sumber air bersih mencukupi terjamin sekali gus mengelakkan rakyat daripada menderita akibat krisis air menjelang 2014.
"Kerajaan negeri sanggup berdolak-dalik malah tergamak menahan kelulusan yang telah diperoleh sebelum ini semata-mata kerana kepentingan politik sempit mereka.
"Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) bukan sahaja sanggup membawa perkara itu ke peringkat antarabangsa bagi meraih simpati malah menabur fitnah apabila menuduh syarikat yang mengendalikan operasi perkhidmatan bekalan air di negeri ini sebagai tidak berupaya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini dilaporkan isu bekalan air di Lembah Klang menyebabkan 129 kilang dengan nilai pelaburan RM3.8 bilion dan menjana 12,300 peluang pekerjaan tidak dapat dilaksanakan selain sejumlah projek perumahan gagal dibangunkan ekoran tiada jaminan bekalan air mencukupi.
Mohd. Zin berkata, kajian menunjukkan Lembah Klang akan mengalami krisis air yang serius pada 2014 jika tiada usaha bersepadu mendapatkan bekalan air mentah dari luar dan pelbagai kajian juga menunjukkan keputusan menyalurkan bekalan air mentah dari Pahang dilakukan kerana ia melibatkan kos paling kompetitif.
"Isu ini juga telah mendapat teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila baginda sendiri bertitah agar isu air tidak dipolitikkan demi kepentingan rakyat. Masalah ini akan mengancam masa depan Selangor, ini bukan masanya untuk bermain politik.
"Kesanggupan kerajaan negeri membatalkan keputusan yang telah diperoleh sejurus menang dalam pilihan raya umum lalu menunjukkan sikap hipokrit kerajaan pakatan pembangkang PKR, DAP dan Pas," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 22/5/12

Tiada ulasan: