PUTRAJAYA 30 April - Bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad berkata, sudah menjadi modus operandi Datuk Seri
Anwar Ibrahim memberi arahan kepada peserta supaya merusuh dan
kemudiannya beliau menghilangkan diri.
Menurut beliau, tindakan itu juga merupakan reputasi Anwar sejak dipecat daripada Kabinet.
"Jadi ini adalah reputasi (Anwar). Kali terakhir berlaku apabila
mereka berdemonstrasi semasa saya menjadi Perdana Menteri, dia menghasut
rakyat dan kemudian dia menghilangkan diri.
"Itulah modus operandi biasa Anwar, dia menghasut penduduk dan
kemudian dia akan lari supaya orang tidak boleh menuduh beliau,''
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa Anwar memberi
arahan kepada peserta demonstrasi Bersih 3.0 supaya merempuh halangan
polis dan memasuki Dataran Merdeka.
Bekas Perdana Menteri turut ditanya mengenai tuduhan bahawa polis
menyamar untuk mencetuskan keganasan termasuk memukul seorang anggota
polis lain.
Dr. Mahathir berkata, semua yang berlaku pada hari perhimpunan haram
itu memang sengaja dirancang oleh pembangkang termasuk kejadian kereta
polis diterbalikkan dan cara polis itu dipukul.
"Saya tidak tahu sama ada anda mahu percaya atau tidak, saya melihat mereka menterbalikkan kereta polis berkenaan.
"Pada pandangan saya, mereka tidak kelihatan seperti polis (yang
menyamar) sebagaimana yang didakwa pembangkang sebaliknya lebih kepada
peserta perhimpunan haram itu sendiri," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 3/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan