
ANUAR SHAARI
*****
KUALA LUMPUR 30 April - Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya digelar
sebagai ketua pemberontak berikutan keadaan huru-hara yang berlaku pada
perhimpunan haram Bersih 3.0 di ibu negara Sabtu lalu.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, ketua pembangkang
itu merupakan antara individu yang sepatutnya dipersalahkan kerana
perhimpunan haram itu yang dijanjikan berlangsung secara aman bertukar
menjadi ganas dan liar.
“Bagaimana hendak menjadi Perdana Menteri apabila dia sendiri
menghasut orang ramai untuk melanggar peraturan. Kalau dia jadi Perdana
Menteri, maknanya semua undang-undang akan langgar.
“Bagi saya Anwar tidak layak lagi jadi ketua pembangkang, malah dia
patut dilabelkan sebagai ketua pemberontak kerana sanggup melakukan apa
sahaja untuk mencapai cita-cita peribadinya menjadi Perdana Menteri,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Jelas Anuar lagi, menerusi rakaman video yang kini tersebar luas di
Internet, Anwar dilihat jelas memberi isyarat kepada Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali serta kumpulan peserta Bersih
lain untuk merempuh penghadang polis semasa perhimpunan itu.
“Dia sanggup memperkudakan peserta demonstrasi Bersih untuk melakukan
huru-hara di ibu negara dan saya percaya dia sanggup melakukan lebih
daripada itu semata-mata untuk mendapatkan kuasa," katanya.
Kata Anuar, walaupun keadaan huru-hara tersebut berjaya ditimbulkan,
beliau yakin majoriti rakyat di negara itu tidak bersetuju dengan
pendekatan yang diambil oleh Anwar itu.
“Perhimpunan itu dari awal lagi sudah gagal kerana mereka hanya dapat
menghimpunkan kira-kira 20,000 orang daripada 500,000 orang yang
disasarkan.
“Sekarang terpulang kepada kumpulan majoriti senyap rakyat negara ini
untuk menilai kerosakan yang dibawa oleh Anwar serta Bersih," katanya.
Sementara itu, bekas Exco Angkatan Muda Keadilan, Abdul Ghani Haroon
berkata, Anwar adalah pemimpin yang patut ditolak oleh rakyat kerana
Penasihat PKR itu bertindak biadab dan kurang ajar terhadap institusi
penting di negara ini.
“Anwar telah berlaku biadab terhadap institusi kehakiman dan polis
apabila tetap berdegil mahu meneruskan demonstrasi tersebut. Bagaimana
dia mahu memimpin negara sekiranya undang-undang dia tidak hormat dan
melanggarnya," katanya.
Beliau memuji tahap profesionalisme pihak polis yang berjaya mengawal
keadaan walaupun ramai daripada peserta demonstrasi berlaku biadab dan
mencabar pihak berkuasa itu.
/HWA: utusan.com.my | 1/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan