10 Mei 2012

Azmin perlu jelaskan Anwar darah daging beliau

KUALA LUMPUR 8 Mei - Timbalan Presiden Parti Keadilan Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali didesak menjelaskan maksud sebenarnya apabila memberitahu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan 'darah daging' beliau yang sebenar.
Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim berkata, Azmin perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat bagaimana Anwar boleh menjadi darah daging beliau sehingga Ahli Parlimen Gombak itu sanggup membuang keluarga sendiri.
"Azmin juga perlu menjelaskan perkara yang sama kepada isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagaimana Ketua Pembangkang itu boleh menjadi darah daging dan kenapa bukan adik-beradik seperti Ummi Hafilda Ali.
"Parti KITA juga ingin tahu, kalau Azmin sudah mengangkat Anwar sebagai darah daging sehingga sanggup meminggirkan ibunya, apakah syurga juga di bawah tapak kaki Anwar berbanding ibu sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ibu Azmin, Che Tom Yahaya, 78, sebelum ini, mendedahkan semasa Syawal tahun lalu anak keempatnya itu bukan sahaja menuduh Ummi Hafilda sebagai perempuan sundal malah, secara terbuka mengakui hanya Anwar darah daging dia dan bukan adik-beradik kandungnya.
Selain itu, Che Tom berkata, Azmin juga melarang anak-anaknya daripada menyentuh makanan yang disediakan pada Hari Raya Aidilfitri tersebut serta melarang mereka daripada duduk di atas kerusi kerana dakwanya belum disamak.
Dalam pada itu, Zamil berkata, sikap Azmin yang mengabaikan ibu sendiri menyebabkan beliau tidak layak diangkat sebagai pemimpin kerana jika tanggungjawab sebagai seorang anak pun, Timbalan Presiden PKR tersebut gagal laksanakan bagaimana hendak membantu rakyat.
"Azmin bukan sahaja tidak layak untuk digelar sebagai pemimpin malah tidak layak pun untuk kita sokong atau mengundi beliau kerana tanggungjawab kepada ibunya sendiri pun beliau abai," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 9/5/12

Tiada ulasan: