10 Mei 2012

PULAU PINANG 8 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang membidas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dianggap biadab dan bersifat perkauman menebal serta tidak sepatutnya diluahkan oleh seorang Ketua Menteri yang sepatutnya membela semua kaum.
Ketuanya, Ir. Shaik Hussein Mydin berkata, beberapa kenyataan diungkapkan oleh Guan Eng dilihat menghina sesetengah golongan di negeri itu serta bersifat perkauman.
Menurutnya, sikap rasis Guan Eng serta beberapa pemimpin DAP itu amat ketara terutama terhadap rakyat berkulit gelap dengan beberapa kenyataan serta ucapan mereka.
"Antara buktinya adalah penyiaran artikel di dalam akhbar Buletin Mutiara keluaran 1-15 April pada ruangan Tinta Pengarang di halaman 20 dengan jelas telah menghina rakyat berkulit dengan menggelarkan mereka 'Melayu Celup Kopi'. Tidakkah 'celup kopi' itu menghina rakyat yang berkulit hitam?
"Tidak cukup dengan itu kenyataan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming ke atas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambri Kadir dengan gelaran 'hitam metalik' dan begitu juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koh Ham dalam Twitternya berkata, 'indians are not as stupid as they think they are' jelas menunjukkan pemimpin DAP memang suka menghina mereka yang berkulit hitam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shaik Hussein mengulas kenyataan Guan Eng di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam, yang mendakwa semua kuil Hindu akan terancam sekiranya UMNO kembali berkuasa di negeri ini.
Tambahnya, beliau yakin sekiranya DAP diberi peluang berkuasa di peringkat nasional, semua rakyat yang bukan sama warna kulit dengan kepimpinan mereka akan terus dihina.
Oleh itu jelas Shaik Hussein, sudah tiba masanya untuk semua rakyat Malaysia terutamanya di Pulau Pinang menentang habis-habisan kepimpinan DAP yang sering menghina warna kulit dan kaum yang tidak menyokong mereka.
/HWA: utusan.com.my | 9/5/12

Tiada ulasan: