Wakil belia dari Teluk Intan, Perak
ketika sesi soal jawab sempena Persidangan Parlimen Belia Malaysia di
Kuala Lumpur, baru-baru ini. - BERNAMA
*****
GOLONGAN belia kini berjumlah 11.9 juta atau
merangkumi sekitar 40 peratus daripada lebih 29 juta penduduk negara
ini. Tidak menghairankan apabila tumpuan banyak diberikan untuk membela
nasib dan masa depan mereka kerana belia juga bakal mewarisi dan menjaga
kelangsungan agama, bangsa dan negara kelak.
Ada juga yang berpendapat golongan belia kini terlalu dimanjakan
dengan bermacam pemberian dan kemudahan tetapi muda-mudi ini seharusnya
dibantu mencapai potensi optimum mereka seperti mana mereka yang dibantu
sejak negara merdeka lagi.
Bersesuaian dengan tema sambutan tahun ini, 'Jadikan Hari Esok Lebih
Baik Dari Hari Ini', pelbagai program dan usaha digerakkan kerajaan dan
golongan 'senior' bagi memastikan kedaulatan Malaysia terlindung
sehingga ke anak cucu.
Semua yang diberi dan disediakan untuk muda mudi kini juga merupakan
satu simbol kepercayaan daripada kepimpinan sedia ada agar golongan
belia akan meneruskan perjuangan, melindungi apa yang sudah dicapai dan
mengejar kemuncak kejayaan.
Oleh itu, golongan belia juga perlu menghargai segala usaha tersebut,
bukan sahaja dengan menghormati mereka yang lebih tua malahan membalas
kepercayaan itu sewajarnya.
Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, permainan politik yang melampau
telah mengaburi mata sebahagian rakyat sehinggakan semua perkara
dilihat sebagai cubaan memancing undi.
Hakikatnya, kalangan belia sendiri sudah dewasa pemikirannya dan
dapat membezakan antara politik sempit dan usaha jangka panjang demi
anak bangsa dan tanah tumpah darah.
Walaupun ramai yang riuh-rendah menjadi boneka pihak dengan agenda
peribadi, lebih ramai lagi belia yang bersyukur dalam diam dan berterima
kasih dalam menjalankan tanggungjawab pendidikan dan pekerjaan
masing-masing.
Bagi Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abdul Manap,
belia kini perlu sedar pembangunan yang telah dikecapi adalah hasil
usaha generasi terdahulu. Tegasnya, muda-mudi perlu berterima kasih
kepada orang terdahulu yang banyak berkorban dan tidak berhenti berusaha
demi mewariskan masa depan yang lebih baik dan selesa.
"Kita patut bersyukur sangat dilahirkan di Malaysia. Tetapi, belia
juga perlu lebih berilmu, berinformasi dan mempunyai wawasan dan
cita-cita. Walaupun perkembangan teknologi memudahkan generasi Y
mendapat maklumat, kita perlu sedar kehidupan kini juga semakin
mencabar," katanya.
Beliau berpendapat peranan teknologi, masyarakat dan institusi
berkaitan juga akan mempengaruhi perkembangan belia dan kerana itu muda
mudi kena pandai berfikir akan baik dan buruknya sesuatu pilihan dan
perbuatan.
Mengambil contoh cubaan sesetengah pihak menggunakan belia untuk
agenda peribadi, beliau berharap golongan belia melihat jika ia membawa
nikmat jangka pendek atau jangka panjang.
"Orang muda mudah melihat usaha oleh pembangkang memainkan isu
tertentu terutamanya melibatkan kewangan, perumahan dan kerjaya, sebagai
satu pembelaan.
"Namun, mereka perlu pandai berfikir dengan matang tentang baik buruk
usaha tersebut terhadap masa depan diri sendiri dan juga generasi
berikutnya," katanya.
Tambahnya, saranan memansuhkan pinjaman pendidikan mungkin bagus
untuk menghapuskan hutang belia kini tetapi menimbulkan tanda tanya dari
mana generasi pelajar berikutnya mahu mendapatkan bantuan pendidikan.
Anuar turut menyelar penyertaan belia dalam sebarang demonstrasi
kerana mereka telahpun diberikan peluang dan ruang untuk berkongsi
pandangan dan meluahkan perasaan.
"Gunakanlah saluran sedia ada untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit, banyak lagi cara lebih baik untuk menyuarakan pandangan.
"Malahan, usaha membentuk Parlimen Belia juga akan memberi suara
kepada akar umbi berkongsi pandangan dan pendapat tentang isu-isu
bersama kerajaan," jelasnya.
Khusus untuk belia Felda, beliau menasihatkan muda-mudi generasi baru
Felda tidak terlalu seronok dengan apa yang sudah diberi dan disediakan
kerajaan.
"Kerajaan 'membelai' warga Felda kerana menghargai generasi pertama
peneroka yang bersusah payah menempuh arus hidup, oleh itu kita juga
tidak boleh bergantung kepada Felda semata-mata. Jika Perdana Menteri
berani membuat transformasi, kita juga kena berani transformasikan minda
agar mampu berdikari walaupun jika berada di luar Felda," tegasnya.
Menurutnya lagi, generasi Felda di dalam atau luar tanah rancangan
perlu mempunyai kekuatan dan kemampuan berdikari agar boleh sama-sama
membantu saudara mereka di tanah rancangan yang masih memerlukan
bantuan.
Beliau menekankan, apa yang dicapai kini merupakan satu kesinambungan
kejayaan Felda selama 55 tahun dan generasi muda perlu teruskan dan
menjaga kelangsungannya.
Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Zaidi Aziz pula
berpendapat belia kini sukar membayangkan keperitan ketika zaman awal
kemerdekaan kerana mereka tidak merasainya sendiri.
"Mereka perlu diterapkan dengan rasa cinta kepada negara, bukan sahaja oleh kerajaan malahan ibu bapa sendiri.
"Untuk mengatakan belia kini terlalu dimanjakan juga tidak adil
kerana kerajaan dan ibu bapa mereka tentu tidak mahu anak-anak muda ini
merasai keperitan seperti zaman dahulu," jelasnya.
Tambahnya, apa yang diberikan kepada belia kini adalah apa yang
diperlukan mereka dan muda mudi perlu sedar semua itu juga adalah demi
masa depan mereka kelak.
Beliau memberi contoh bagaimana ibu bapa dahulu menghantar anak ke
sekolah agar menjadi manusia berguna tetapi kini ibu bapa menghantar
anak ke sekolah agar menjadi bijaksana.
"Zaman sudah berubah tetapi hakikatnya apa yang ibu bapa dan kerajaan
berikan dahulu dan kini adalah untuk masa depan belia sendiri. Pokok
pangkalnya, terpulang kepada masing-masing apa yang mereka mahu untuk
diri sendiri," ujarnya.
Tegasnya, jika belia bijak melihat sejarah silam, mereka akan tahu
menghargai apa yang sedia ada kerana apa yang berlaku kini bermula dari
dahulu lagi dan bukannya hadir secara tiba-tiba.
Mohd. Zaidi juga menyaran agar muda mudi tidak terikut-ikut dengan
cara Barat dan 'kebebasan mutlak' di sana kerana kebebasan itu perlu ada
batasannya.
"Pendekatan, cara dan budaya kita juga jauh berbeza dengan Barat, kita ada adab dan tata susila sebagai masyarakat Timur.
"Hak kebebasan itu ada batasnya, masalah tidak selesai juga jika asyik mengikut segala cara orang Barat," katanya.
Untuk itu, beliau berharap pihak kerajaan akan terus merapatkan
jurang hubungan dengan golongan belia kerana zaman sudah berubah dan
memerlukan pendekatan lebih sesuai dengan tahap pemikiran dan pendidikan
muda mudi kini.
Namun, beliau merasakan belia sendiri perlu memahami bukan semua
permintaan mereka dapat dipenuhi sepanjang masa dan tidak sepatutnya
cepat melatah jika masih ada peluang untuk mencuba lagi.
"Seperti mana ibu bapa yang tidak dapat memberi semua yang diminta
anak kerana faktor kemampuan, belia juga perlu hargai apa yang diberi
dan mencuba lagi atau berusaha lebih kuat mendapatkan apa yang mereka
perlukan.
"Gunakan saluran yang sedia ada dan berikan peranan kepada kerajaan
dan pihak terbabit untuk laksanakan penambahbaikan, bukannya melatah
mengikuti demonstrasi jalanan," jelas Mohd. Zaidi.
/HWA: utusan.com.my | 15/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan