APA sebenarnya hala tuju Majlis Peguam sekarang ini? Adakah masih
kekal dengan matlamat mahu menegakkan kedaulatan undang-undang,
melindungi kepentingan profesion guaman dan orang awam?
Atau badan yang mewakili cerdik pandai undang-undang itu semakin
caca-marba hala tujunya sehingga bercampur baur dengan politik
menjadikan Majlis Peguam menyimpang dari matlamat asal penubuhannya.
Sebagai sebuah badan bebas yang bertunjangkan Akta Profesion
Undang-Undang 1976, tentunya Majlis Peguam bukan calang-calang.
Profesion peguam itu sendiri dipandang tinggi dan hebat di kaca mata
orang awam.
Seperti mana Majlis Perubatan atau apa sahaja badan yang menyelia
khidmat profesional, anggotanya tertakluk kepada undang-undang.
Maknanya, setiap badan mesti bergerak di dalam ruang lingkup yang
ditetapkan dan badan yang ditubuhkan menjadi pembimbing, pemantau dan
penyelia supaya ahlinya tidak tersasar.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hala tuju Majlis Peguam
ada lencongan kanan dan kiri. Isu yang menjadi kecenderungan badan itu
dilihat agak terbatas kepada perjuangan parti pembangkang. Apa jua isu
yang disuarakan pembangkang terutama parti pimpinan Datuk Seri Anwar
Ibrahim segera mendapat tempat dalam badan itu.
Bukan itu saja, baik bekas presiden atau pun presidennya dilihat
menjadi penggerak kepada aktiviti-aktiviti yang menyanggah undang-undang
seperti yang terbaru perhimpunan haram mahu ‘menakluk’ Dataran Merdeka.
Sudah acap kali dibangkitkan perihal perhimpunan haram itu. Apabila
ditanya mengapa mahu berhimpun, jawab bekas orang kuat badan itu untuk
menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Namun tidak diperjelaskan
pula adakah pilihan raya yang bersih dan adil sebelum ini hanya di lima
negeri yang tumbang kepada pembangkang. Adakah kemenangan Barisan
Nasional di negeri-negeri lain bukan disebabkan pilihan raya yang bersih
dan adil?
Sebab itu apabila bercakap tentang suara Majlis Peguam sekarang ini,
nadanya memang agak berbeza daripada dahulu. Kalau dulu Majlis Peguam
bercakap tentang pembaharuan undang-undang, kepentingan ahli terutama
peguam muda dan pelbagai kesukaran yang terpaksa ditempuh orang awam
untuk mendapat keadilan, kini tidak lagi.
Bukan tidak pernah Majlis Peguam mengadakan perarakan atau
demonstrasi. Trend sebelum tahun 2000 misalnya menyaksikan beberapa
perarakan anjuran Majlis Peguam berlangsung secara aman. Sebagai cerdik
pandai undang-undang mereka akur kepada kehendak undang-undang.
Undang-undang bukan untuk mencetuskan kekacauan jauh sekali dijadikan
alat untuk menimbulkan provokasi sehingga akhirnya menukar suasana aman
kepada huru-hara.
Catatan siri perarakan anjuran Majlis Peguam sebelum ini termasuk
bagi membantah penggubalan Akta Pertubuhan 1978, sebagai tanda sokongan
kepada peguam Zainur Zakaria yang menghadapi tuduhan menghina mahkamah
berkaitan kes Anwar pada 1999 dan Walk of Justice pada 2007 tidak
dicacatkan dengan insiden keganasan.
Mereka berarak secara aman. Isu yang diketengahkan juga amat
berkaitan dengan tuntutan asal penubuhan itu iaitu mengangkat kedaulatan
undang-undang, menegakkan keadilan, melindungi kepentingan pengamal
undang-undang dan orang awam.
Biar pun ada yang melihat badan itu mula cenderung kepada pemimpin
politik tertentu selepas tahun 2000, namun pergerakan mereka masih
dikawal undang-undang yang menjadi asas kepada penubuhan badan itu.
Badan peguam tidak mengajar orang lain melanggar undang-undang.
Pemimpinnya juga akur kepada tuntutan setiap perhimpunan mestilah
berlangsung secara aman. Sebab itu tiada insiden kekerasan atau
keganasan setiap kali Majlis Peguam menganjurkan perhimpunan.
Namun semua itu tidak lagi. Majlis Peguam menjadi badan paling ke
hadapan membantah undang-undang. Budaya degil jelas dipupuk oleh bekas
presiden badan itu.
Paling mengelirukan apabila perhimpunan anjuran bersama bekas
presiden Majlis Peguam dengan mendapat restu Majlis Peguam itu sendiri
dipelopori pemimpin-pemimpin pembangkang yang tiada latar belakang
undang-undang. Apakah itu kehendak kira-kira 14,000 ahli Majlis Peguam?
Adakah mereka mengizinkan badan yang menaungi profesion mulia itu
menjadi alat puak-puak tertentu?
Amat jelas Majlis Peguam kini bergerak untuk mengetengahkan agenda
kumpulan tertentu. Mereka mahu menggunakan bijak pandai undang-undang
untuk melumpuhkan undang-undang itu sendiri sehingga akhirnya
undang-undang rimba mendapat tempat.
Justeru apa relevannya Majlis Peguam jika sebenarnya perjuangan yang
menjadi keutamaan adalah untuk memenuhi agenda orang luar badan itu.
Lebih memeritkan isu yang diperjuangkan mencetuskan huru-hara dan
pelanggaran undang-undang yang amat ketara sekali. Isu-isu yang
sepatutnya menjadi perhatian pula semakin terpinggir.
/HWA: utusan.com.my | 15/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan