Felda telah banyak berubah. Di sebalik sisi gelap
Pas dan PKR yang mencuba tak kira siang dan malam 'mencanai' segala
usaha kerajaan untuk memartabatkan hidup yang lebih baik buat lebih
100,000 peneroka Felda, eloklah penulis berkongsi sedikit pengalaman
turun padang menjengah kehidupan terbaru peneroka.
Awal tahun ini, seorang rakan penulis yang juga wakil Utusan Malaysia di
Temerloh, Ali Mahmood berkesempatan bertemu seorang peneroka tanah
rancangan itu. Dia berketurunan India dan tinggal di Felda Damar,
Temerloh. Dia yang enggan dikenali memberitahu ada memiliki RM250,000
saham dalam Kumpulan Permodalan Felda (KPF). Katanya, setiap tahun dia
memperoleh dividen antara RM35,000 hingga RM38,000.
"Saya kira kalau saham KPF ini ditukar ke saham Felda Global Ventures
Holdings (FGVH), saya boleh dapat dividen antara RM250,000 hingga
RM270,000 setahun. Memang jauh berbeza kalau ia masih dalam KPF.
"Saya memang confident dengan Felda... 100 peratus (kepercayaan) saya serahkan kepada Felda. Felda tak pernah tipu saya," katanya kepada Ali.
Peneroka India itu hanya bercerita 'sekali lalu' tetapi menurut Ali,
peneroka berkenaan yang baru kematian isteri akibat satu kemalangan,
dilaporkan turut berjaya menghantar anaknya ke Amerika Syarikat
mengikuti jurusan kedoktoran dengan pembiayaan poket sendiri - hasil
jerih-perihnya bersama Felda.
Memang benar, di tanah-tanah rancangan Felda sekarang, pendapatan
penerokanya setiap bulan agak lumayan. Boleh meraih purata antara
RM6,000 hingga RM10,000 sebulan.
Kalau sekadar goyang kaki dari hasil kelapa sawit dan getah pun boleh
hidup senang, apatah lagi jika bekerja lebih keras lagi dengan mengikat
kontrak membersihkan ladang, angkut buah atau baik pulih rumah.
Sebenarnya banyak cerita hebat mengenai peneroka Felda sampai ke telinga penulis.
Di Felda Jenderak Selatan dalam kawasan Parlimen Kuala Krau
bersempadan Jerantut - lokasi satu majlis himpunan raksasa warga Felda
(di Felda Jengka 8) yang bakal menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak mengumumkan 'durian runtuh' yang dijanjikan kepada warga
Felda sempena penyenaraian FGVH - seorang anak muda disapa oleh Ali dua
bulan lepas. Ditanya oleh Ali: "Mak awak sudah ambilkah duit BR1M
(Bantuan Rakyat 1Malaysia) itu?
Jawab anak muda itu: "Buat apa nak ambil, pendapatan mak saya daripada hasil getah pun dah dekat RM10,000 sebulan."
Sebenarnya, kalau tengok rumah-rumah peneroka di hampir seluruh
Felda, memang hebat-hebat belaka. Tak semua banglo tapi saiznya besar.
Itu belum masuk kereta tiga empat buah termasuk kenderaan 4WD.
Di Pahang sendiri, keseluruhannya begitulah. Cuma di Pahang, tak
boleh lawan dengan Felda Sungai Koyan 2 dan 3. Landskapnya menarik -
persekitarannya menghijau dengan rumput yang cukup bersih dan sebiji
sampah pun tak kelihatan. Kedua-dua kawasan ini didiami bekas polis dan
tentera.
Hari ini, seramai 112,635 peneroka Felda di seluruh negara bakal
menerima bonus atau 'durian runtuh' sebagai tanda terima kasih kerajaan
kepada jasa golongan ini.
'Durian runtuh' itu adalah sebagai tanda penghargaan usaha dan
pengorbanan peneroka Felda yang bersusah payah membuka tanah hutan
kepada ladang getah dan kelapa sawit.
Disingkap sejarah, Felda ditubuhkan pada 1956 menjelang merdeka. Dari
detik permulaan secara kecil-kecilan, organisasi ini berkembang menjadi
suatu organisasi raksasa. Kini, tanah-tanah rancangan yang
diselenggarakannya meliputi lebih daripada setengah juta hektar dan
lebih daripada setengah juta orang mendapat manfaat daripada Felda yang
terdiri daripada peneroka, pekerja Felda dan pekerja kontrak serta
keluarga masing-masing.
Sejak 1960, Felda yang ditubuhkan untuk pembangunan kawasan pedalaman
yang lebih terpencil di negara ini, telah bertanggungjawab secara
langsung dalam usaha pembangunan. Kerajaan-kerajaan negeri menyerahkan
segala hak ke atas tanah untuk diusahakan kepada Felda yang seterusnya
menjadi agensi yang bertanggungjawab memajukannya kepada suatu kawasan
pembangunan yang bersepadu sepenuhnya.
Rancangan tanah pertama yang dibuka ialah Rancangan Lurah Bilut yang
ditanam dengan getah iaitu pada tahun 1958. Rancangan tanah Taib Andak
pula merupakan rancangan Felda pertama ditanam dengan sawit sekitar
1961.
Dan hari ini, 'durian runtuh' yang diumumkan Perdana Menteri
dikatakan akan disampaikan dalam dua bentuk - wang tunai dan saham. Apa
yang pasti 'durian runtuh' itu melebihi kadar BR1M.
Nilai pemberian itu dijamin menyamai maksud 'durian runtuh' kerana ia
merupakan satu lonjakan berganda kepada bonus peneroka. Ia akan
diperuntukkan melalui wang Felda sendiri dan bukannya daripada wang
kerajaan yang diharap dapat merangsang aktiviti ekonomi warga Felda di
kawasan pedalaman.
Dalam hal ini, Felda sebenarnya tidak pernah memaksa para peneroka
mengambil pinjaman untuk membeli saham-saham FGVH. Ini memandangkan
kebanyakan syarikat membuka peluang kepada pemegang-pemegang
berkepentingan membeli saham-sahamnya semasa proses penyenaraian.
Syarikat-syarikat itu juga kebiasaannya mengaturkan pembiayaan
menerusi institusi kewangan terpilih kepada pihak-pihak yang berminat.
Dan Felda turut melakukan perkara serupa untuk mempermudahkan urusan
para peneroka mendapatkan sumber kewangan bagi membeli saham-saham FGVH
selepas disenaraikan di Bursa Malaysia kelak. Bagaimanapun,
peneroka-peneroka yang berkemampuan boleh membeli saham dengan
menggunakan wang sendiri.
Kenyataan ini sebenarnya amat bertentangan dengan dakwaan PKR yang
mendakwa kononnya peneroka Felda tidak akan menerima 'duriah runtuh'
dijanjikan kerajaan sebaliknya mereka dipaksa membuat pinjaman dengan
institusi kewangan untuk membeli saham-saham FGVH.
Sejarah awal penubuhan Felda difahami oleh peneroka asal kerana
golongan tersebut yang mula meneroka tanah ketika itu. Berkat kesabaran
mereka membangunkan tanah rancangan Felda, hasilnya mereka menikmati
hidup lebih baik sehingga ke generasi seterusnya.
Dalam isu ini, setidak-tidaknya generasi baru dapat menyedari bahawa
Felda telah berjaya mengubah kehidupan peneroka ke arah yang lebih baik.
Tindakan segelintir generasi baru Felda yang condong kepada pembangkang
adalah kerana mereka tidak memahami sejarah penubuhan agensi itu.
Apabila 'pintu masuk' Felda Lurah Bilut tempoh hari dipasang sepanduk
'kami orang Felda tak kebulur duit', ramai penerokanya terkejut.
"Kalau kita orang luar Felda ini sedang menuju ke Lipis atau
Kelantan, tentu akan menyangka peneroka tidak harapkan 'durian runtuh',
sebenarnya tidak. Kami peneroka Felda Lurah Bilut menyokong penuh segala
usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan untuk kami," ujar seorang
peneroka kepada Ali.
Yang nyata - sebelum enam tahun lepas, peneroka Felda tak sesenang seperti sekarang.
/HWA: utusan.com.my | 8/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan