HARAM bagi umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang
mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara. Itu keputusan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama
Islam.
Tentunya fatwa tersebut amat selari dengan tuntutan Islam itu supaya
umatnya cintakan keharmonian dan menjauhi sebarang perbuatan yang
membawa kepada kerosakan.
Apatah lagi jika kerosakan atau huru-hara yang dicetuskan membawa
kelak kepada kemusnahan umat Islam itu sendiri, pasti ia menjadi sesuatu
yang haram. Malah namakan apa saja agama di dunia ini, tidak ada satu
pun yang menggalakkan penganutnya membuat sesuatu yang boleh
mendatangkan kerosakan.
Kesemuanya menganjurkan sikap saling hormat-menghormati, cintakan keamanan dan hidup dalam suasana harmoni.
Sebab itu apabila Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan haram bagi umat
Islam menyertai perhimpunan yang mencetuskan huru-hara atau kekacauan
kepada negara, ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.
Keputusan seumpama itu akan dikeluarkan tidak kira jika ulama yang
bersidang itu bermazhab Shafie, Hanafi, Maliki mahu pun Hambali. Ini
kerana teras ajaran Islam itu sendiri sememangnya mengharamkan apa juga
bentuk kegiatan yang mendatangkan kerosakan, kemudaratan serta
menghuru-harakan keadaan.
Namun sejauh mana umat Islam memandang tinggi keputusan Majlis Fatwa?
Atau setakat manakah umat Islam dididik supaya mematuhi ajaran agama
tanpa menunggu Majlis Fatwa mengeluarkan keputusan?
Larangan menyertai perhimpunan haram yang boleh mencetuskan huru-hara
dan kekacauan dalam negara bukan keputusan Majlis Fatwa yang pertama.
Banyak keputusan telah diumumkan sebelum ini. Fatwa haram merokok
misalnya paling kerap diperkatakan.
Merokok menjadi haram kerana perokok sengaja mencampakkan diri mereka
dalam kebinasaan. Islam tidak pernah mengajar umatnya supaya merosakkan
diri sendiri atau mendatangkan kerosakan kepada orang lain.
Jika ajaran Islam dihayati sepenuhnya, maka orang Islam tidak akan merokok tanpa menunggu fatwa dikeluarkan.
Sehubungan itu saya percaya, isu yang perlu ditangani segera adalah
meningkatkan penghayatan di kalangan umat Islam tentang perkara-perkara
yang ‘boleh’ dan ‘tidak boleh’. Umat Islam mesti dididik supaya
mempunyai kekuatan minda untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum
bertindak di luar batasan.
Ini kerana tanpa penghayatan terhadap ajaran Islam yang sebenar,
berjela-jela fatwa dikeluarkan tidak akan ada pematuhan menjadikan fatwa
sia-sia.
Tentunya kita tidak mahu keputusan Majlis Fatwa diperlekehkan atau
dipandang sepi mana-mana pihak terutama kumpulan yang telah tersemat di
akal dan fikiran mereka bahawa Malaysia adalah negara paling korup,
paling zalim, paling tidak adil dan sebagainya.
Kita mahu setiap fatwa diangkat dan dipatuhi kerana fungsi fatwa itu
sendiri adalah untuk meleraikan segala kemusykilan terutama kepada
hukum-hakam yang nipis bayangannya. Dalam hal perhimpunan haram, fatwa
kelmarin menjelaskan lagi apa yang telah termaktub di dalam ajaran
Islam.
Namun dalam hal menyertai perhimpunan haram, kerosakan yang tercetus
bukan seperti tabiat merokok. Perokok berisiko maut selepas
bertahun-tahun menyedut nikotin, manakala negara boleh runtuh sekelip
mata disebabkan huru-hara yang dicetuskan sekumpulan manusia yang
sememangnya mempunyai agenda tersendiri.
Biar pun bencana akibat merokok tidak sepantas perhimpunan haram,
namun kita mesti ingat bahawa ketagihan untuk berdemonstrasi dan
melakukan huru-hara akan terbentuk jika semua pihak bersikap
lemah-lembut atau pun tidak apa terhadap apa yang berlaku.
Apatah lagi jika perhimpunan yang ketiga mendapat sambutan, akan ada
siri empat, lima, enam dan seterusnya menjadikan fatwa bahawa menyertai
perhimpunan yang boleh menghuru-harakan negara umpama tiada maknanya.
Sebab itu dalam hal ini, pihak berkuasa mesti bertindak bijak membendung
dari awal lagi anasir-anasir yang mahu merosakkan negara.
Jangan biarkan anasir itu menjadi umpama nikotin yang merosakkan
paru-paru perokok dan akhirnya bertindak sebagai agen pembunuh.
Kelewatan menyekat anasir tersebut bukan saja bakal menyaksikan fatwa
dibelakangi malah undang-undang negara pun tidak mustahil dipijak.
Kita tidak mahu menjadi seperti negara jiran yang mana rakyatnya
dibayar untuk berdemonstrasi. Menyertai perhimpunan haram malah
menjahanamkan harta benda awam atas nama hak asasi manusia di negara
jiran kini menjadi pekerjaan.
Mereka dibayar untuk menghuru-harakan keadaan sehingga akhirnya
menimbulkan ketagihan kerana habuan yang diperoleh. Ketagihan itu yang
dibimbangi menyerap di kalangan rakyat negara ini sehingga mereka
sanggup dijadikan alat untuk sebuah perjuangan yang tidak diketahui apa
akar dan ubinya.
/HWA: utusan.com.my | 8/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan