KUALA LUMPUR 21 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO mencabar seorang
individu yang dikenali sebagai Hiu Woong Sin untuk berdebat, berikutan
tindakannya mengganggu ucapan Perdana Menteri di London, baru-baru ini.
Exco pergerakan itu, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, pelawaan debat
itu dibuat ekoran tindakan biadab lelaki itu yang menimbulkan kekecohan
semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada program
santai Sepetang Bersama Perdana Menteri di Dewan Indigo, Arena O2 di
timur London pada 14 Mei lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO
menegaskan, pihaknya akan menguruskan debat tersebut dalam suasana yang
lebih harmoni dan ilmiah di London sekiranya Woong Sin bersetuju
menyahut cabaran itu.
Katanya, melalui debat itu, segala perkara dan permasalahan yang
terpendam termasuk isu mengenai perhimpunan Bersih dapat diluahkan
dengan lebih matang dan rasional.
“Itu barulah dikatakan sebagai berani bersuara secara intelektual dan
pada masa yang sama masih menitikberatkan nilai akhlak sebagai rakyat
Malaysia.
“Bukannya dengan menjerit-jerit seperti orang yang tiada pelajaran,"
katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC) hari ini.
/hwa: utusan.com.my | 23/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan