29 Mei 2012

Janji palsu biasa bagi pembangkang

Awang Adek Hussin (tengah) bersama kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri pada majlis makan tengah hari di Kota Bharu, semalam. 
*****
KOTA BHARU 28 Mei - UMNO Kelantan menyifatkan tindakan kerajaan Pas Kelantan mengadakan majlis pecah tanah Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai semata-mata untuk menarik sokongan rakyat sedangkan realiti sebenar ia tidak mampu dilaksanakan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, janji itu tidak mungkin dilaksanakan kerana ia melibatkan kos yang terlalu tinggi dan tidak mampu ditanggung mana-mana kerajaan negeri.
Beliau berkata, setiap kali menjelang pilihan raya umum Pas akan mengumumkan pelbagai projek mega tetapi selepas itu tidak dilaksanakan serta dibiarkan begitu sahaja sebagaimana projek Jambatan Palekbang-Kampung Cina.
"Janji palsu ini terlalu biasa bagi mereka (pemimpin Pas), mainan mulut mereka, saya harap rakyat Kelantan tidak termakan dengan janji-janji itu, setiap kali pilihan raya setiap kali janji ditabur, kita harap rakyat Kelantan serik dengan janji-janji ini.
"Soal tidak buat selepas pilihan raya, biasa bagi Pas, itu amalan mereka, berjanji dan tidak melaksanakan, jadi saya rasa rakyat Kelantan tidak perlu percaya dengan perkara seperti ini kerana sudah banyak kali rakyat Kelantan diperdaya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan kerajaan Pas Kelantan mengadakan Majlis Pecah Tanah Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di Felcra Berangan Mek Nab, Machang, di sini hari ini.
Kerajaan Pas Kelantan mendedahkan lebuh raya sepanjang 73 kilometer itu melibatkan kos sebanyak RM1.8 bilion dan ia akan dilaksanakan dengan konsep menderma.
Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, majlis pecah tanah itu hanya bertujuan memainkan sentimen rakyat negeri itu dan kemudiannya menyalahkan Kerajaan Pusat dengan membuat pelbagai dakwaan sekiranya ia tidak berjaya dilaksanakan.
"Pemimpin Pas memainkan sentimen supaya rakyat marah kepada Barisan Nasional (BN), ini semua perkiraan politik, mana yang boleh mendapat kepentingan politik, esok mereka akan marah Kerajaan Pusat kerana tidak dapat buat lebuh raya dengan memberi alasan tidak mendapat wang royalti minyak.
"Saya hairan, kalau rakyat Kelantan mahukan semua ini, mereka harus yakin dengan BN yang telah membuktikannya, kalau rakyat Kelantan mahukan ini semua beri mandat kepada BN untuk laksanakannya," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 29/5/12

Tiada ulasan: