29 Mei 2012

Saya 'dipaksa' keluar DAP - Tunku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR 28 Mei - Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim telah 'dipaksa' meletak jawatan dalam parti tersebut kerana memberi pandangan berhubung Bersih 3.0 yang bertentangan dengan kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang.
Menurutnya, sejurus sahaja membuat kenyataan tersebut, beliau menerima kunjungan mengejut daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebanyak dua kali yang membawa khabar jawatan senatornya mungkin tidak akan diperbaharui.
"Kata Kit Siang, pandangan telus saya telah menyusahkan keseluruhan kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang sehingga sukar untuk mereka membuat keputusan menyambung jawatan senator saya.
"Secara tidak langsung beliau sedang menyatakan saya sudah tidak lagi diperlukan dalam parti dan adalah lebih baik saya keluar dengan cara bermaruah," katanya pada sidang akhbar di rumahnya di Bandar Sri Damansara di sini hari ini.
Tunku Aziz turut mengutuk kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini yang mengatakan beliau tidak akan dihukum parti kerana kenyataan Bersih 3.0 hanyalah separuh benar.
"Benarkah saya tidak dihukum kerana kenyataan saya? DAP sebenarnya telah memanipulasi pendirian dan kenyataan saya sebagai alasan untuk menyingkirkan saya," ujarnya.
Tegasnya, tujuan sebenar beliau menyertai DAP adalah kerana mendapat jemputan daripada Kit Siang tanpa mengharapkan sebarang balasan.
"Saya bukan bersama DAP untuk menyertai sebarang demonstrasi jalanan yang melanggar undang-undang," tegasnya yang menyertai DAP pada 2008.
Tunku Aziz turut membidas sikap angkuh Guan Eng yang mempergunakan setiausaha politiknya, Zairil Khir Johari yang bertindak sebagai orang tengah untuk 'merasuahnya' agar kekal bersama DAP.
"Biadab sungguh dia mengarahkan seorang 'budak' untuk menyampaikan mesej apatah lagi merasuah saya RM50,000 kononnya saguhati untuk terus kekal di bawah pimpinan DAP," tegasnya.
Sementara itu, Tunku Aziz yang mengumumkan keluar daripada DAP pada 28 April lalu berkata, beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk tidak menyertai mana-mana parti politik pada masa depan.
"Sebelum ini sudah dua kali saya cuba untuk meletak jawatan tetapi apabila dipujuk dan memikirkan semangat setiakawan, saya menarik kembali hasrat tersebut tetapi kali ini keputusan saya sudah muktamad," jelasnya.
/hwa: utusan.com.my | 29/5/12

Tiada ulasan: