7 Mei 2012

LGBT: Akidah sanggup dipermainkan

(Sambungan semalam)
Pepatah Melayu ada menyebutkan "Kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. "Menggunakan pepatah yang sama bolehlah kita katakan "Kalau Tok Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari."
Kita mempunyai ribuan ulama Islam lulusan dalam dan luar negara, terdiri dari mufti, hakim syarie, kadi, pensyarah, guru agama dan sebagainya namun amat kurang sekali suara yang berani menyatakan yang hak dari segi hukum dan akidah Islam dalam menghadapi gejala LGBT ini.
Justeru LGBT jika dibiarkan boleh menimbulkan bala kepada generasi umat Islam dan negara kita suatu hari nanti, seperti yang berlaku ke atas umat terdahulu, jika ia tidak ditangani dengan bijaksana oleh pihak berkuasa, khususnya pihak yang arif dalam bidang agama termasuk Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Ingatlah akan larangan keras Allah kepada sesiapa yang terlibat dengan kumpulan yang dilaknat Allah kerana mengamalkan sesuatu yang di luar tabii dan landasan ajaran agama. Kemurkaan Allah dengan balasan neraka adalah jelas seperti maksud ayat 113, surah Hud (11) seperti berikut:
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan."
Cenderung (Tarkanu) mempunyai maksud yang luas. Cenderung kepada seseorang bermaksud percaya, menyebelahi, menyokong, menghampiri, mendekati, menolong, bersubahat, bersama, bersahabat, berkawan, bersekongkol, bekerjasama, menyetujui, meyakini, memilih, melantik, membantu, membiayai, menghadiri, menunjuk jalan, dan bersimpati.
Ringkasnya, Allah melarang orang Islam bersahabat atau bekerjasama atau bersubahat atau pun menyetujui perbuatan orang yang melakukan kezaliman dalam segala bentuknya; lebih-lebih lagi orang yang menjadi musuh Islam dan musuh umat Islam.
Kegiatan LGBT jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Agama-agama lain juga sebenarnya melarang umatnya terlibat dengan aktiviti negatif ini. Namun begitu dengan kerakusan nafsu manusia, apa yang dilarang itulah menjadi kegemaran mereka.
Kisah kaum Lut yang disebut dalam al-Quran yang saya petik di atas tadi menggambarkan bagaimana kaum yang mengamalkan seks songsang, lelaki menggemari lelaki yang sekarang dikenali sebagai 'Gay' ditimpa bala yang dahsyat oleh Allah sehingga semua penduduk negeri tersebut hancur musnah walaupun terdapat sebilangan yang taat kepada suruhan Allah.
Dalam satu kisah yang berlaku di zaman tabi'in, seorang pemuda cuba mencari apa maksud bala Allah. Beliau menemui seorang mualim untuk mendapatkan jawapan. Mualim itu menyarankan pemuda itu mengembara bagi mencari jawapannya. Setelah tiga bulan mengembara, pemuda itu gagal mendapat jawapan. Akhirnya pemuda itu membuat keputusan balik ke kampung asalnya.
Dalam perjalanan pulang beliau tertidur di bawah sebatang pokok kerana keletihan. Tidak lama kemudian beliau terjaga dari tidur dan mendapati badannya dikerumuni semut-semut hitam, sebahagiannya menggigit badan pemuda itu. Kerana kesakitan pemuda itu terus menggosok-gosok badannya, menyebabkan banyaklah semut yang mati.
Pemuda itu kemudiannya meneruskan perjalanan balik ke kampung dan menemui semula mualim tersebut. Mualim bertanya sama ada pemuda itu berjaya mendapat pengertian bala Allah. Pemuda itu menjelaskan bahawa beliau gagal dalam usahanya mencari pengertian bala Allah itu. Mualim bertanya lagi mengenai pengalaman yang berlaku ke atas pemuda itu, lantas diceritakan peristiwa digigit semut hitam semasa berhenti penat dan tertidur di bawah sebatang pokok. Lantas mualim itu menyatakan bahawa apa yang berlaku ke atas semut hitam itulah makna bala Allah.
Yakni sesuatu bala Allah itu akan mengenai semua manusia tanpa mengira sama ada mereka yang baik atau yang jahat. Seperti juga yang berlaku ke atas semut hitam dengan pemuda itu yang membunuh semua semut yang berada di badannya tanpa mengira semut itu menggigit beliau atau tidak.
Kita khuatir jika budaya LGBT ini mula menjadi amalan masyarakat di negara kita, bala Allah pula akan menimpa kita semua. Kejadian gempa bumi diikuti dengan tsunami yang melanda Aceh, Thailand, India, Sri Langka dan Malaysia (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang?) pada 2004 mungkin boleh dianggap sebagai bala Allah.
Larangan Allah terhadap amalan LGBT yang disebutkan di atas mempunyai sebab dan rasionalnya. Kegiatan ini bukan sahaja merosakkan sistem kekeluargaan, zuriat dan keturunan, malah dari segi kesihatan pula boleh menyebabkan pengamal seks bebas dan songsang ini dijangkiti penyakit yang boleh membunuh seperti AIDS, sifilis dan hepatitis. Apa yang menghairankan ramai di kalangan orang Melayu yang beragama Islam, termasuk beberapa orang yang bergelar ulama sanggup meletakkan kepercayaan dan bersekongkol dengan pemimpin yang mengamalkan budaya LGBT. Jika pemimpin sebegini diambil untuk menjadi pemimpin, saya khuatir masa depan negara kita akan hancur, anak-anak kita akan rosak dan akhirnya Islam akan hanya tinggal nama sahaja.
Kita bernasib baik kerana negara kita mempunyai undang-undang yang mengharamkan amalan keji LGBT. Sokongan kepada LGBT bermakna bukan sahaja kita menyanggah hukum Allah yang telah ditetapkan, tetapi juga bertentangan dengan sebuah hadis Rasulullah dari Ibni Umar, riwayat Muslim, Nabi bersabda, maksudnya:
"Wajib ke atas seseorang Islam itu mendengar dan mentaati (Pemerintah) terhadap perkara-perkara yang ia suka atau benci, kecuali ia disuruh melakukan perkara-perkara maksiat (menderhaka kepada Allah). Sekiranya seseorang itu disuruh menderhaka kepada Allah (melakukan maksiat) maka ia tidak perlu didengar atau tidak boleh ditaati."
Umat Islam diwajibkan mentaati pemerintah atau kerajaan walau di mana mereka berada kecuali jika mereka disuruh melakukan perkara-perkara yang melanggar hukum Islam.
Sebagai contoh, rakyat beragama Islam di Singapura yang pemerintahnya bukan dari orang Islam, wajib taat dan mematuhi arahan kerajaan selagi arahan itu tidak menjurus kepada derhaka terhadap Allah.
Sebagai kesimpulan, saya berharap semua umat Islam, tanpa mengira pemimpin, ahli politik, ulama atau orang awam tidak terikut-ikut dengan budaya songsang dan bertentangan dengan ajaran Islam. Kita jangan berdolak dalih dalam mempertahankan kesucian hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah.
Maka, saya menyeru semua umat Islam, khasnya orang Melayu supaya sentiasa sedar bahawa terdapat berbagai cara pihak musuh jalankan untuk meruntuhkan perpaduan umat.
/HWA: utusan.com.my | 5/5/12

Tiada ulasan: