RANCANGAN pakatan pembangkang untuk meminda
Perlembagaan Persekutuan untuk memberi definisi yang lebih luas mengenai
Islam jika ia berkuasa selepas pilihan raya umum ke-13 agak
membingungkan dan menyegarkan.
Membingungkan kerana bagaimana anggota Pakatan Rakyat — PAS, PKR dan
DAP — bersetuju untuk pindaan sedemikian secara meluas apabila parti
Islam itu sendiri sebelum ini mengalah kepada desakan DAP supaya
menggugurkan konsep negara Islamnya?
Adakah ini merupakan formula tolak ansur oleh pembangkang dalam
keghairahannya untuk mengelirukan pengundi dalam menghadapi pilihan raya
umum, yang mana ramai meramalkan ia akan diadakan pada bila-bila masa
daripada sekarang sehingga akhir tahun ini?
Jika begitu, pastinya ia satu perkembangan yang menyegarkan bagi umat
Islam di Malaysia walaupun ia tidak perlu disambut baik oleh rakyat
yang beragama lain.
Sebagai orang Islam, saya sendiri teruja untuk melihat buat kali
pertama dalam sejarah negara, rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama
dan pegangan akan tertakluk kepada paksaan perlembagaan berhubung
bagaimana mereka harus menjalani kehidupan seharian, dengan kata lain
cara Islam. Rancangan pembangkang itu didedahkan oleh Presiden Pas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.
Bercakap selepas merasmikan mesyuarat tahunan Pemuda Pas Terengganu
di Kampung Kubang Lembek di Manir, Selasa lepas, Hadi berkata gambaran
semasa perlembagaan mengenai Islam sebagai satu agama, adalah tidak adil
kepada agama itu.
Pemimpin PAS itu dipetik dalam media sebagai berkata "Dalam dunia
hari ini, rakyat hanya tahu dua cara bagi menerangkan mengenai
kepercayaan: satu yang diterimapakai Barat dengan menyebutnya sebagai
satu agama yang menandakan hubungan kerohanian antara manusia dan Tuhan,
tanpa menyebutnya sebagai satu cara hidup.
"Pilihan kedua ialah dengan menyebutnya Addin, satu cara hidup, yang
mana ia lebih sesuai kerana ia termasuk keseluruhannya, daripada
kerohanian kepada semua aspek lain dalam kehidupan." Hadi berkata,
kedudukan Islam sebagai satu cara hidup daripada hanya semata-mata agama
boleh dilihat apabila Al-Quran digunakan untuk merumuskan undang-undang
antarabangsa di The Hague.
Beliau menjelaskan, "Sebagai contoh, undang-undang berkaitan
perlindungan politik juga disebut dalam Al-Quran. Ia menunjukkan bahawa
Islam itu lebih daripada hanya agama."
Keghairahan dalam cara bagaimana beliau menjelaskan konsep itu
nampaknya pelik. Ia memberi gambaran seolah-olah ini merupakan satu
penemuan baharu bagi cendekiawan agama.
Beliau seolah-olah baru menyedari dan mengisytiharkan secara terbuka
supaya perkataan "Negara Islam" itu tidak ada disebut dalam Al-Quran
lantas mewajarkan parti itu menyingkirkan konsep Negara Islam demi
sebuah "Negara Berkebajikan" selepas mengelirukan pengundi Malaysia
lebih daripada setengah abad.
Setiap orang Islam tahu bahawa Islam sebagai Addin adalah lebih
daripada sebuah agama. Dengan kata lain, Islam sebagai satu cara hidup
adalah sebuah agama dan lagi dan lagi.
Dengan itu, Al-Quran memberi gambaran jelas berhubung bagaimana manusia perlu menjalani kehidupan harian mereka.
Ini tidak dinafikan bahawa konsep itu bukan hanya terhad kepada aspek
kehidupan secara kerohanian tetapi juga perkara lain seperti cara dan
jenis makanan yang manusia makan, cara berpakaian, cara menjalankan
perniagaan, sistem perundangan dan keadilan dan setiap aspek lain dalam
kehidupan yang boleh difikirkan oleh seseorang.
Setiap amalan yang baik yang dilakukan dengan niat yang baik dan
dengan nama Allah Yang Maha Berkuasa dianggap sebagai satu ibadah dengan
ganjaran yang dijanjikan selepas seseorang itu mati.
Seperti yang disebut sebelum ini, setiap umat Islam tahu mengenai
perkara ini kecuali mungkin bagi beberapa individu yang dikaitkan dengan
bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang melihat ia patut
ditambah dengan kata sifat "hadhari" kepada perkataan "Islam", dan
dengan itu membuka lebih banyak jalan bagi kekeliruan kepada penduduk
negara ini yang sudahpun keliru sehingga sampai ke tahap sesetengahnya
bimbang ia boleh menjejaskan akidah umat Islam.
Mungkinkah dakwaan Hadi boleh menjadi satu lagi usaha pada arah yang sama?
Ia mungkin tambah menarik untuk mendengar pandangan pemimpin pakatan
yang lain berhubung perkara ini. Sehingga ini, pemimpin-pemimpin seperti
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang kuat DAP, Lim Kit Siang,
Pengerusi DAP Karpal Singh dan Setiausaha Agung parti itu Lim Guan Eng
masih membisu berhubung perkara ini.
Apa pun kemungkinannya, Hadi tidak begitu mengkhususkan mengenai
fasal tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan yang mahu dipinda pakatan
pembangkang.
Bagaimanapun, adalah selamat untuk mengandaikan bahawa beliau mungkin
merujuk kepada Artkel 3 Statut itu, yang menyentuh mengenai kedudukan
Islam.
Fasal Satu Artikel itu menyebut:"Islam adalah Agama rasmi
Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dalam suasana aman
dan harmoni di mana-mana tempat dalam Persekutuan." Menurut Hadi,
cadangan pindaan yang dibuat pakatan akan membabitkan penggantian
perkataan agama (yang merujuk kepada Islam) dengan Addin atau Cara
Hidup.
Fasal yang dipinda itu mungkin dengan itu kini boleh dibaca sebagai
:Islam Adalah Cara Hidup Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh
diamalkan dalam suasana aman dan harmoni di mana-mana tempat dalam
Persekutuan."
Implikasi rancangan pakatan ini sudah cukup jelas. Ia bermakna setiap
warga Persekutuan, tanpa mengira kepercayaan atau pegangannya, terikat
dengan Perlembagaan bagi mengamalkan Cara Hidup di negara ini walaupun
seseorang itu baik lelaki atau wanita mungkin mengamalkan agama-agama
lain (bermakna hubungan kerohanian dengan Allah atau Tuhan) dalam
suasana aman dan harmoni.
Persoalannya ialah: Adakah semua rakyat Malaysia sudah bersedia untuk ini? - Bernama.
/HWA: utusan.com.my | 5/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan