SALAH satu isu masyarakat yang menghantui kita pada hari ini adalah
Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) yang membawa budaya songsang
melawan arus sistem agama, kemanusiaan dan keluarga.
Mereka yang memilih serta terjebak di dalam budaya songsang ini
dengan jelasnya melakukan sesuatu yang tidak normal dan tidak
menghormati institusi keluarga, agama dan aspek moral.
Jika dilihat daripada perspektif yang lebih besar, budaya ini akan
merosakkan sistem sosial dan sistem keluarga. Budaya songsang ini bukan
lahir daripada kehendak yang normal tetapi dibudayakan melalui cara
hidup songsang yang terpesong jauh dari sistem kemanusiaan sejagat.
Akibat daripada pembudayaan negatif ini akan membawa kemusnahan
sistem sosial dengan percanggahan nilai dan perkosaan adat budaya
ketimuran.
Ibu bapa adalah kumpulan pertama yang akan mengalami tekanan daripada
perubahan anak mereka kepada budaya LGBT yang mana ‘stigma vikarius’
akan membuat mereka merasakan anak-anak mereka akan melalui
diskriminasi, penderaan lisan dan kemungkinan serangan fizikal.
Sementara itu, mereka akan mengalami public stigma apabila ahli
keluarga ditekan untuk merasakan mereka yang bertanggungjawab
menyebabkan anak mereka menjadi gay.
Ibu bapa kepada gay dan lesbian, terpaksa menghadapi tekanan yang
datang dari pelbagai sudut sama ada keagamaan, kemasyarakatan dan
undang-undang sosial dunia yang berlandaskan nilai murni.
Dalam usaha untuk membangunkan dan mengekalkan nilai diri yang baik,
anak-anak yang terjerumus dalam budaya LGBT perlu melihat tanggungan
orang yang menyayangi mereka untuk sedar bahawa penglibatan mereka dalam
budaya LGBT adalah salah.
Institusi keluarga adalah benteng terakhir untuk melahirkan keluarga
dan insan berintegriti melalui pembinaan keluarga bahagia, peningkatan
integriti dalam pengurusan kesihatan jasmani dan rohani serta pemantapan
nilai-nilai murni sebagai asas pembentukan identiti.
LGBT adalah dilihat sebagai salah satu simptom penyakit sosial yang
jika tidak dibendung akan memporak-perandakan sistem budaya bangsa dan
mengikis nilai negara.
Isu LGBT harus dilihat dari sudut yang lebih besar iaitu sudut nilai
kenegaraan untuk negara. Ini kerana kita tidak mahu melihat negara
mencapai kemajuan dengan mengorbankan nilai.
Maka kita amat perlu memantau gejala ini dan dalam masa sama satu
proses penerangan perlu dipergiatkan untuk menyedarkan masyarakat
terutama golongan muda tentang mudarat gejala ini.
Di samping itu juga pendekatan rehabilitasi perlu disediakan untuk
membantu mereka yang terjebak supaya kembali ke landasan yang betul.
Saya ingin menyeru semua pihak untuk turut serta menggalakkan usaha
dalam pemupukan nilai murni untuk negara bagi mempromosikan kesedaran
terhadap nilai-nilai kemanusiaan yang murni dalam masyarakat kita.
Semua golongan strata masyarakat hendaklah sama-sama memikul
tanggungjawab ini dan bertindak bersama merealisasikannya demi
kesejahteraan negara.
Kini tibalah masanya untuk kita, sebagai sebuah negara meningkatkan
kualiti hidup rakyat Malaysia dan menangani sebarang perkembangan
negatif dengan segera sebelum situasi itu menjadi lebih buruk.
Bagi saya isu LGBT bukanlah isu mengenai hak asasi manusia.
Sebaliknya isu tersebut merupakan suatu amalan yang bercanggah dengan
nilai moral masyarakat kita dan tidak pernah diiktiraf oleh mereka yang
waras.
Golongan muda adalah tonggak pemimpin masa depan. Anak-anak kita
perlu mencerna satu budaya sendiri yang berlandaskan nilai-nilai murni.
Janganlah menciplak ideologi Barat bulat-bulat kerana ia tidak
semestinya betul dan sesuai dengan kepelbagaian bangsa dan budaya kita
di sini.
Saya menyarankan supaya Dasar Sosial Negara disemak semula untuk
menentukan sejauh mana polisi tersebut menyumbang dalam mewujudkan
masyarakat yang progresif dan berdaya tahan yang berdasarkan kepada
nilai moral dan bagi memperkasakan modal sosial.
Semakan terhadap Dasar Sosial juga adalah perlu untuk menilai semula
usaha oleh kerajaan dalam mewujudkan kestabilan, kesihatan dan
keharmonian masyarakat Malaysia bergantung pada kekuatan asas moral bagi
mengimbangi pembangunan ekonomi yang pantas dengan nilai moral dan
kemasyarakatan
Dasar Sosial Negara perlu sentiasa diteliti dan dikaji demi mencapai matlamat “Negara Maju Bernilai Murni".
TAN SRI LEE LAM THYE, Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)/HWA: utusan.com.my | 10/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan