
Mohd. Zin Mohamed melihat
petugas-petugas Pusat Khidmat Rakyat Barisan Nasional Selangor menerima
panggilan aduan di Bangunan UMNO Selangor di Shah Alam, baru-baru ini.
Gambar/Saharuddin Abdullah
*****
UTUSAN: Apakah tujuan Pakar diwujudkan?
MOHD. ZIN: Pakar adalah satu sistem komunikasi yang dibangunkan bagi menyelaraskan dan menyatupadukan perkhidmatan wakil rakyat BN sama ada ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau penyelaras BN di kawasan yang kita kalah. Sekarang kita ada 22 pusat perkhidmatan bagi kawasan Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).
MOHD. ZIN: Pakar adalah satu sistem komunikasi yang dibangunkan bagi menyelaraskan dan menyatupadukan perkhidmatan wakil rakyat BN sama ada ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau penyelaras BN di kawasan yang kita kalah. Sekarang kita ada 22 pusat perkhidmatan bagi kawasan Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Langkah mewujudkan sistem bersepadu ini bertujuan memantap dan
menambah nilai perkhidmatan wakil rakyat BN. Ia akan membolehkan orang
ramai yang tidak dapat datang secara bersemuka di pusat khidmat wakil
rakyat boleh menghubungi talian khas ini bagi mengemukakan sebarang
aduan ataupun memohon bantuan.
Kita mengambil langkah ini kerana menyedari jumlah penduduk Selangor
sangat ramai iaitu enam juta orang dan jumlah pengundi pula 1.9 juta
orang. Di kawasan saya di Sepang jumlahnya sudah bertambah sebanyak
19,000 orang menjadikan keseluruhan 76,000 orang. Mustahil kita dapat
untuk bersemuka dengan mereka. Jadi inilah tujuannya supaya kita dapat
memberikan khidmat kepada rakyat secara lebih baik dan cekap.
Apakah fungsi sebenar pusat panggilan ini?
Pakar beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 9 pagi
hingga 6 petang. Fungsi pertamanya, adalah menerima panggilan daripada
rakyat dan menyalurkan segala masalah yang dibangkitkan ke pusat
perkhidmatan wakil rakyat yang berkenaan. Petugas Pakar juga akan
memaklumkan perkembangan aduan kepada pengadu.
Keduanya, ia berfungsi sebagai pusat menyuraikan masalah. Sekiranya
aduan melibatkan perkara di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan
kita akan membuatkan panggilan keluar bagi memaklumkan kepada agensi
yang berkenaan.
Apa yang mengejutkan kita menerima banyak aduan membabitkan soal
kebersihan dan kutipan sampah yang di bawah tanggungjawab kerajaan
negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Segala kesengsaraan rakyat ini
kita salurkan ke pengetahuan agensi kerajaan negeri.
Fungsi ketiga, adalah untuk menghubungi nombor-nombor telefon yang
telah dikumpul oleh jentera kita bagi memaklumkan aktiviti
kemasyarakatan, program kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
serta peringatan yang dikeluarkan pihak polis.
Bagaimanakah respons orang ramai sejak mula beroperasi pada 9 April lalu?
Pusat ini telah menerima sebanyak 1,732 panggilan melibatkan pelbagai aduan dan 72 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.
Antaranya melibatkan aduan tidak mendapat wang Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M), ingin tahu status tempat mengundi, permohonan pelbagai
bantuan oleh orang kurang upaya (OKU), tidak mendapat wang pencen, ibu
tunggal mahukan bantuan kerja, tidak mampu menyewa rumah, permohonan
kewarganegaraan dan diperas ugut.
Sebanyak 23 peratus adalah aduan yang melibatkan PBT iaitu masalah
sampah, longkang tersumbat, jalan raya berlubang, tanah runtuh dan lampu
jalan rosak. Panggilan keluar yang telah dibuat petugas pusat ini pula
adalah sebanyak 11,435 kali.
Kenapakah pusat ini hanya diwujudkan ketika pilihan raya semakin dekat?
Ini sebenarnya bukanlah gimik pilihan raya. Tujuannya adalah
semata-mata bagi membantu rakyat yang menghadapi masalah selaras dengan
konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Saya akui sepatutnya kita mewujudkan pusat panggilan ini lama dahulu,
tetapi mungkin pada masa itu kita tidak terfikir bahawa perkhidmatan
yang diberikan kepada rakyat kena diperkasakan.
Sekarang, kita berharap dengan adanya pusat ini, tidak timbul lagi
isu wakil rakyat BN sombong, susah untuk ditemui oleh rakyat dan hanya
nampak muka ketika musim pilihan raya.
Kita juga berharap pengundi akan dapat melihat bahawa BN Selangor
telah bersedia untuk kembali memerintah dan memberikan perkhidmatan
kepada rakyat negeri itu dengan sangat bertenaga.
Tidakkah menyalurkan aduan kepada PBT bermakna kita menyokong kerajaan pembangkang?
Ini bukan bermakna kita menyokong kerajaan Parti Keadilan Rakyat
(PKR) Selangor. Matlamat sebenarnya adalah bagi membantu rakyat supaya
mereka boleh hidup dengan lebih selesa dan kawasan persekitaran menjadi
lebih bersih.
Apabila kita berbuat demikian, ia juga akan membuatkan rakyat sedar
bahawa masalah sampah sebenarnya adalah di bawah tanggungjawab PBT dan
kerajaan negeri.
Mereka yang selama ini mengutip cukai, sepatutnya lebih bertanggungjawab dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Kita harap rakyat Selangor menghargai usaha yang BN telah lakukan dan menterjemahkannya dalam bentuk undi.
Bagaimana sokongan pengundi kepada BN di Selangor?
Saya fikir angin perubahan telah wujud dan kita dapat merasakannya di
peringkat bawahan. Apabila aktiviti parti diadakan terutama yang
melibatkan Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, respons
daripada orang ramai adalah bagus.
Saya fikir sambutan ini berpunca kerana rakyat merasakan hidup mereka
semakin baik dengan transformasi yang dilakukan Najib yang melibatkan
pelbagai bidang termasuk pengangkutan awam dan mengurangkan kadar
jenayah jalanan.
Segala pembaharuan ini adalah berhubung kait dengan kerajaan BN dan
saya percaya mereka akan memberikan kita peluang untuk memerintah semula
di Selangor.
Perdana Menteri sendiri ketika mempengerusikan mesyuarat Badan
Perhubungan UMNO Selangor sebulan lalu ada menyatakan walaupun BN masih
berada di dalam terowong tetapi cahaya pada penghujungnya semakin hari
semakin terang.
Adakah jentera kempen BN sudah benar-benar bersedia?
Nampaknya jentera pilihan raya kita lebih bersedia dan tersusun berbanding ketika Pilihan Raya Umum 2008.
Pada pilihan raya lalu, jentera kempen kita terlalu bersikap ambil
mudah dengan beranggapan tidak payah bekerja kuat dan tidak perlu
menjawab segala isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang kerana
sokongan akan datang secara semula jadi.
Ketika itu, jentera kita merasakan seolah-olah kita bukan akan
menghadapi pilihan raya sebaliknya akan berjalan dalam taman, sebab itu
apabila keputusan diumumkan semua terkejut.
Sekarang setiap orang sudah bangkit dan bersiap siaga, bukan hanya UMNO, malah MCA, MIC dan parti-parti komponen lain.
Masing-masing saling mengingatkan antara satu sama lain bagi
memastikan kita betul-betul bersedia kali ini dan tidak lagi bersikap
ambil mudah.
/HWA: utusan.com.my | 10/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan