KUALA LUMPUR 10 Mei - UMNO komited dalam perjuangan meningkatkan
kualiti hidup dan hak seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya
memperjuangkan hak orang Melayu semata-mata, kata Ketua Penerangan UMNO,
Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
berkata, selama 66 tahun UMNO menerajui pemerintahan negara, parti itu
tidak pernah sekalipun melakukan dasar mahupun pelan transformasi yang
hanya memihak dan menguntungkan orang Melayu sahaja.
"Memang teras perjuangan UMNO adalah bagi memperkasakan dan
mendaulatkan hak orang Melayu, tetapi jika kita lihat dari dulu hingga
kini tidak ada satu pun yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk
sebuah kaum sahaja, dan jika ada mengapakah kerajaan kini beriya-iya
mempromosikan identiti dan budaya 1Malaysia?
"Kedai rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan
banyak lagi dasar dan juga pemberian kerajaan kepada rakyat untuk
mengurangkan beban tidak hanya menfokuskan kepada orang Melayu sahaja,
maka saya anggap UMNO sehinggi kini telah terlalu banyak membantu dan
menjaga kebajikan rakyat di negara ini keseluruhannya," katanya dalam
program "Soal Jawab" terbitan TV3 malam tadi.
Program wawancara itu dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaafar, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad.
Turut menjadi panel tamu pada program yang membincangkan hala tuju
UMNO sempena ulang tahun ke-66 penubuhan parti itu ialah bekas Ketua
Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang.
Ditanya perbezaan UMNO pada tahun 2008 dan pada masa sekarang bagi
menghadapi pilihan raya umum, Ahmad Maslan berkata, kekuatan UMNO pada
kali ini berada ditahap optimum yang mana ia juga melibatkan peringkat
akar umbi.
"2008 dahulu kita dilanda "tsunami" ekoran lima negeri kita kalah dan
terpaksa diserahkan kepada pembangkang tetapi kini atas komitmen dan
gerak kerja yang saya lihat Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak lakukan tidak mustahil kita mampu peroleh apa
yang kita rancang untuk pilihan raya akan datang nanti.
"UMNO juga semakin matang dan ia boleh dilihat sendiri apabila
presiden sendiri memohon maaf kepada anggota parti atas kesilapan dan
kekhilafan pimpinan lalu yang menyebabkan kita tidak memperoleh
kemenangan yang "total" semasa 2008," katanya. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 10/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan