KUALA
LUMPUR, 26 April – Konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang
dipraktikkan di negara ini adalah model terbaik yang boleh diangkat
sebagai contoh khususnya untuk dijadikan asas perpaduan di kalangan
rakyat berbilang kaum termasuklah di persada antarabangsa.
Delegasi dari African National Congress (ANC) – Capetown, Tahir Salie
yang melakukan kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn
hari ini amat kagum dengan kesungguhan kepimpinan UMNO.
“Konsep wasatiyyah ini bukan satu perkara baru tetapi tetap relevan
dipraktikkan sepanjang zaman kerana kesederhanaannya yang meliputi semua
aspek justeru Malaysia mampu menjadi negara perantara dalam mewujudkan
pemahamannya secara global,” katanya.
Jelasnya, kejayaan Malaysia yang menjadi satu-satunya negara di Asia
Tenggara yang mempunyai kepelbagaian yang unik, di mana ia mengamalkan
cara hidup dan pentadbiran yang bertolak ansur dan mengambil kira
aspirasi semua kaum wajar dicontohi.
“Afrika Selatan juga mempunyai pelbagai etnik dan menerapkan
kebersamaan tetapi konsep wasatiyyah ini adalah sesuatu yang wajar
dipraktikkan kerana ia memberi keseimbangan kepada masyarakat khususnya
dalam permuafakatan hidup bersama,” katanya.
Beliau berharap Malaysia juga akan menjadi pelopor kepada konsep
tersebut untuk mengaplikasikannya secara menyeluruh bukan saja di rantau
Asia tetapi juga merentas ke Benua Afrika, Eropah dan ke Amerika.
Menerusi kunjungan tersebut, beliau turut meminta hubungan antara
parti dapat dipereratkan dengan kunjungan lebih ramai delegasi dari ANC
bagi mempelajari apa yang telah dilaksanakan di Malaysia.
Dalam ucapan balasnya, Tengku Adnan menyatakan penghargaannya
terhadap kunjungan tersebut dan berbesar hati untuk menjalin kerjasama. – MediaUMNO
/HWA: umno-online.com | 8/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan