PAHIT itu penawar. Kuinin ialah penawar bagi demam malaria. Jika
kuinin itu manis, ia akan membawa mudarat. Seperti semut juga, semut
mati kerana gula.
Memetik kata-kata seorang bekas bos saya yang pernah menasihatkan
ahli politik. Jika kita mahu dapatkan publisiti daripada media biarlah
berpada-pada. Jika terlebih ia akan menjadi seperti semut dan gula. Gula
bagi semut ialah racun, walaupun ia sedap, manis dan menggiurkan.
Oleh itu, orang politik berpada-padalah untuk mendapatkan publisiti
dalam media. Asyik-asyik mahu muka keluar surat khabar dan TV.
Lebih-lebih nak dekat pilihan raya ini. Benar juga kata bekas boss itu,
jika asyik-asyik muka itu saja, lama-lama orang akan mengata dan
akhirnya meluat.
Kita tidak boleh salahkan orang politik itu juga, kerana dekat-dekat
pilihan raya ini, beliau mahu menunjukkan kepada rakyat beliau buat
kerja, atau beliau mempunyai hubungan rapat dengan orang itu dan ini dan
sebagainyalah.
Semasa zaman Pak Lah dulu, jumlah muka keluar akhbar, jumlah banyak
aktiviti keluar akhbar, itu sudah dikira KPI bagi seseorang wakil rakyat
atau orang politik. Maka pulunlah mereka cuba mendapatkan publisiti
daripada media. Ada yang beraksi begitu dan begini depan kamera. Lucu
pun ada, lawak pun ada dan macam-macam lagilah.
Saya tidak pasti apakah itu caranya untuk mengira tahap pencapaian
atau KPI seseorang? Pada pilihan raya umum 2008, hasilnya Barisan
Nasional (BN) kalah teruk, walaupun pulun wakil-wakil rakyat,
ketua-ketua bahagian dan orang politik mahu muka mereka keluar paper.
Senario PRU-13 kali ini amat berbeza. Ia adalah pilihan raya ke-13,
satu nombor yang amat disukai oleh Pak Lah dulu. Bagi sesetengah
kepercayaan no. 13 itu tidak begitu bagus. Tapi sebagai orang Islam,
kita tidak boleh percaya kepada kepercayaan itu kerana ia akan jatuh
khurafat.
Tapi, jika dikaji secara kasar, pilihan raya kali ini memang tough
dan getir. Sungguh pun begitu, jika Allah mengizinkan, BN masih boleh
menang. Namun, jika mahukan majoriti kerusi 2/3 seperti yang saya sebut
minggu lalu mereka harus bekerja keras dan semua pemain harus ikhlas,
jujur, bertanggungjawab dan setia.
Pembangkang selepas Kotor 3.0 pada 28 April lalu sebenarnya telah
kalah. Mereka kini terpaksa pulun untuk membuat damage control hasil
tunjuk perasaan itu. Kotor 3.0 itu tidak bersih langsung, sehinggakan
orang muak dan terlalu marah dengan pembangkang.
Kini semuanya terletak di tangan BN jika mereka mahu menang 2/3 dalam
pilihan raya ini. Banyak adjustment perlu dilakukan dalam pemilihan
calon-calon kali ini.
Mana-mana yang sudah merasakan terlalu lama, 4,5,6 penggal silalah
berundur. Berilah peluang kepada muka-muka baru yang segar untuk menjadi
calon. Jika pada pilihan raya dulu mereka sudah tewas, lupakanlah niat
untuk bertanding lagi. Tak payahlah melobi lagi.
Saya mendapat tahu di Selangor banyak yang masih menaruh impian untuk
bertanding semula, walaupun tewas dalam PRU-12 lalu. Begitu juga di
Kedah, di Kelantan…
Marilah kita ambil contoh pemimpin ini. Idris Jusoh secara terbuka,
berani serta ikhlas telah menyatakan tidak akan mempertahankan kerusinya
bagi DUN Jertih dalam Parlimen Besut. Tidak ramai pemimpin yang berjiwa
seperti beliau.
Itulah yang sepatutnya disebut oleh mana-mana penyandang atau pelobi
calon dan bukannya meletakkan tekanan kepada PM dengan mengatakan yang
nasib mereka diserahkan kepada Najib dan beliau yang harus membuat
keputusan.
Jika semua penyandang secara sukarela membuat kenyataan seperti Idris
atau juga seperti Nazri Tan Sri Aziz maka senanglah Najib membuat
percaturan bagi kerusi-kerusi pilihan raya kali ini.
Seperti yang ramai ramalkan, pengundi kali ini mahukan perubahan wajah dalam calon-calon BN jika mereka mahu menang besar.
Namun itu bukan bermakna semuanya kena tukar. Jika calon itu terlalu diminati oleh rakyat kawasan itu, kekalkanlah beliau.
Tun Mahathir Mohamad pernah memegang Kubang Pasu lebih daripada 20
tahun. Beliau bertahan atas faktor-faktor yang amat khusus. Orang Kubang
Pasu amat menyukai beliau, sehinggalah sekarang!
Kubang Pasu amat sinonim dengan beliau. Tetapi Tun tidaklah sehingga menongkat langit, beliau turun secara sukarela.
Begitu juga dalam beberapa kes lain. Kecualilah jika calon-calon itu
terlalu popular atau bertaraf PM, TPM dan sesetengah menteri maka
kekalkanlah beliau.
Jika tidak, waima berjawatan menteri sekali pun silalah berundur,
jika cakap-cakap merasakan mereka sudah tidak dikehendaki lagi.
Memetik kata-kata PM dalam temu bual beliau dengan DJ Sam Mak dan Tan
Yi Hui dalam program Street VIP stesen radio 988FM, 22 Mac lalu, Najib
berkata, beliau perlu mengikut kehendak rakyat dalam memilih calon
pilihan raya.
“Saya seorang pemimpin, adalah wajar saya mendengar apa yang rakyat
mahu. Maka saya akan membuat keputusan sama ada tempoh bagi seseorang
itu sudah sampai dan tidak lagi harus bertanding."
Sebagai contoh, katanya, jika orang ramai di sesuatu kawasan itu
mendapati wakil rakyat mereka gagal menjalankan tugas dengan baik dan
mereka tidak lagi mahu orang ini mewakili mereka, maka beliau akan
membuat keputusan.
Untuk pilihan raya kali ini sekurang-kurangnya 1/3 atau lebih daripada calon-calon BN haruslah daripada muka baru.
Apa kata jika bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsuddin Osman
diletakkan sebagai calon bagi Parlimen Putrajaya kali ini? Apa kata
jika diletak bekas Datuk Bandar Shah Alam bertanding di Parlimen Shah
Alam, misalnya? Apa kata bekas SS (Setiausaha Kerajaan) Kedah diletakkan
sebagai calon di Alor Setar?
Maaflah jika teori ini mencuit perasaan orang politik. Tapi apabila
mengambil kira situasi dalam perang, semua perkara biasa boleh menjadi
luar biasa atau sebaliknya. Kita tolak strategi Blue Ocean dan bertukar
kepada White Ocean pula, iaitu pulang ke fitrah semula jadi dan
tinggalkan ketamakan duniawi dan pentingkan diri sendiri.
Ketua-ketua Bahagian yang tidak terpilih atau ditukar kerusi haruslah
akur. Bantulah calon yang dipilih sepenuh hati. Janganlah disabotaj.
Janganlah dipulau. Memanglah ditelan pahit, tapi penawar untuk parti dan
negara.
Sokonglah calon yang dipilih itu walau batu sekali pun, kata seorang
bekas pemimpin UMNO dalam satu majlis Mubarak di Alor Setar baru-baru
ini.
/HWA: utusan.com.my | 9/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan