PADA 11 Mei ini Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) akan
menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-66. Satu perhimpunan
raksasa akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menunjukkan
kekuatan parti itu untuk terus mara mencapai kemenangan besar dalam
pilihan raya yang bakal diadakan nanti.
Apa pun, pada hemat penulis dalam menyambut ulang tahun ini banyak
perkara yang perlu disemak oleh parti itu, terutamanya keberkesanan
transformasi parti yang telah dimulakan sejak tahun 2009.
Sayugia diingat bahawa kedudukan UMNO tidak seperti dulu lagi. Kalau
sebelum ‘tsunami politik’ 2008, UMNO berada dalam zon selesa tetapi hari
ini UMNO berhadapan cabaran yang cukup besar terutama bagi memastikan
ia akan terus diterima dan dipercayai rakyat. Perkara ini bukan mudah
kerana rakan-rakan utama UMNO dalam komponen Barisan Nasional (BN) iaitu
MCA dan MIC juga turut mengalami ‘tsunami politik’ yang mengejutkan
itu.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (2008), UMNO dan BN telah kehilangan
beberapa negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur. Manakala Kelantan yang telah lama berada di
bawah pentadbiran kerajaan Pas terus kekal di kuasai parti itu.
Selain itu, BN turut kehilangan banyak kerusi Parlimen. Malah, ia turut menyaksikan kekalahan tokoh berprofil tinggi.
Daripada segi peratusan perolehan undi parti-parti komponen BN, UMNO
memperolehi 29.59 peratus, MCA 10.21 peratus, MIC 2.21 peratus dan
Gerakan 1.99 peratus. Manakala BN Sarawak menyumbang 4.14 peratus dan BN
Sabah menyumbang 1.62 peratus menjadikan jumlah keseluruhan yang
diterima BN 49.79 peratus.
Bagi pihak pakatan pembangkang pula Parti Keadilan Rakyat (PKR)
memperolehi 18.45 peratus, DAP 13.72 peratus dan Pas 14.05 peratus
menjadikan jumlah keseluruhan peratusan undi yang diperolehi pakatan
pembangkang 46.22 peratus. Baki peratus undi ialah calon Bebas 1.03
peratus dan undi rosak 2.16 peratus.
Justeru, Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dijangka akan menjadi pilihan
raya paling getir dan sengit kerana BN dan pembangkang akan berusaha
melonjak sokongan rakyat untuk menduduki Putrajaya.
Datuk Seri Najib Tun Razak menyebutnya sebagai ibu segala
“peperangan". Oleh itu, usaha untuk mengembalikan keyakinan dan
kepercayaan rakyat merupakan ujian kritikal yang dihadapi UMNO dan
rakan-rakan politiknya.
Ujian ini kelihatan lebih sukar di kawasan bandar kerana pengundi
bandar merupakan kelompok yang lebih kritis dan mempunyai elemen
“kepembangkangan" yang ketara. Demikian juga usaha untuk menarik kembali
sokongan pengundi Cina yang telah beralih arah sejak PRU-12 juga
merupakan cabaran besar bagi BN, khususnya parti MCA.
Bujukan dan hasutan kuat DAP mempermainkan emosi orang Cina supaya
menolak UMNO dan MCA telah memberi kesan terhadap peratusan undi yang
diperolehi oleh BN dalam PRU 2008. UMNO dituduh rasis, manakala MCA
merupakan “jari-jari" bagi UMNO. Hari ini mereka menuduh suara rasis
UMNO itu diperjuangkan melalui Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).
Mereka mencipta isu-isu karut marut itu semata-mata untuk memberikan
persepsi buruk terhadap kepemimpinan UMNO di negara ini. Padahal hakikat
sejarah menunjukkan bahawa UMNO sejak merdeka lagi merupakan parti yang
sangat tinggi toleransi politiknya.
Cabaran politik yang dihadapi UMNO hari ini memerlukan parti itu
melipatgandakan usaha mengembalikan sokongan rakyat. Sejak menjadi
Perdana Menteri, Najib yang juga merupakan Presiden UMNO dan Pengerusi
BN telah bekerja keras dengan dibantu barisan kabinetnya untuk
memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan BN. Hingga kini pelbagai
pembaharuan telah dibuat oleh kerajaan BN yang dipimpinnya.
Bermula dari memperkenalkan gagasan 1Malaysia dan diikuti dengan
memperkenalkan pelbagai program transformasi seperti Program
Transformasi Kerajaan (GTP), transformasi ekonomi (Model Baru Ekonomi
dan Program Transformasi Ekonomi), Program Transformasi Luar Bandar
(RTP) dan transformasi politik dan undang-undang telah berjaya
meningkatkan kembali kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Pelbagai bentuk inisiatif untuk membantu kehidupan rakyat seperti
Klinik 1Malaysia (K1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Perumahan Rakyat
1Malaysia (PR1MA), Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA), Menu
Rakyat 1Malaysia (MR1M), Sara 1Malaysia dan Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) juga dilihat berjaya mengembalikan sokongan rakyat terhadap
kerajaan.
Namun, pelbagai isu yang dibangkitkan pakatan pembangkang tetap
mencabar keupayaan UMNO untuk terus melonjakkan kepercayaan rakyat.
Hampir kebanyakan isu yang dibangkitkan pembangkang seperi isu lembu
NFC, projek Lynas, pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),
penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia,
isu pembelian kapal selam Scorpine, isu keganasan perhimpunan haram
Bersih 3.0 dan pelbagi isu lain berkaitan soal-soal integriti, kebebasan
dan hak asasi cuba dikaitkan dengan UMNO.
Apa pun tsunami politik 2008 telah mendorong Najib untuk melakukan
transformasi parti yang diterajuinya itu. Pada Oktober 2009 UMNO
mengadakan Perhimpunan Agung Khas parti itu yang berakhir dengan
keazaman dan semangat baru untuk melaksanakan transformasi parti. UMNO
menyedari perlunya parti itu kembali mendekati rakyat dengan penuh
rendah diri supaya rakyat benar-benar kembali meyakininya.
Harapan kita, biarlah keazaman dan semangat yang dibangkitkan dalam
perhimpunan itu benar-benar menjadi tenaga penggerak ke arah tindakan
yang konkrit. Jangan umpama “air besar sampan tak hanyut". Jangan hanya
berkobar-kobar semasa persidangan tetapi luntur semangat dalam tindakan.
Memang kelihatan gerak kerja UMNO sudah berada dalam medan mendekati
rakyat, memahami dan memperjuangkan nasib mereka.
Selama ini bukannya UMNO tidak dekat dengan rakyat tetapi sejak parti
itu dilanda gejala politik wang dan ‘kegilaan’ sesetengah pemimpin
memburu kuasa telah menjadikan parti itu seolah-olah dikuasai segelintir
orang tertentu sahaja.
Perkara ini harus dinilai kembali oleh seluruh kepemimpinan dan
ahli-ahli parti sempena menyambut hari kelahiran UMNO yang ke-66 nanti.
UMNO harus membuktikan bahawa ia bukannya ‘parti elitis’ yang dikuasai
oleh segelintir mereka yang berkepentingan.
Jika imej-imej negatif ini masih kekal pada UMNO maka usah salahkan
musuh yang mengambil kesempatan untuk terus menanamkan kebencian
terhadap parti yang sudah banyak berjasa kepada orang Melayu khasnya,
dan masyarakat Malaysia amnya.
Kepimpinan dan ahli parti juga harus menyemak semula sejauh manakah
UMNO telah benar-benar bingkas bangun dengan penuh kesedaran untuk
membuat perubahan yang selari dengan cabaran politik dan tuntutan zaman.
Apakah dengan transformasi parti yang digariskan itu telah
benar-benar dapat mengawal dan menjauhi perlakuan politik wang dalam
pemilihan parti? Benarkah transformasi itu dapat mengembalikan semangat
demokrasi yang lebih terbuka dalam memilih pemimpin dari peringkat akar
umbi hinggalah ke peringkat tertinggi UMNO?
Dua persoalan itu belum lagi teruji kerana sejak pindaan perlembagaan
UMNO, parti itu belum lagi mengadakan pemilihan lagi. Yang penting
sekarang ialah tugas seluruh ahli UMNO yang berjumlah 3.3 juta adalah
untuk merealisasikan transformasi dalam semangat gagasan 1Malaysia,
“Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". UMNO harus mempamerkan
bahawa parti itu benar-benar dekat dengan denyut nadi rakyat.
Najib mahukan semua pemimpin UMNO menghayati dan mencerminkan
kepemimpinan yang disenangi rakyat. UMNO harus dilihat sebagai parti
massa, bukannya parti elitis atau bukan kepunyaan mana-mana kelompok
tertentu.
Seperti yang pernah diamanatkan Najib bahawa UMNO tidak boleh dilihat
sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang
sedikit tetapi UMNO mesti diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti
inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri
sendiri.
Najib mahukan parti yang dipimpinnya itu menjadi parti yang berpegang
kepada falsafah kesederhanaan atau parti ‘aliran tengah’. Ini bermakna
UMNO tidak boleh dilihat sebagai parti yang bersifat ‘ultra kiri’
ataupun ‘ultra kanan’. Saranan Najib itu memang tepat dengan gagasan
1Malaysia yang diperkenalkan beliau serta gerakan kesederhanaan
(wasatiyyah) yang dipeloporinya di peringkat global.
Apa pun, keupayaan dan keberkesanan UMNO melakukan transformasi tidak
harus diletakkan di bahu kepemimpinan tertinggi parti semata-mata,
tetapi ia turut bergantung kepada kepemimpinan di peringkat akar umbi,
iaitu di peringkat cawangan dan bahagian UMNO di seluruh negara.
Jika pemimpin yang ada itu lemah daya intelektual dan lemah daya
kerjanya maka ia tidak dapat memberi kesan transformasi seperti yang
diharapkan presiden parti.
Kesimpulan, seluruh ahli parti UMNO bertanggungjawab memulihkan
kembali kekuatan UMNO terutama dalam misi untuk memenangi pilihan raya
umum yang akan diadakan nanti. Ia menuntut semangat juang, kesetiaan dan
perpaduan yang tinggi serta penuh keikhlasan. Selaku nakhoda parti,
sudah tentu Najib mahu melihat UMNO kembali diterima rakyat.
PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara,Jabatan Penerangan./HWA: utusan.com.my | 9/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan