31 Mei 2012

Minta derma: Kerajaan Pas diminta berhenti perbodohkan rakyat

KOTA BHARU 29 Mei - Kerajaan Pas Kelantan diminta berhenti daripada memperbodohkan rakyat negeri ini dengan meminta derma untuk membina lebuh raya dari Kota Bharu ke Kuala Krai yang melibatkan kos sebanyak RM1.8 bilion.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, majlis letak batu asas dan pelancaran derma untuk lebuh raya yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lebih daripada satu gerak saraf dan propaganda politik Pas Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Beliau berkata, kerajaan pimpinan Nik Abdul Aziz tidak boleh selamanya memperbodohkan rakyat dengan pengumuman projek mega kerana mereka boleh menilai sejauh mana pelaksanaan janji-janji yang dibuat oleh pemimpin Pas sebelum ini.
"Saya geli hati apabila Nik Aziz menyeru rakyat Kelantan menderma untuk projek Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai yang menelan belanja RM1.8 bilion. Kalau harap derma mungkin 50 ke 100 tahun lagi baru siap, inilah gimik dan sandiwara politik yang terhebat abad ke-21.
"Dulu letak batu asas Jambatan Kampung Cina-Palekbang, projek pelabuhan dan bandar Pantai Sri Tujoh, Tumpat dan pelabuhan darat Kuala Krai, mana projek ini sekarang, sebatang besi pun tak ada.
"Saya mencadangkan kepada Nik Abdul Aziz lancar kutip derma baiki tandas masjid, baiki surau atau madrasah yang usang dan kotor, ini lagi baik dan afdal," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 
/hwa: utusan.com.my | 31/5/12

Tiada ulasan: