31 Mei 2012

Henti guna agama untuk kepentingan politik

KUALA LUMPUR 29 Mei - Pas digesa berhenti menggunakan agama sebagai senjata politik bagi meraih sokongan dan undi khususnya di kalangan umat Islam.
Setiausaha Agung Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Zulkifly Sharif berkata, langkah itu perlu supaya umat Islam tidak terkeliru dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan parti tersebut.
Katanya, berpolitik tidak menjadi kesalahan tetapi ia harus selaras dengan syariat yang telah ditentukan agar perpecahan di kalangan ummah dapat dielakkan.
"Pas perlu berhenti daripada terus mengeluarkan fatwa yang mengelirukan seperti undi mereka dijamin syurga kerana ia jelas bertentangan dengan Islam.
"Al-Quran sendiri tidak menyebut perkara itu bahkan sudah ternyata apa juga perbuatan yang kita lakukan pasti mendapat balasan setimpal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi yang menegaskan fatwa propaganda iaitu seseorang akan masuk syurga sekiranya mengundi parti tertentu dianggap suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.
Menurut Zulkifly, sekiranya benar Pas mahu memperjuangkan Islam parti itu seharusnya bersama menentang penularan gejala murtad dan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang kini semakin membimbangkan.
Kata beliau, pihaknya juga menyeru Pas dan UMNO mencari titik penyatuan bagi memastikan kelangsungan bangsa dan agama terjamin.
Sementara itu, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Ibrahim Mohd. Hassan menegaskan, umat Islam perlu sedar urusan syurga, neraka, pahala dan dosa terletak sepenuhnya pada Allah SWT.
Katanya, Allah SWT telah menggariskan beberapa panduan sebelum sesuatu perbuatan itu dikira sebagai ibadah dan layak mendapat pahala.
"Justeru, undi yang dikira sebagai ibadah dan mendapat pahala adalah undi yang niatnya ikhlas kerana Allah SWT dan bertepatan dengan syariat Islam.
"Setiap parti politik Islam tidak kira sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang perlu bersatu untuk menjaga akidah serta menghalang anasir luar daripada merosakkan kesatuan umat Islam serta kembali merujuk kepada prinsip-prinsip Islam sebenar," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, Pas perlu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan kenyataan mengundi parti tersebut membawa ke syurga.
Katanya, langkah itu perlu bagi mengelak salah faham kerana kertas undi bukanlah tiket bagi seseorang ke syurga atau neraka.
/hwa: utusan.com.my | 31/5/12

Tiada ulasan: