KUALA LUMPUR 29 Mei - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat dinasihatkan berundur daripada arena politik dan
memberi peluang kepada generasi muda dalam parti itu membuktikan
kemampuan mereka.
Pengasas Utama Pertubuhan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia, Datuk
Seri Jaafar Shaari berkata, Nik Abdul Aziz sewajarnya meletakkan semua
jawatan sama ada dalam parti atau sebagai Menteri Besar Kelantan
memandangkan beliau sudah terlalu tua untuk terus berpolitik.
Katanya, adalah lebih baik untuk beliau turun ketika masih dihormati berbanding meletakkan jawatan ketika dikeji pelbagai pihak.
"Sudah tua-tua ini, berundurlah. Bagi peluang kepada muka baru, calon
yang lebih muda, Pas banyak calon muda berkaliber, biarlah mereka
buktikan kemampuan.
"Lagi lama beliau berada di atas, selagi itu parti sukar untuk
berkembang kerana kebanyakan keputusan dibuat beliau," katanya ketika
dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria
semalam yang menyifatkan pendekatan kepimpinan Nik Abdul Aziz sebagai
'melampau'.
Sementara itu, berhubung pembatalan hasrat untuk bermuzakarah antara
Pas dan UMNO, Jaafar berkata, Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya meletakkan
syarat sebelum bermuzakarah kerana ia menjadi faktor usaha murni itu
gagal.
"Muzakarah dulu, kemudian baru tengok apa keputusan perbincangan.
Kalau ada perkara setuju, setujulah, kalau tidak setuju kata tidak
setuju.
"Ini belum apa-apa beliau telah letakkan syarat, tidak boleh macam
itu. Ia memberi gambaran bahawa beliau dari awal tidak mahu
melakukannya," jelas beliau.
Sementara itu, Penasihat Madrasah Bab al-Khausar, Shahbudin Embun
berharap pintu hati Menteri Besar Kelantan itu akan terbuka serta diberi
petunjuk untuk melihat kepada perkara yang benar.
Sambil memberikan contoh bekas Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir
Mohamad yang berundur apabila tiba masanya, beliau berkata, Nik Abdul
Aziz juga sepatutnya mengambil langkah serupa.
/hwa: utusan.com.my | 31/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan