31 Mei 2012

Formula BN majukan Malaysia tidak perlu dipertikai lagi

KUALA LUMPUR 29 Mei - Formula kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan ekonomi, politik, sosial dan budaya di negara ini tidak perlu dipertikai lagi kerana ia membawa kestabilan dan memberi keselesaan kepada semua pihak.
Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, jika pihak tertentu berterusan mahu menguji pencapaian pentadbiran sedia ada dengan berkeinginan untuk melihat kerajaan baru yang tidak berpengalaman memerintah, maka negara akan hancur.
"Meskipun terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki terutama melibatkan dasar, kita perlu berpuas hati kerana negara berada dalam keadaan stabil, popular, memiliki modus operandi yang terbaik dalam pembangunan, komitmen tinggi dan mempunyai ketua negara yang berkualiti.
"Bagi golongan yang suka bereksperimen, mereka tergolong dalam kalangan yang sukakan populariti. Mereka gemar melihat kesan daripada perbuatan tersebut sama ada wujud penyokong atau tidak, tetapi hakikatnya golongan ini tidak ada hala tuju," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bahawa rakyat tidak boleh melakukan eksperimen terhadap nasib dan masa depan negara pada pilihan raya umum kerana jika tersalah langkah ia boleh menjerumuskan negara ke dalam situasi tidak menentu.
Menurut Ramlah, pemimpin negara pada masa dahulu bersungguh-sungguh menyatukan tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India supaya tiada pemisahan dan tiada tuntutan yang berbeza demi keharmonian negara dan masyarakat.
"Pendekatan yang diambil oleh pemimpin terdahulu berjaya. Buktinya sejak tahun 70-an sehingga 2008, negara dan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum hidup dalam perpaduan.
"Tetapi sedihnya ketika 2008 terdapat segelintir masyarakat cuba membuat eksperimen. Uji kaji yang mereka lakukan pada awalnya memberi perasaan puas hati di kalangan mereka, tetapi akhir-akhir ini ancaman keselamatan terhadap negara dan rakyat semakin menonjol," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep), Datuk Dr. Mohd. Jamil Mukmin berkata, landskap politik dalam negara tidak perlu diubah mahupun diuji kerana ia telah terbukti membawa keamanan.
Jelas beliau, disebabkan tindakan pihak yang mahu melihat 'pembaharuan' dalam negara terutama melibatkan Perlembagaan negara, kesannya ialah orang Melayu kini berpecah-belah.
"Jika pihak-pihak yang suka menguji telah menyebabkan orang Melayu tidak bersatu, banyak lagi perkara lain yang akan dilakukan dan bagi mereka ia hanya perkara mudah. Justeru adakah kita hanya mahu mendiamkan diri dan melihat tindak-tanduk mereka," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 31/5/12

Tiada ulasan: