KUALA LUMPUR 29 Mei - Senator Datuk S. Nallakaruppan mendakwa rakaman
video 'panas' yang diserahkan kepada peguamnya, Datuk Seri Dr. Muhammad
Shafee Abdullah bulan lalu adalah video seks seorang pemimpin
pembangkang bersama isteri orang.
Katanya, rakaman video selama satu jam 20 minit itu dirakam pada
tahun 1990-an di sebuah kediaman mewah di ibu kota dan ia bakal menjadi
bukti kukuh bahawa pemimpin politik tersebut mempunyai masalah moral.
Menurutnya, video itu lebih jelas siapa pelakunya dan apabila ditayangkan di mahkamah kelak bakal menyedarkan orang ramai.
Beliau seterusnya mencabar pemimpin pembangkang berkenaan menyamannya
sebanyak RM500 juta jika yakin video seks tersebut satu lagi fitnah
tetapi pada masa sama memberi amaran terlalu banyak rahsia sepanjang
bertahun-tahun persahabatan mereka.
"Video ini saya simpan sejak 15 tahun lalu demi keselamatan kerana
pada masa itu pemimpin tersebut individu penting dalam negara. Namun,
beliau tidak pernah insaf dan berterusan mahu menghancurkan negara
menyebabkan saya perlu menyerahkan bukti ini kepada mahkamah.
"Beliau boleh menafikan atau mendakwa video ini sekadar fitnah tetapi
pita rakaman yang diserah kepada Muhammad Shafee bukan main-main, ia
rakaman seks beliau dengan isteri orang dan saya akan dedah segalanya di
mahkamah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 23 April lalu, Nallakaruppan bertindak menyerahkan video itu
kepada Muhammad Shafee di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, ditanya mengapa baru sekarang beliau mendedahkan
kewujudan video seks berkenaan, Nallakaruppan berkata, beliau sudah
tidak mampu lagi bersabar melihat tindak-tanduk pemimpin pembangkang
tersebut yang berterusan menipu rakyat.
"Dia menipu rakyat dan menjanjikan macam-macam serta cuba merosakkan
negara hanya kerana cita-cita politik. Apakah saya mahu bersabar lagi
dengan semua ini sedangkan saya tahu siapa dia yang sebenar, saya tahu
betapa buruknya moral pemimpin ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 31/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan