KUALA TERENGGANU 19 Mei - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat mencadangkan muzakarah bersama UMNO diadakan sebelum pilihan raya
umum ke-13 (PRU-13).
Bagaimanapun, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan
UMNO perlu mematuhi beberapa perkara yang akan ditentukan oleh Pas
sekiranya ingin bersatu dan mencapai kesefahaman.
"Kalau UMNO nak bersatu (dengan Pas), tukar dasar kebangsaan dia,
bubuh (letak) Islam. Bukan buat keputusan secara berseorangan, tetapi
perlu buat secara rasmi bahawa UMNO tukar dasar kebangsaan kepada Islam.
"UMNO kena terima Pas sekali dengan pakatan (pembangkang). Bila UMNO
dah ubah dasarnya, mereka kena bersama dengan pakatan," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-37 Pas Kawasan Kuala
Terengganu di Markaz Tarbiyyah Pas di Kuala Ibai, dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkara disebalik
kesudian Pas untuk mengadakan muzakarah dengan UMNO sebagai suatu
permulaan kepada kerjasama parti demi penyatuan orang Melayu khususnya
umat Islam.
Katanya muzakarah diminta oleh agama Islam dan sepatutnya adalah untuk kebaikan semua pihak dengan niat yang benar-benar ikhlas.
Rabu lalu, Nik Aziz menyatakan persetujuannya agar Pas membuka pintu
untuk bermuzakarah dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
termasuk UMNO .
Kenyataannya itu mendapat reaksi positif Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin bahawa UMNO bersedia untuk bermuzakarah dengan Pas
asalkan tujuannya untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.
- BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 19/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan