IPOH 6 Mei - Pas mengakui agak sukar bagi parti itu untuk bersaing
dengan UMNO bagi mendapatkan sokongan pengundi Melayu terutamanya di
kawasan luar bandar dan Felda.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,
parti berhadapan dengan pelbagai masalah untuk meraih sokongan di
kedua-dua kawasan itu.
"Ruang bagi Pas yang bersaing dengan UMNO bagi merebut sokongan
pengundi Melayu sehingga saat ini kita akui masih lagi berhadapan dengan
pelbagai masalah khususnya di kawasan luar bandar dan Felda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pas Perak ke-16 di sini, hari ini.
Katanya satu daripada faktor Pas gagal meraih sokongan pengundi
ialah pendekatan inklusif yang dilaksanakan parti itu di mana program
yang diadakan terlalu bersifat kepartian.
Pada sidang media kemudiannya, Tuan Ibrahim berkata Pas Pusat telah
menerima senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13
akan datang.
"Kebiasaannya setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen akan
hantar sekurang-kurangnya dua nama dan Majlis Syura telah meluluskan dua
nama tersebut di seluruh negara.
"Semua calon telah diputuskan di peringkat Majlis Syura dan sekarang
kita turunkan calon ke peringkat Jawatankuasa Pusat parti dan
jawatankuasa itu yang akan putuskan siapa calon (yang akan bertanding)
dalam masa terdekat," katanya.
Selain itu, katanya pembahagian kerusi di kalangan parti dalam pakatan pembangkang telah 90 peratus selesai. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 8/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan