KUALA LUMPUR 5 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, Barisan Nasional (BN) adalah satu pakatan yang berpaksi kepada
realiti dan hakikat.
Najib, yang juga Pengerusi BN berkata, hubungan antara parti komponen
BN adalah serasi dan berdasarkan kepada falsafah serta amalan dalam BN.
"Kita tidak bersandiwara kepada rakyat, salah satu daripada sandiwara
yang besar dilakukan oleh pembangkang ialah bahawa sehingga ke hari
ini, walaupun empat tahun sudah berlalu tetapi mereka tak dapat lagi
membentuk 'shadow cabinet' dalam pembangkang walaupun mereka uar-uarkan
nak wujudkan 'two party system' dalam negara.
"Jadi kalau dalam pembangkang lagi di peringkat nasional mereka gagal
untuk berbuat demikian, macam mana mereka nak ada keyakinan bahawa
mereka boleh tawan Putrajaya dan mereka boleh mentadbir negara kita
dengan jayanya," katanya dalam wawancara eksklusif dengan UMNO-Online di
sini.
Beliau berkata, UMNO tidak pernah bersikap ekstrem dalam
memperjuangkan kehendak orang Melayu dan sering bertolak ansur serta
inklusif dengan kaum lain.
"Sebab itulah kita telah berjaya dalam 12 pilihan raya. Walaupun kita
mengalami apa yang disifatkan sebagai tsunami politik pada 2008, tapi
kita akan mempelajari dan menyedari.
"Kalau ada kesilapan kita mesti akuinya, maknanya mesti muhasabah,
yang mana ia telah kita lakukan dan kita mesti berani membuat perubahan
dalam parti kita dan kerajaan telah pun membentangkan apa pembaharuan
untuk rakyat.
"Sekarang ini kita masuk dalam peringkat di mana segala-gala
pembaharuan yang kita telah dan sedang lakukan itu mestilah kita dapat
meyakinkan rakyat.
"Maknanya kebolehan kita untuk berkomunikasi dengan berkesan kepada
rakyat, supaya rakyat akan sedar bahawa agenda transformasi nasional
kita adalah yang terbaik untuk rakyat dan masa depan negara kita,"
katanya.
Najib juga mengakui bahawa ada angin perubahan ke arah UMNO dan BN,
termasuk di negeri yang diperintah pembangkang dan berharap momentum itu
dapat diperhebatkan lagi.
"Jadi jangan kita rasa kemenangan dalam tangan kita... tak boleh.
Dalam minda kita mesti ada selagi kita merasakan boleh, selagi belum
sampai kepada hari mengundi, selagi itu saya ada yang boleh saya
lakukan. Masih ada banyak cara yang boleh saya lakukan dan saya mesti
melihat daripada semua sudut, maknanya semua pemimpin UMNO mesti
bersikap sedemikian," katanya. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 8/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan