8 Mei 2012

Hadi baru tersedar

KUALA LUMPUR 5 Mei - Seluruh ahli Pas wajar mengucapkan tahniah kepada Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang baru tersedar bahawa perjuangan agamanya selama ini tidak betul dan mengelirukan rakyat negara ini.
Malah, Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Hamzah Zainuddin turut menyifatkan pemimpin Pas itu sebagai cakap tidak serupa bikin ekoran sentiasa cuba mengubah konsep perjuangannya dan parti sejak dahulu.
Beliau berkata, Abdul Hadi sudah hilang arah perjuangan asalnya sejak sekian lama apatah lagi kini beliau berhadapan desakan yang dibuat oleh sekutu rapatnya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Sebenarnya apa yang negara bawah pimpinan BN laksanakan selama ini sudah addin mengikut kehendak Allah, Islam, negara dan kepentingan rakyat cuma Abdul Hadi sahaja yang baru tersedar sebab beliau adalah seorang yang keliru.
"Dulu beliau kata lain, sekarang lain lagi. Mungkin beliau berpandangan bahawa menukar pendapat atau ilmu agama tentang pengajaran Islam boleh dibuat dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Hamzah menambah, pelbagai persoalan yang wajar dihujahkan kepada pemimpin tersebut sebelum beliau bercita-cita ingin meminda Perlembagaan untuk meletakkan Islam sebagai addin atau cara hidup.
"Jika benar ingin membawa addin dalam negara, beliau wajib menolak penyokong tegar Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dan tidak menafikan video tidak bermoral milik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa isu lagi.
"Beliau selama ini dilihat sebagai seorang yang mempunyai ilmu agama tinggi namun gagal untuk bersikap adil kepada rakyat serta telus dalam menjatuhkan satu-satu hukuman semata-mata hendak berkuasa dan kepentingan politik," katanya lagi.
Hamzah menegaskan, rakyat wajar menilai sebaiknya dalam memilih barisan pemimpin akan datang kerana ia melibatkan masa depan negara.
"Perjuangan UMNO atau BN sejak dahulu sama dan tidak akan berubah selain terus bergerak ke hadapan dalam membela bangsa, agama dan negara demi menjaga kepentingan rakyat serta kesejahteraan yang terbina sejak kemerdekaan," jelasnya.
Mengulas isu Bersih 3.0 baru-baru ini, beliau berkata, demonstrasi jalanan adalah salah satu yang tidak menunjukkan bahawa Pas atau sekutunya bersemangat hendak menjadi Islam sebagai addin.
"Kalau sudah tahu mereka akan menang, buat apa hendak berdemonstrasi, melakukan huru-hara di dalam negara serta melanggar undang-undang," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 8/5/12

Tiada ulasan: