JASIN 5 Mei - Hak-hak istimewa orang Melayu akan lenyap jika usaha pihak tertentu untuk melumpuhkan UMNO tidak dihalang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam
berkata, orang Melayu kini menghadapi tekanan dan cabaran paling hebat,
lebih-lebih lagi ada usaha untuk melenyapkan UMNO daripada terus menjadi
tunjang pemerintahan negara.
''Apabila UMNO lenyap, kekuatan politik orang Melayu juga akan
terhapus. Semua orang tahu, perjuangan menjaga hak-hak orang Melayu
merupakan tanggungjawab utama UMNO sejak dulu kini dan selamanya.
''Oleh itu menjadi tanggungjawab orang Melayu untuk terus
mempertahankan UMNO daripada lemah kerana tidak mustahil segala hak
keistimewaan kita akan lenyap.
''Saya minta orang Melayu bersatu memperkukuhkan UMNO kerana itu
sahaja kekuatan politik mereka untuk terus memegang tampuk pemerintahan
negara," katanya ketika berucap selepas menerima bendera Sang Saka
Bangsa daripada UMNO Johor sempena Larian Bendera UMNO di Laman Belia
Malaysia, Sungai Rambai di sini hari ini.
Bendera tersebut diserahkan oleh Datuk Abdul Ghani Othman kepada
Mohd. Ali sebelum diserahkan kepada Ketua Pemuda UMNO negeri, Razak
Abdul Rahman bagi memulakan larian peringkat negeri.
Seramai 3,000 ahli UMNO dari Melaka dan Johor berkumpul di Laman
Belia 1Malaysia diiringi 66 pembawa bunga mangga, 40 buah motosikal
berkuasa tinggi, paluan kompang serta perarakan bendera UMNO dan Barisan
Nasional (BN).
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk
Hasan Rahman; ADUN Serkam, Datuk Ghazale Mohamad dan ADUN Merlimau,
Roslan Ahmad.
Mohd. Ali berkata, orang Melayu perlu mempertahankan UMNO kerana
kepimpinan parti itu merupakan yang terbaik dalam membangunkan negara,
menjaga hak orang Melayu di samping menjaga hak-hak kaum lain.
Sementara itu Pengerusi Larian Bendera peringkat negeri, Datuk Idris
Haron berkata, seramai 13,900 orang akan menyertai larian itu yang
melibatkan jarak 113 kilometer.
Menurutnya, larian hari pertama melibatkan jarak 52 kilometer dari
Sungai Rambai melalui Merlimau, Serkam, Telok Mas, Ayer Molek, Duyong,
Bukit Baru, Durian Tunggal dan berakhir di Paya Rumput.
''Esok pagi larian itu diteruskan ke Klebang, Pantai Kundor, Sungai
Udang, Lendu, Tanjung Bidara dan berakhir di Kuala Linggi yang dijangka
petang esok," katanya.
Beliau menambah, bendera itu akan diserahkan kepada UMNO Negeri
Sembilan oleh Mohd. Ali kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
/HWA: utusan.com.my | 8/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan