KUALA LUMPUR 7 Mei - Pembohongan
pembangkang mengenai kewujudan enam hingga tujuh kotak yang kononnya
mengandungi fail-fail rasuah membabitkan beberapa pemimpin kerajaan
semasa kempen Pilihan Raya Umum 1999 akan didedahkan pada ceramah Kelab
Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) pada 10 Mei ini.
Pesuruhjaya TIBAI Selangor/Wilayah Persekutuan, Wan Indra Putra Ahmad
berkata, perkara itu adalah antara isu yang akan dibangkitkan oleh 18
penceramah yang merupakan bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR)
pada ceramah bertemakan Sumpah Keramat TIBAI 2012 di kawasan lapang, Jalan Utama, Pinggiran Batu Caves, Gombak.
Katanya, selain beliau, ceramah yang bermula pada pukul 8.30 malam
Khamis ini akan turut melibatkan Senator Ezam Mohd. Nor; Mursyidul Am
TIBAI, Zahid Md. Arip; Senator Datuk S. Nallakaruppan, Hamidzun
Khairuddin, Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim dan Anuar Shaari.
"Kalau kita masih ingat, pembangkang mendakwa memiliki berkotak-kotak
fail rasuah yang kononnya melibatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk
Seri S. Samy Vellu dan Tan Sri Rafidah Aziz tetapi ia tidak pernah
didedah dan wujud sampai hari ini.
"Saya masih ingat lagi pemimpin pembangkang terbabit mengatakan
semasa pertemuan dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 1999 itu
bahawa kelemahan orang Melayu ialah fitnah dan agenda, maka dia minta
kami uar-uarkan mengenai 'kotak-kotak fail rahsia rasuah ini' ke seluruh
negara," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wan Indra Putra yang juga bekas Setiausaha Pergerakan Pemuda Parti
Keadilan Nasional Selangor pada 1999 berkata, pihaknya berpendapat orang
ramai perlu tahu mengenai helah dan tipu daya pembangkang terutama
menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.
"Saya masih ingat, Ruslan Kassim pada waktu itu Ketua Penerangan
Pemuda Keadilan menyanggah pemimpin pembangkang terbabit dengan
mengatakan 'buat apa kita hendak tipu rakyat, kita ni sembahyang lima
waktu pun belum tentu diterima-Nya'.
"Tapi pemimpin pembangkang terbabit jawab 'lepas kita menang PRU
1999, saya akan hantar kamu semua ke Mekah, pegang kain Kaabah dan
kemudian kamu semua bertaubat, hilanglah semua dosa tu'," jelas beliau.
Wan Indra Putra menegaskan, selepas kawasan Parlimen Gombak Khamis
ini, TIBAI akan mengadakan satu lagi ceramah Sabtu ini bermula 8.30
malam di Padang Awam, belakang Sekolah Rendah Agama, Kampung Tasik
Tambahan, Ampang.
"Ia akan melibatkan beberapa penceramah lagi yang kesemuanya bekas
pemimpin PKR termasuk Azwanddin Hamzah, Rahimi Osman dan Abdul Ghani
Haron," katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Anti
Penyelewengan Selangor (GAPS).
Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Raafedi
Talib di talian 013-6111046, Imanuddin Mohd. Yusof (013-3516201) atau
Saipol daripada sekretariat TIBAI (010-269 4774).
/HWA: utusan.com.my | 8/8//12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan