Pertahankan parti keramat

Mukadimah
UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946, dan Jumaat
ini genap 66 tahun usianya. Kali ini sambutannya sangat signifikan
kerana hampir dengan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) tahun ini. Pada
masa yang sama PRU-13 dianggap penting untuk memperbaiki pencapaian pada
PRU-12 tahun 2008.
Selepas 2008 UMNO telah membuat banyak perubahan dan penambahbaikan
serta mengenalpasti kekurangan untuk memastikan kejayaan pada PRU-13. Kerana itu tahap siapsiaga UMNO di pelbagai lapisan adalah penting untuk
pilihan raya kali ini.
Antara perubahan yang telah dilakukan ialah meminda perlembagaan
parti supaya UMNO lebih telus, lebih demokratik dan inklusif. Pada masa
yang sama UMNO akan terus menjadi tunggak kepada rakan-rakan lain dalam
komponen Barisan Nasional.
Sempena ulang tahun UMNO kali ini, Ketua Pengarang UMNO Online, AHMAD
KAMAL ZAILANI dan Editor Berita ROFIKAH AHMAD telah mewawancara
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri
mengenai persiapan UMNO menghadapi PRU-13.
UMNO Online: UMNO menyambut ulang tahunnya ketika seluruh negara
memperkatakan tentang Pilihan Raya Umum ke-13, perayaan ulang tahun ini
sangat signifikan kerana ia adalah yang terakhir sebelum Parlimen
dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan. Adakah parti daripada
setiap peringkat sudah siap siaga berdepan dengan cabaran getir ini dan
adakah Datuk Seri melihat ruang penambahbaikan sudah diperbaiki?
NAJIB: Pada umumnya parti UMNO dan rakan-rakan kita dalam Barisan
Nasional sudah pun membuat persediaan yang diperlukan bagi menghadapi
Pilihan Raya yang ke-13, namun seperti biasa kita tahu bahawa masih ada
ruang yang boleh dilakukan oleh parti kita terutama sekali di peringkat
akar umbi dan ini termasuk juga peranan yang boleh dimainkan oleh
kepimpinan peringkat bahagian, peti undi dan terus ke peringkat
cawangan, salah satu daripada perkara yang saya tekankan ialah betapa
pentingnya kita ini merupakan satu pasukan, satu keluarga yang bukan
saja mantap tetapi kukuh dan padu dalam apa jua keadaan dan kita mesti
melihat bahawa ancaman kita, pesaing kita adalah parti pembangkang dan
bukanlah sesama kita. Jadi dalam keadaan kita berhadapan dengan pilihan
raya ini kita mestilah memastikan bahawa persengketaan antara kita atau
persaingan antara kita dapat diketepikan dan kita menjurus kepada
perhatian yang sepenuhnya kepada sebarang dan segala usaha yang kita
boleh lakukan untuk memastikan bahawa jentera kita ini padu dan boleh
bergerak, lancar dan penuh bersemangat untuk UMNO dan Barisan Nasional
Kita melihat Hari UMNO diadakan ketika mesyuarat-mesyuarat cawangan
sedang berlangsung. Sudahkah parti di peringkat akar umbi menterjemah
segala kudrat dan tenaga untuk memastikan jentera UMNO bergerak bagi
memastikan UMNO dan BN terus menjadi pilihan rakyat?
NAJIB: Jentera-jentera kita telah pun diberi kursus, diberi panduan
dan telah pun dibuat perjumpaan dan hampir semua negeri lancarkan
jentera pilihan raya tapi sebab kita ini merupakan parti yang besar, 3.3
juta ahli kita semua sekali, oleh itu kita mesti meletakkan dalam
fikiran dan juga mind set anggota-anggota parti kita ini supaya menumpu
kepada sebarang usaha yang boleh dilakukan setiap daripada kita, tidak
semestinya kita ini merupakan seorang pemimpin besar, atau pemimpin di
peringkat bahagian tapi kita sebagai ahli biasa, sekurang-kurangnya
nilai undi kita, sebab ada kalanya ada juga ahli UMNO yang tidak
mengundi waktu pilihan raya, jadi kita mesti pastikan bahawa setiap
daripada 3.3 juta ahli UMNO ada peranan masing-masing
Datuk Seri selalu menekankan pentingnya UMNO melakukan transformasi
untuk terus kekal relevan. Adakah transformasi politik dalam UMNO sudah
berlaku?
NAJIB: Perjalanannya sudah pun bermula dan kita sudah pun melihat ada
kesannya, antaranya kita telah pun meminda Perlembagaan parti supaya
parti UMNO lebih telus, lebih demokratik dan inklusif. Kita dah mula
menghayati Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan
dimana banyak program yang dilakukan oleh UMNO adalah berteraskan kepada
falsafah dan Gagasan tersebut. Walau bagaimanapun, saya seorang yang
bersikap realis bahawa melakukan transformasi secara menyeluruh mesti
disertai dengan perubahan budaya dalam UMNO dan untuk mengubah sikap
manusia dan sistem nilai dalam parti kita ini tentu sekali memakan masa
tetapi saya rasa bahawa pencapaian atau pun perjalanan ini sudahpun
bermula dan ada sedikit sebanyak perubahan tapi kita perlu meneruskan
lagi sebab untuk mentransformasikan UMNO adalah satu cabaran yang tentu
sekali akan memakan masa.
Jadi tempoh 65 tahun masih belum mencukupi untuk UMNO terus melakukan transformasi kepada parti dan rakyat?
NAJIB: UMNO sebenarnya sudah berjaya sebab kalau kita lihat pada
peringkat awal semangat untuk menentang Malayan Union, semangat untuk
memerdekakan negara kita, masa itu tidak ada sesiapa persoalkan tentang
kelemahan UMNO ataupun permasalahan dalaman UMNO sebab perjuangan kita
satu saja, kita nak bagaimanapun UMNO mesti merupakan pelopor kepada
kemerdekaan negara kita dan dalam tempoh masa kita berjuang untuk
mengisi kemerdekaan, peringkat awal tahun 60-an, 70-an kita lihat
perjuangan kita memang berpandu kepada satu matlamat saja tapi bila
sistem nilai kita telah dicampuraduk dengan soal kepentingan untuk
merebut jawatan dan sedikit sebanyak soal politik wang melanda parti
kita kerana persaingan bertambah sengit dan kita sebagai sebuah parti
telah berjaya membangunkan negara kita dan bererti orang yang berada
dalam negara kita ini sudah bertambah, jadi matlamat kita sudah pun
dicampuraduk dengan soal kepentingan diri dan sebagainya. Inilah yang
mesti kita hindari bahawa sebagai sebuah parti yang telah lama wujud,
terlalu besar nilai dan jasa kita, tapi pengundi hari ini tidak akan
melihat kepada kegemilangan dalam sejarah, dari segi sejarah. Mereka nak
tahu apa perjuangan kita masa kini dan akan datang, oleh itu kita tak
boleh bersandar kepada nilai sejarah sahaja tapi kita mesti melihat UMNO
kepada konteks masa kini dan akan datang. Inilah yang saya nak tekankan
supaya setiap pemimpin UMNO mesti menghayati dan mencerminkan
nilai-nilai kepimpinan yang disenangi oleh rakyat, dengan itu rakyat
akan memberi sokongan yang padu kepada UMNO dan Barisan Nasional
Tadi Datuk Seri ada menyebut tentang perubahan budaya dan sistem
nilai yang perlu ada dalam UMNO, perubahan budaya untuk jangka masa ke
arah Wawasan 2020, bagaimana Datuk Seri ingin terapkan dalam UMNO?
NAJIB: Sistem budaya kita ini sebenarnya tak perlu lari daripada yang
asal cuma kita akan tekankan perkara-perkara yang perlu dalam konteks
masa kini dan akan datang, umpamanya nilai untuk meletakkan kepentingan
parti mengatasi segala kepentingan, nilai kesetiaan pada parti,
disiplin, kerja dalam satu pasukan dan sebagainya. Ini merupakan
nilai-nilai sejati yang kita telah bina selama ini, dan perlu
dikekalkan, perlu dipertahankan. Dalam konteks hari ini nilai kita yang
lama kita kekalkan, nilai yang baru yang meletakkan misalnya menguasai
kemahiran dan keilmuan itu terutama sekali dalam konteks masa kini,
kemahiran ICT umpamanya, kemahiran dalam menggunakan sosial media
umpamanya, kemahiran untuk kita berkomunikasi umpamanya. Ini semua
merupakan kemahiran yang perlu kita hayati, kita pelajari supaya peranan
kita sebagai pemimpin berkesan pada setiap era. Jadi kalau era dulu,
kalau era mencapai kemerdekaan kita berkesan, era kita untuk mengisi
kemerdekaan kita amat berkesan, era kita untuk membawa perubahan
daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian kita
berkesan jadi era kita dalam abad ke-21 ini, dalam konteks dunia tanpa
sempadan, dalam konteks ledakan maklumat kita juga perlu memperlihatkan
keberkesanan kepimpinan UMNO.
Adakah disebabkan era hari ini menyebabkan roh dan semangat
perjuangan itu telah mula pudar di kalangan ahli-ahli UMNO. Apa sebabnya
Datuk Seri?
NAJIB: Ya, ada sedikit sebanyak sebab unsur bahawa kita ini sudah
berjaya, unsur bahawa UMNO ini sudah banyak jasanya jadi ramai orang
yang mempunyai kemampuan ekonomi dan sebagainya. Mereka tidak melihat
bahawa matlamat perjuangan itu besar lebih mengatasi segala-gala
perhitungan yang lain. Jadi kalau ada sifat bahawa saya nak utamakan apa
inspirasi saya sebagai individu lebih daripada parti, maka ini yang
akan menimbulkan masalah dalam parti kita. Saya tak kata kita tak boleh
ada cita-cita peribadi, tak boleh ada kepentingan diri tetapi mestilah
tidak mengatasi apa yang penting dan lebih utama adalah parti kita, masa
depan parti itu sendiri.
Datuk Seri menterjemahkan secara jelas idea-idea baru dan kreatif.
Nampak keikhlasan dan kejujuran Datuk Seri sebagai pemimpin menangani
kemelut keresahan rakyat, Tetapi ada pandangan, ia tidak diterjemah dan
mendapat tindakan susulan yang agresif di peringkat kepimpinan di bawah?
NAJIB: Ini akan makan masa sebab jurang antara apa yang kita luahkan
sebagai pemimpin dalam bentuk dasar dan juga dalam bentuk panduan yang
kita berikan, terutama sekali agenda untuk negara dan unsur-unsur
pembaharuan untuk mereka memahami dan menghayati, itu akan memakan masa
tetapi saya teruja sebab sokongan kepada apa yang kita nak lakukan
seperti Gagasan 1Malaysia dan Rakyat Didahulukan, dan kita punya GTP,
ETP, PTP semuanya ini disokong oleh UMNO. UMNO tak ada membantah atau
tidak mempersoalkan. UMNO menyokong sepenuhnya tetapi untuk
diterjemahkan dalam bentuk peranan masing-masing dan untuk menghujahkan
bagaimana apa-apa yang kita nak buat dalam bentuk agenda baru untuk
negara itu dapat dilakukan dengan kaedah yang begitu baik sehingga
rakyat umumnya yang di luar parti kita dapat menerima bahawa UMNO adalah
merupakan tonggak kepada negara kita dan UMNO adalah merupakan sebuah
parti yang benar-benar, satu-satu parti yang boleh membawa negara kita
ini ke arah mencapai Wawasan 2020.
Adakah Datuk Seri cukup yakin bahawa rakyat menerima dengan baik
segala yang dibuat sebagaimana Gagasan 1Malaysia, Bantuan Rakyat
1Malaysia dan lain-lain mendapat respons yang baik daripada rakyat atau
sebaliknya?
NAJIB: Saya percaya rakyat menerimanya dengan baik, dengan positif
sebab apabila saya turun padang berada dalam program berjumpa dengan
rakyat, berjumpa dalam tinjauan mesra, saya melihat bahawa suasana, mood
hari ini lebih baik. Saya melihat bahawa sambutan yang diberikan kepada
saya, kepada Timbalan Presiden, kepada pemimpin-pemimpin lain lebih
positif tetapi kita juga harus sedar bahawa pembangkang begitu aktif,
mereka akan menyerang, menyelar kita dan mereka akan cuba mengalih
pandangan kita dengan mempertikaikan apa saja program yang kita buat dan
menimbulkan isu-isu yang tidak sepatutnya dijadikan isu. Jadi dengan
keadaan yang sedemikian kita kena melakukan apa yang patut untuk
meyakinkan kepada rakyat bahawa sebarang unsur negatif dari segi
persepsi yang cuba dilontarkan itu tidak akan diterima oleh rakyat.
Saya cukup tertarik berhubung soal persepsi. Persepsi palsu yang
dibina oleh pembangkang yang berlawan dengan politik realis BN. Setiap
kali BN mengutarakan program untuk rakyat akan diputar belitkan. Macam
mana peranan kita dalam UMNO dan kerajaan untuk menangani persepsi
palsu?
NAJIB: Kita kena sedar bahawa perkara ini sedang dilakukan dengan
begitu hebat oleh pembangkang. Mereka akan cuba putar apa-apa isu kita,
mereka akan cuba buat negative spinning, malah pembohongan akan mereka
lakukan untuk menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Umpamanya apabila kita buat BR1M yang begitu popular, maka mereka kata
‘duit ini kita gunakan wang yang dipinjam dari luar negara’, itu satu
dakwaan yang tidak bertanggungjawab sama sekali. Sebab itu merupakan
satu dakwaan palsu sama sekali. Kejayaan kita melaksanakan BR1M adalah
kerana kita berjaya menambahkan hasil negara sebanyak RM26 bilion dalam
masa setahun saja yang merupakan pencapaian tertinggi oleh kerajaan tapi
pencapaian itu tidak diberi kredit, tidak diberi penghargaan oleh
mereka tetapi sebaliknya mereka menuduh kita membuat sesuatu yang
berdasarkan kononnya kita ini kerajaan yang tak bertanggungjawab.
Sebenarnya kita tidak begitu. Merekalah yang menjanjikan sesuatu yang
bersifat populis, begitu juga apabila ada apa-apa mereka cuba bangkitkan
misalnya ada pemimpin tuduh kononnya saya ada mesyuarat dengan
ketua-ketua angkatan tentera nak melakukan sesuatu di luar Perlembagaan
seandainya UMNO dan Barisan Nasional kalah. Itu merupakan satu fitnah
yang amat dahsyat tapi mereka sanggup lakukan dakwaan seperti ini
semata-mata kalau mereka tak dapat meyakinkan rakyat sekurang-kurangnya
mengelirukan rakyat. Ini taktik yang digunakan oleh parti pembangkang.
Tapi sebenarnya pembangkang mengelirukan rakyat dan membuat fitnah,
maka rakyat menjadi keliru kerana melihat tidak ada tindakan tegas dan
berani untuk memastikan perkara ini tidak berulang?
NAJIB: Kita ambil tindakan dalam skop undang-undang yang sedia ada
sebab dalam zaman sekarang ini kita tak boleh nak bertindak dengan tahan
orang tanpa ada alasan yang kukuh malah menahan orang tanpa perbicaraan
di mahkamah,. Itu tak boleh kita lakukan dalam zaman sekarang. Jadi
apa-apa yang didakwa oleh mereka itu, kita kena cari bukti yang cukup
dan kita kena sabit di mahkamah. Ini yang jadi kesulitan pada kita sebab
kadang-kadang ia dilemparkan dalam online, apa ayat yang dia susun itu
ialah dengan cara yang kadang-kadang sukar nak ambil tindakan. Walau
bagaimanapun jika ada cukup bukti kerajaan akan ambil tindakan dan
siasatan yang rapi perlu dilakukan terlebih dahulu.
Kurang daripada empat tahun pakatan pembangkang memerintah sudah
banyak kesilapan dan banyak berlaku permasalahan. Tetapi masih ada yang
terpedaya dan tidak ambil peduli tentang landskap politik bahaya ini.
Apa nasihat Datuk Seri kepada rakyat?
NAJIB: Ya, mereka dah janji begitu banyak untuk meraih sokongan dalam
pilihan raya yang lalu. Saya pun dah katakan macam di Selangor, saya
pun dah huraikan banyak perkara yang mereka janji dan apa yang mereka
tak buat dan kita mesti ulang perkara-perkara ini sebab kalau kita sebut
sekali dua, maka ia tak akan masuk dalam kepala orang ramai tapi kalau
kita tekan dan ulang banyak kali maka rakyat akan sedar bahawa mereka
telah ditipu dalam pilihan raya yang lalu da mereka tak seharusnya
ditipu lagi.
Mereka menggunakan fitnah, tipu helah, ancaman kepada kerajaan dan
UMNO sepanjang mereka berkerajaan di beberapa buah negeri . Adakah UMNO
telah berjaya menangkis tipu helah pembangkang ini?
NAJIB: Saya lihat memang ada angin perubahan yang bertiup di
negeri-negeri yang mereka kuasai, soalnya sama ada sudah pun sampai ke
peringkat dimana rakyat bersedia menukar dan kembali kepada Barisan
Nasional dan inilah yang mesti kita lipat gandakan usaha kita untuk kita
menerangkan kepada rakyat bahawa mereka sebenarnya tak ada kemampuan
untuk mentadbir negara dan negeri seperti mana yang mereka dakwa.
Janji-janji yang telah mereka buat tidak ditepati. Ini yang mereka patut
tekankan kepada rakyat supaya rakyat pada kesudahannya akan mengadili
siapa yang benar atau sebaliknya.
Adakah Datuk Seri melihat sambutan ulang tahun UMNO ke-66 kali ini
sebagai kekuatan parti untuk menghadapi PRU akan datang. Bolehkan UMNO
dan BN meraih majoriti besar dan menawan negeri-negeri yang kalah?
NAJIB: Inilah yang saya tekankan kita tak boleh ada sikap urusan
seperti biasa, business as usual, kita mesti sedar lebih-lebih lagi di
negeri yang kita dah kalah. Bahawa kita mesti buat sesuatu yang luar
biasa dari segi strategi kita, kesungguhan kita, perancangan kita, dari
segi program yang kita laksanakan dan juga peranan kita dalam sosial
media online. Semua itu menampakkan bahawa kita ini berada sebuah negeri
yang kita kalah itu, negeri yang kalah dan ditawan pembangkang mesti
buat sesuatu yang lebih daripada biasa. Jangan kita nak buat tahap
sumbangan kita ataupun tahap yang kita buat itu mendatar atau biasa.
Kalau kita nak menumbangkan kerajaan yang dikuasai oleh pembangkang di
negeri-negeri tertentu, kita mesti berusaha lebih daripada biasa. Ini
mesej saya. Kita mesti bersatu lebih daripada biasa, jadi barulah kita
ada peluang yang baik.
Adakah Datuk Seri melihat kita telah melakukan kerja yang lebih daripada biasa dan bersatu lebih daripada biasa?
NAJIB: Kita dah berusaha dengan gigih tapi saya harap kena tambah
lagi. Saya merupakan seorang manusia yang tak puas hati. Bukan bererti
bahawa kita tak melakukan, dah melakukan, mungkin lebih daripada biasa
tapi kita tak pernah berdepan dengan senario dimana kita tewas lima buah
negeri, sekarang tinggal empat dalam tangan pembangkang. Jadi apa yang
kita lakukan mesti ditingkatkan lagi.
Untuk Hari UMNO, bagaimana Datuk Seri melihat tema Hari UMNO itu sendiri iaitu ‘UMNO Pembela Rakyat’.
NAJIB: Sesuai dengan falsafah Gagasan Rakyat Didahulukan, maknanya
kita nak ketengahkan dan kita ingatkan bahawa UMNO adalah parti yang
membela rakyat selama ini dan jasa kita terlalu besar. Ini yang kita nak
tekankan dan terapkan dan di samping itu mengingatkan kepada ahli kita
bahawa apa yang kita nak lakukan itu mesti kita konsisten, istiqamah
supaya dengan kedudukan kita itu, rakyat akan lebih yakin kepada UMNO
dan Barisan Nasional.
Sudah tentu tidak boleh dinafikan sumbangan rakan-rakan komponen
Barisan Nasional sempena ulang tahun UMNO yang ke 66. Bagaimana kita nak
pastikan bahawa hubungan ini terjalin dengan ikhlas dan jujur jika di
bandingkan dengan parti-parti pembangkang?
NAJIB: Hubungan kita berdasarkan kepada falsafah dalam Barisan
Nasional dan amalan dalam Barisan Nasional. Kita memang serasi dalam
hubungan antara parti-parti komponen dalam Barisan Nasional. Kita ini
merupakan satu pakatan yang berpaksi kepada realiti dan hakikat. Kita
tidak bersandiwara kepada rakyat, salah satu daripada sandiwara yang
besar yang dilakukan oleh pembangkang ialah bahawa sehingga ke hari ini
walaupun empat tahun sudah berlalu tetapi mereka tak dapat lagi
membentuk shadow cabinet.
/HWA: utusan.com.my | 8/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan