Oleh: Azlina Rosdy
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Dakwaan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang mendakwa kononnya luahan ibunya Che Tom Yahaya mengenai dirinya adalah sebagai angkara politik UMNO adalah tidak berasas sama sekali dan membuktikan bahawa beliau terdesak untuk mencari jalan keluar apabila pekung di dada didedahkan media.
Menurut Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin melalui kenyataan medianya, beliau berasa kesal dengan dakwaan tersebut dan menyangkal bahawa wawancara ibu Azmin dengan media adalah plot cerita yang direka oleh UMNO untuk menyerang Azmin.
“Ini adalah satu tohmahan yang sempit untuk mengatakan UMNO ada kuasa untuk mempengaruhi hubungan darah daging antara ibu dan anak. Hubungan Azmin dan ibunya adalah hubungan kekeluargaan dan jika wujud pergeseran dalam keluarga, Azmin sebagai anak dan orang penting dalam PKR dan paling penting sebagai pemimpin yang mempunyai penyokong seharusnya menunjukkan teladan yang baik.
“Ini adalah luahan hati ibu beliau sendiri, ibu yang telah mengandung dan membesarkan beliau. Puteri UMNO berharap agar Azmin dapat mengambil iktibar dengan isu ini dan cuba memperbaiki hubungan beliau dengan keluarga dari terus menyalahkan orang lain dan menyamakan semua perbuatan dengan agenda politik,” ujar Rosnah.
Tambah Rosnah, Puteri UMNO sebagai wanita dan ibu turut melahirkan rasa sedih mendengar luahan hati oleh ibu Azmin itu.
“Secara peribadi, saya kesal kerana agenda atau perbezaan politik dijadikan sebagai alasan untuk meruntuhkan sebuah institusi keluarga. Itu adalah jelas luahan hati seorang ibu yang amat sedih dengan kejadian yang menimpa keluarga beliau dan harapan seorang ibu yang mahukan perhatian dari anaknya sendiri. Ini bukan agenda politik.
“Ingin saya tegaskan di sini, bahawa UMNO tidak ada kena mengena dengan isu tersebut. Apa yang jelas, sudah terbukti bahawa pemimpin pembangkang ini sudah tersepit akibat perbuatan beliau sendiri. Rakyat sudah makin pandai menilai dan akan melihat seseorang pemimpin itu dari pelbagai sudut. Sebagai seorang anak, Azmin harus ingat bahawa keredhaan dari ibu adalah penting untuk menghadapi kehidupan dunia dan akhirat kelak,” ujar Rosnah lagi. - MediaUMNO
/HWA: umno-online.com | 8/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan