KUALA LUMPUR 30 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, pihak polis akan memaparkan rakaman video mengenai apa
sebenarnya berlaku semasa perhimpunan anjuran sebuah pertubuhan bukan
kerajaan disokong oleh pembangkang di ibu negara kelmarin.
Najib, yang juga Presiden UMNO berkata, langkah itu bagi mengelak
insiden itu daripada dieksploitasi oleh pihak tertentu yang cuba
mempengaruhi pendapat awam berhubung perhimpunan itu yang mana
kebanyakannya dipaparkan melalui media sosial.
"Penting bagi polis untuk paparkan apa sebenarnya berlaku. Polis
tidak akan tutup ada apa-apa termasuk jika ada salah laku yang dilakukan
oleh anggota polis sendiri," katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di
sini, malam tadi.
Beliau berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar akan
mengadakan sidang media hari ini bagi menerangkan lebih lanjut berhubung
penyiaran rakaman video tersebut.
Najib yang kesal dengan tindakan liar peserta semasa perhimpunan itu
turut menyifatkan penganjur gagal menepati janji untuk mengadakan
perhimpunan yang aman dalam tempoh yang singkat. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 30/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan