Sebahagian ahli Persatuan Veteran
Tentera Melayu melakukan senaman 'gelek punggung' di hadapan kediaman S.
Ambiga di Jalan Setia Kasih 1, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.
- UTUSAN/Hafiz Johari
*****
KUALA LUMPUR 15 Mei - Sekumpulan 20 ahli
Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) yang tidak berpuas hati dengan
penganjuran perhimpunan Bersih 3.0, mengadakan senaman 'tonggeng' di
hadapan rumah Pengerusinya, Datuk S. Ambiga di Bukit Damansara di sini
pagi ini.
Kumpulan tersebut yang diketuai Presiden PVTM, Mohd. Ali Baharom tiba
di kawasan perumahan itu pada pukul 8.30 pagi sebelum memulakan
senaman.
Senaman selama 20 minit itu yang dipimpin oleh seorang daripada bekas
komando Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) juga sebagai simbolik
menentang agenda Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) yang dibawa
Ambiga.
Semasa senaman dilakukan, Ambiga keluar dari rumah membawa minuman isotonik untuk diberikan kepada bekas-bekas tentera terbabit.
Bagaimanapun pelawaan itu ditolak dengan alasan sebagai bekas pejuang, senaman tersebut belum cukup membuat mereka terasa haus.
Ketika bertemu Ambiga, Mohd. Ali memberi amaran akan 'bertindak' jika
wanita tersebut dan sekutunya berhasrat untuk mengadakan Bersih 4.0.
"Kami akan mengambil tindakan jika kamu mengadakan Bersih 4.0 untuk menjejaskan keamanan negara.
"Kami sebagai bekas tentera bergadai nyawa di dalam hutan untuk
memastikan keamanan negara ini tetapi pihak Bersih telah bertindak
sebaliknya," katanya semasa bertentang mata dengan Ambiga di sini.
Ambiga yang menerima poster mengutuknya dan Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim kemudian cuba menakutkan ahli PVTM dengan mengatakan
mereka telah mengugutnya.
"Kamu (Mohd. Ali) telah mengugut saya, saya akan membuat laporan (polis)," katanya.
Mohd. Ali kemudian sempat mengadakan ceramah kepada ahlinya selama 20
minit sebelum beredar pulang manakala Ambiga kelihatan tidak berpuas
hati terhadap tindakan PVTM.
/HWA: utusan.com.my | 16/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan