LONDON, seperti biasa adalah kota raya kesayangan rata-rata rakyat
Malaysia. Bukan kerana ia negara bekas tuan tanah jajahan kita, tapi
kini ia dihuni oleh terlalu ramai rakyat dari seluruh dunia.
Semua bangsa ada di London ini. Silap-silap hari bulan muka orang
putih Inggeris pun susah ditemui. Ia layak diberi nama kota kosmopolitan
- kota yang dihuni pelbagai bangsa, etnik dan keturunan.
Rakyat Malaysia pun ramai. Ada sembilan restoran Malaysia, besar dan
kecil di sekitar kawasan Paddington di London ini. Kedai makan Pak Wee
atau Tok Din, bukan asing lagi kepada sesiapa yang sering berkunjung
kota raya ini. Ia bukan saja dikunjungi oleh orang biasa, tapi
sehinggalah kepada raja-raja Melayu. Sambal belacan di kota London ini,
bukanlah asing jika kita ke kedai-kedai makan ini. Sebut saja nak makan
apa yang ada di Malaysia semua ada di situ.
Ada satu seloroh berkata, kalau mahu melancong bersama teman wanita,
jangan datang ke London, kerana jika nasib tak baik akan terserempak
dengan rakan-rakan isteri mereka.
Menurut data Bank Dunia, terdapat 70,000 rakyat Malaysia menetap di
merata United Kingdom ini. Mereka terdiri daripada perantau atau juga
dipanggil sebagai diaspora Malaysia, para pelajar dan pekerja - sama ada
profesional di firma-firma perakaunan, undang-undang atau juga pekerja
biasa.
Sahabat saya Zaharah Othman sudah menetap di kota raya ini selama 33
tahun bersama suaminya Wan Hulaimi. Kedua-duanya berhijrah semasa masih
muda pada tahun 1979. Kini Zaharah masih tetap menulis dan menjadi
wartawan sambilan bagi pihak media di Malaysia. Tulisannya boleh dibaca
dalam akhbar NST. Walaupun berada di tanah Inggeris, kehidupan Melayu
mereka terlalu utuh. Anak-anak mereka boleh berbahasa Melayu dengan
baik. Saya sangat teruja melihat Zaharah yang masih berjiwa kental
sebagai seorang wartawan. Beliau ialah lulusan Masscomm ITM kumpulan
tahun 1978 yang sangat gigih. Ternyata lulusan institusi itu dulu
berjaya melahirkan wartawan berjiwa kental seperti Zaharah. Saya juga
tumpang bangga menjadi alma mater sekolah kewartawanan itu.
Beliau kini sedang menulis bukunya mengenai kelasi-kelasi Melayu
zaman British yang belayar dari Tanah Melayu dan kemudian terus menetap,
berkahwin dengan orang tempatan di negara orang putih ini. Semua
bahan-bahan, gambar lama dan interbiu telahpun dikumpulkan. ‘‘Dalam
beratus-ratus mereka ini, kini hanya tinggal beberapa orang yang masih
hidup, menjadi kewajipan saya untuk mendokumentasikan mereka ini,"
katanya. Kita tunggu kemunculan buku beliau yang akan diterbitkan kelak.
Sebagai wanita Melayu yang terlalu tebal kemelayuannya, beliau turut
membuat pengajian sarjana di universiti di London mengenai syair,
pantun, gurindam. Itulah antara suasana diaspora Malaysia yang tinggal
di luar negara.
Selain Zaharah, seorang lagi rakan wartawan yang kini menetap di kota
raya ini ialah Haliza Hashim, wakil TV3. ‘‘Tahun ini cukup 22 tahun
saya di sini. Masa berlalu terlalu pantas. Orang ada bertanya saya,
boleh lagikah bercakap Melayu, saya berkata kepada mereka, lihatlah
Buletin Utama TV3," katanya sambil tertawa. Jiwanya tetap Malaysia. Dia
hanya tinggal selama 11 bulan sahaja di London, sebulan lagi setiap kali
raya dia akan berada di rumah keluarganya dekat Kuala Lumpur.
Semasa makan di Dewan Malaysia (Malaysia Hall) kelmarin, saya bertemu
dengan Cyril, seorang India dari Malaysia yang berasal dari Bangsar.
Saya melihat dia masuk ke kedai makan itu, dia melihat saya dan kami
bertegur sapa. Setelah mengambil nasi campur, dia meletakkan pinggannya
di sebelah kerusi saya. Dia menuju ke sinki mencuci tangan, duduk dan
makan dengan tangan. Cyril makan dengan cukup berselera sekali.
‘‘Inilah makanan saya. Saya adalah orang Malaysia, masih lagi
warganegara Malaysia walaupun sudah menjadi penduduk tetap. Jiwa saya
tetap di sana," katanya yang telah menetap lebih 30 tahun ini kota raya
ini. Saya akan pulang setiap tahun untuk bertemu adik beradik di Bangsar
dan Bukit Pantai. Saya akan terbang dengan MAS, itulah penerbangan
kebangsaan saya, katanya bangga.
‘‘No way saya akan serahkan taraf warganegara saya, Malaysia adalah
negara yang baik dan inilah makanan saya," kata Cyril, masih bujang,
tidak berhasrat untuk berkahwin dan kini memberi syarahan mengenai muzik
di beberapa buah universiti.
Semasa saya ke satu majlis di House of Lords atau bangunan Parlimen
Britain semalam, saya tiba-tiba bertemu pula dengan seorang lelaki
berwajah Melayu. Dia berpakaian seorang chef. Benar, dia ialah tukang
masak di dalam bangunan Parlimen Britain itu. Anak muda berwajah segak
bernama Megat Azhar bekerja di situ. Itu tidak terkira lagi anak-anak
Malaysia yang bekerja dalam firma-firma penting di sini.
Pendek kata, rakyat Malaysia kini sudah global. Tapi jiwa mereka
tetap glokal, satu istilah yang pernah dipopularkan oleh Perdana
Menteri, Najib iaitu bermaksud global dan lokal.
Itu adalah antara contoh rakyat Malaysia di sini. Ada juga yang
terlalu low-profile, tapi memiliki rangkaian restoran yang besar dan
kini jutawan. Pemandu kami Winson Lai, Cina dari Batu Pahat bercerita
sambil memandu, ada seorang Cina Malaysia ini terlalu low-profile tetapi
pernah memiliki 18 buah rangkaian restoran yang kemudian disenaraikan
di bursa London. Dia kemudian menjual syarikatnya dengan memperolehi
keuntungan sebanyak 18 juta pound dan beralih pula kepada perniagaan
hartanah.
Semalam buat pertama kalinya, kira-kira 1,500 rakyat Malaysia
berkumpul dalam satu majlis yang dikenali sebagai Sepetang Bersama YAB
Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan isteri. Menurut seorang rakyat
Malaysia yang menetap lebih tiga dekad di kota raya ini, inilah pertama
kali beliau melihat satu perhimpunan paling besar membabitkan rakyat
Malaysia dalam satu masa, di satu tempat.
Saya cukup teruja. Nak menitis air mata pun ada, kata seorang hadirin
yang saya tidak sempat bertanyakan namanya apabila melihat sambutan ke
atas kunjungan Najib itu cukup hebat.
Jika bukan hari kerja (Isnin), dijangkakan lebih ramai yang hadir.
Ada yang datang membawa kereta tolak anak-anak kecil masing-masing.
Wajah-wajah tua dan muda -- wajah majmuk Malaysia memenuhi Dewan Indigo,
Arena O2 yang terkenal dengan konsert-konsert terhebat dunia. Ia
terletak di Greenwich, kira-kira 21 kilometer di timur London. Walaupun
jauh, mereka tetap datang beramai-ramai.
Semua teruja. Namun rancangan Bersih Yang Kotor untuk membuat kacau
tidak berjaya. Mereka telah menyebarkan email kepada penduduk Malaysia
London untuk berdemonstrasi semasa majlis itu, namun ia tidak mendapat
sambutan. Ia gagal. Hanya dua tiga orang lelaki yang menjerit-jerit
semasa PM mula-mula mahu berucap.
Salah seorang lelaki itu tidak berhenti menjerit-jerit, Bersih!
Bersih! Najib kemudian berkata kepadanya, berhenti menjerit, jumpa saya
selepas ini. Bercakap dengan saya. Para hadirin yang mungkin sudah
menjangka ada orang seperti itu, tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Semua tidak respons kepada jeritan lelaki itu. Dia bersikap seperti kera
sumbang. Dia kemudian diminta keluar dari dewan itu dan majlis bermula
dengan lancar sehingga habis.
Lelaki itu ialah aktivis yang sering kelihatan dalam demo anti
kerajaan Malaysia di London. Orang Malaysia London sudah tidak hairan
dengan dia.
Najib dan isteri kemudian turun dari pentas dalam suasana yang cukup
santai, ceria, untuk beramah mesra dengan rakyat Malaysia. Melanggar
protokol dan SOP keselamatan yang menjaga dirinya. Najib bergambar
dengan mereka, bertanya khabar. Masing-masing mahu bergambar dengan PM
dan kemudian menghantar dalam facebook atau twitter - memberitahu
sahabat-sahabat yang lain, termasuk memberitahu ibu bapa di tanah air
yang mereka telah bergambar dengan Perdana Menteri Malaysia.
Itulah caranya untuk mereka melepaskan rindu kepada tanah air
tercinta. Walaupun sambal belacan Pak Wee atau Tok Din boleh dimakan
bagi melepaskan rindu, namun peluang untuk menyentuh, berjabat tangan,
bergambar, bertanya khabar dengan Perdana Menteri Malaysia tidak boleh
sama sekali dilepaskan.
Selagi kita orang Malaysia, selagi itulah Malaysia tidak boleh
dipisahkan, walaupun hujan batu di sana, hujan emas di sini. Ternyata
rata-rata rakyat Malaysia di perantauan ini amat menyayangi tanah tumpah
darah mereka, Malaysia.
SK Lingam, Naib Presiden Sahabat Barisan Nasional United Kingdom
(FBNUK) yang dilancarkan Najib kelmarin dan telah lama berada, kerja di
negara ini, berkata kepada saya, beliau sanggup melakukan apa sahaja
demi Malaysia.
‘‘Walaupun saya di sini, saya akan berjuang mengikut cara saya di
sini bagi mempertahankan Malaysia," kata beliau dalam nada tegas dan
bersemangat.
Namun, melihatkan sambutan yang cukup mesra oleh rakyat Malaysia di
London ini, mungkin Najib sudah mempunyai sedikit ilham untuk menentukan
bila tarikh pilihan raya ke-13 akan diadakan?
Tapi, kata Najib kepada pemberita banyak lagi faktor perlu diambil kira - itu adalah salah satu daripadanya.
/HWA: utusan.com.my | 16/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan