DALAM rakaman video yang disiarkan oleh Polis
Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan dengan jelas bagaimana anggota Unit
Amal Pas menjadi pencetus tindakan merempuh pihak polis dalam
perhimpunan Bersih, Sabtu lalu.
Tindakan ganas itu dikatakan mengejutkan banyak pihak termasuk
kalangan penyokong parti itu sendiri kerana unit berkenaan dikatakan
ditugaskan untuk menjaga keselamatan peserta dan bukannya melakukan
perbuatan provokasi.
Bagaimanapun ternyata emosi sudah menguasai anggota unit tersebut
apatah lagi sebelum itu difahamkan, ada kalangan pemimpin-pemimpin Pas
menegaskan, Dataran Merdeka perlu ditawan dengan apa cara sekali pun.
Sekali lagi, kita menyaksikan bagaimana sebuah parti yang melaungkan
kalimah suci Allahuakhbar semakin hilang punca dalam mencari keuntungan
politik.
Perhimpunan Bersih yang ditentang oleh banyak pihak dijadikan oleh
Pas sebagai 'platform' untuk menunjukkan kesetiaan parti itu kepada
pakatan pembangkang.
Justeru seperti juga perhimpunan pada tahun lalu, pada tahun ini Pas
sekali lagi menjadi 'pak turut setia' dengan mengarahkan ahli-ahlinya
membanjiri jalan raya di sekitar ibu negara.
Kita tidak pasti berapa ramai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan
DAP yang menyertai perhimpunan berkenaan tetapi apa yang pasti menurut
laporan keselamatan jumlah penyokong Pas lebih ramai.
Semua ini terjadi kerana penyokong-penyokong tersebut mendengar
seruan Datuk Nik Abdul Nik Mat. Untuk rekod Mursyidul Am Pas itu telah
menjadi Menteri Besar di Kelantan selama lebih 20 tahun melalui
kemenangan Pas dalam pilihan raya.
Jika pilihan raya tidak dijalankan secara adil dan bersih mana
mungkin beliau boleh berada di kerusi Menteri Besar Kelantan sehingga ke
hari ini.
Tetapi Mursyidul Am Pas itu menyatakan wajib bagi penyokong parti
tersebut menyertai perhimpunan Bersih bagi menuntut sebuah pilihan raya
yang bersih dan adil.
Lanjutan itu semangat perhimpunan Bersih bukan sahaja menyerapi
penyokong parti tersebut di Malaysia tetapi juga sehingga dibawa ke
Masjid Nabawi di Madinah.
'Sekalung tahniah' kepada Pas kerana menjadi penyumbang kepada segala
kekecohan dan keganasan yang berlaku. Unit Amal yang diharapkan menjadi
benteng untuk mengelak peserta menjadi ganas sebaliknya bertindak
sebagai provokator!
Apa yang berlaku hakikatnya tidak akan menguntungkan Pas, sebaliknya
memburukkan lagi imej parti itu yang sememangnya ketika ini berada di
tahap yang buruk.
Pas tidak boleh berbangga apa-apa terhadap perhimpunan Bersih yang
berlangsung, memandangkan perhimpunan yang dikatakan akan berjalan
dengan aman berakhir dengan keganasan.
Seperti biasa Pas akan bersekongkol dengan sekutu-sekutu politiknya untuk menyalahkan polis terhadap apa yang berlaku.
Tetapi seluruh rakyat Malaysia sudah menyaksikan bagaimana ganasnya
tindakan peserta demonstrasi berkenaan termasuk penyokong Pas.
Mereka merempuh sekatan polis, membelasah anggota pasukan itu dan
merosakkan harta awam, apakah ini dikatakan jihad? Apakah ini hendak
dikatakan syahid jika berlaku kematian?
Adalah jelas Pas semakin hilang pertimbangan politiknya apabila
sanggup menjadi 'pak turut' mengerahkan penyokong-penyokong parti itu
untuk menyokong perhimpunan Bersih.
Kalau Pas benar-benar berhemah berpolitik sudah pasti Pas tidak akan
berbuat demikian sebaliknya akan menasihatkan pemimpin-pemimpin
pembangkang lain supaya menerima tawaran pihak berkuasa untuk mengadakan
perhimpunan berkenaan di stadium-stadium yang ditawarkan.
Tetapi Pas tidak berbuat demikian kerana selain tidak mempunyai
apa-apa kekuatan untuk mempengaruhi PKR dan DAP, Pas juga boleh dianggap
suka melihat kekecohan berlaku.
Sebab itulah, Pas bersedia menjadikan Unit Amalnya sebagai 'orang
suruhan' untuk menjadi benteng pertama kepada peserta- peserta Bersih.
Apa yang lebih mengecewakan, ada kalangan pemimpin Pas sendiri yang
melakukan provokasi membakar perasaan penyokong-penyokong parti itu
untuk melawan pihak berkuasa.
Pas amat memahami bahawa apa yang hendak dituntut oleh Bersih sudah
pun dilaksanakan oleh kerajaan. Malahan kerajaan juga khususnya
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuka ruang seluas-luasnya kepada
mereka untuk berunding.
Namun Pas tidak mempertimbangkan itu semua, sebab itulah ramai yang
mempertikaikan apa perlunya Pas terlibat dalam Bersih, kenapakah parti
itu tidak mengkaji fakta benarkah selama ini pilihan raya di Malaysia
tidak bersih dan adil.
Kalau tidak bersih dan adil, bagaimana mungkin Nik Abdul Aziz masih
kekal menjadi Menteri Besar Kelantan sejak 1990? Mana mungkin terjadi
Datuk Seri Azizan Abdul Razak berupaya menjadi Menteri Besar Kedah.
Ini belum lagi mengambil kira bagaimana Pas pernah menawan Terengganu
pada tahun 1999 dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah
menjadi ketua pembangkang di Parlimen.
Ternyata sekali, ketaksuban berpolitik terutamanya impian menawan Putrajaya sudah menguasai kepimpinan Pas.
Atas sebab itulah segala keikhlasan dan ketelusan kerajaan dalam memperbaiki sistem pilihan raya tidak pernah dihargai oleh Pas.
Sebaliknya Pas hanya mengangguk dan menyokong sahaja terhadap segala
apa yang dikatakan oleh Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga yang kini
seolah-olah menjadi idola baru kepada parti itu selepas Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Hakikatnya, Pas boleh berhujah apa sahaja bagi menghalalkan
penyertaan mereka dalam demonstrasi berkenaan termasuklah memberi
kalungan 'pingat keberanian' kepada Unit Amal parti itu.
Tetapi hakikatnya orang Melayu terutamanya golongan atas pagar
semakin memahami betapa Pas sudah kehilangan jati diri sebagai sebuah
parti Islam.
Jika Pas masih lagi memperjuangkan Islam sudah pasti parti itu akan
mengelak daripada terlibat dalam sebarang perkara yang boleh
mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara.
Kini Pas boleh mengkaji apa sumbangan besar mereka kepada perhimpunan
Bersih. Perhimpunan itu bukan sahaja tiada kaitan dengan pilihan raya
sebaliknya lebih kepada agenda politik semata-mata.
Mungkin Pas boleh tersenyum bangga kerana matlamat pembangkang untuk
menarik perhatian dunia melalui kekecohan dan keganasan sudah tercapai.
Namun ia sama sekali tidak akan menguntungkan politik parti itu
kerana sebesar mana pun sumbangan Pas dalam demonstrasi anjuran pakatan
pembangkang, percayalah mereka tidak akan dihargai.
Oleh itu adalah wajar untuk Pas membersihkan segala kekotoran politik
yang semakin melumuri parti tersebut. Perhimpunan Bersih tidak memberi
apa-apa manfaat politik kepada Pas.
Sebaliknya, sejarah politik negara akan mencatatkan bagaimana sebuah
parti yang kononnya memperjuangkan Islam sanggup membiarkan
penyokong-penyokong bertindak ganas semata-mata demi mencapai agenda
politik pihak lain. 'Tahniah Pas'!
/HWA: utusan.com.my | 30/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan